Selasa, 13 Julai 2021 | 11:01am

'Genjatan senjata politik' tumpu usaha tangani pandemik

Apabila jumlah ahli Parlimen memberikan kepercayaan kepada seseorang Perdana Menteri berkurangan akibat peralihan sokongan, maka terdapat kemungkinan penyandang jawatan itu terpaksa mentadbir sebuah kerajaan minoriti.

Kerajaan minoriti berlaku apabila jumlah kerusi blok kerajaan kurang daripada separuh jumlah keseluruhan Ahli Dewan Rakyat.

Dalam situasi begini, Perdana Menteri perlu berusaha mendapatkan sokongan daripada parti lain yang berada di luar blok kerajaan atau mana-mana anggota Dewan Rakyat yang bukan daripada parti kerajaan untuk memberikan sokongan kepadanya.

Sokongan ini boleh berlaku dalam dua bentuk, iaitu pertama, adalah dengan ahli Parlimen itu menyertai blok kerajaan atau kedua, dengan cara memberikan 'kepercayaan' tanpa menyertai kerajaan terbabit.

Blok kerajaan pula merangkumi dua lapisan penyertaan. Pertama melalui penyertaan dalam gabungan parti pemerintah, manakala kedua, penyertaan dalam kerajaan melalui lantikan politik.

Lapisan pertama merangkumi parti anggota rasmi dalam Perikatan Nasional (PN), iaitu BERSATU, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan GERAKAN.

Bagi lapisan kedua pula membabitkan parti yang ada wakilnya dalam Jemaah Menteri, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau mana-mana lantikan politik di bawah kerajaan PN.

Dalam konteks semasa, ia termasuk gabungan Barisan Nasional (BN) membabitkan UMNO, MCA dan MIC, Gabungan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Selain itu, parti Sabah seperti Parti Bersatu
Rakyat Sabah (PBRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO Baru) turut terbabit dalam kerjasama di bawah PN. Lapisan kedua blok kerajaan ini boleh dilihat melalui keanggotaan Majlis Presiden Kerajaan PN.

UMNO sebenarnya masih lagi dalam blok kerajaan. Pengumuman Presiden UMNO berkaitan penarikan balik sokongan tidak mempunyai kesan ke atas parti berkenaan memandangkan tidak berlaku peletakan jawatan lantikan politik.

Bahkan, ahli Parlimen BN mengeluarkan kenyataan mengekalkan sokongan kepada Perdana Menteri.

Bagaimanapun, dengan kedudukan majoriti tipis kerajaan PN di Dewan Rakyat, pengumuman Presiden UMNO tetap memberikan kesan dari sudut tahap sokongan kepercayaan kepada Perdana Menteri.

Kini terdapat persoalan besar, iaitu sama ada kerajaan masih lagi kerajaan majoriti atau kerajaan minoriti. Persoalan ini sukar dijawab memandangkan UMNO tidak membuat satu keputusan jelas, bahkan mengumumkan keputusan ganjil, iaitu menyerahkan kepada ahli Parlimen UMNO untuk membuat pendirian sendiri.

Jika diandaikan jumlah ahli Parlimen daripada blok kerajaan tidak mencapai majoriti, maka kerajaan sedia ada berdepan risiko kehilangan kuasa melalui undi tidak percaya.

Langkah boleh diambil PN adalah dengan menambahkan jumlah ahli Parlimen blok kerajaan sama ada dengan cara menerima kemasukan parti baharu ke blok kerajaan atau menerima masuk ahli Parlimen yang melompat daripada parti lain. Namun, langkah ini kelihatan sukar dalam realiti politik sekarang.

Langkah lain yang mungkin boleh diambil adalah dengan mewujudkan muafakat politik dengan parti di luar blok kerajaan agar parti berkenaan memberikan sokongan kepercayaan dan menyokong belanjawan dibentangkan di Parlimen, tanpa menyertai blok kerajaan.

Dalam amalan demokrasi ala-Westminster, muafakat ini disebut sebagai confidence and supply agreement atau 'muafakat keyakinan dan belanjawan.'

Muafakat begini boleh dibuat sebagai langkah jangka pendek berasaskan kepentingan rakyat dan negara, agar suhu politik negara dapat diredakan bagi memberikan tumpuan kepada usaha menangani wabak COVID-19 sebelum tiba masa yang sesuai untuk dilaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Tempoh muafakat ini mungkin sesuai sekitar empat hingga enam bulan.

Kerajaan boleh menubuhkan badan khusus seperti Majlis Muafakat Pemulihan Negara dengan menjemput semua parti politik, termasuk parti pembangkang untuk melaksanakan 'genjatan senjata politik' bagi memastikan perbezaan politik tidak mengheret negara kepada krisis berterusan hingga mengganggu usaha memulihkan negara daripada pandemik COVID-19.

Secara tidak langsung majlis seumpama ini dapat menyediakan ruang baik kepada parti politik terutama daripada blok pembangkang untuk mengemukakan pandangan, kritikan dan idea berkaitan usaha kerajaan termasuk dalam menyediakan belanjawan negara untuk 2022.

Apa lebih penting, semua parti perlu mengelakkan konflik politik dan bersedia memberikan sokongan kepercayaan, sekali gus meluluskan belanjawan dibentangkan kerajaan.

Langkah dicadangkan ini dapat mengelakkan negara diheret kepada konflik politik berpanjangan dan ketidaktentuan politik yang mungkin berlaku akibat beberapa senario lain seperti undi tidak percaya, kejatuhan kerajaan, penubuhan kerajaan baharu, kerajaan interim, kerajaan perpaduan atau seumpamanya.

Kita tidak mahu politik negara menjadi makmal ujian politik yang mendedahkan rakyat kepada risiko lebih menghimpit akibat krisis politik, yang muncul bersama-sama krisis kesihatan dan krisis ekonomi.

Penulis adalah Profesor Madya di Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Kuala Lumpur

Berita Harian X