Jumaat, 9 Julai 2021 | 11:00am
Mengikut Perlembagaan Persekutuan penentuan kedudukan seseorang Perdana Menteri atau sesebuah kerajaan bergantung kepada sokongan ahli Dewan Rakyat. - Foto hiasan/BERNAMA
Mengikut Perlembagaan Persekutuan penentuan kedudukan seseorang Perdana Menteri atau sesebuah kerajaan bergantung kepada sokongan ahli Dewan Rakyat. - Foto hiasan/BERNAMA

Pengumuman Ahmad Zahid cetus ketidakstabilan politik

Politik tanah air dikejutkan dengan kenyataan media Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara serta-merta susulan mesyuarat MKT, kelmarin.

Pengumuman itu memberi kesan sangat besar terhadap politik negara yang sudah sedia panas dengan isu pandemik COVID-19 dan tekanan dirasai rakyat ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan terutama golongan berpendapatan rendah.

Penarikan sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menimbulkan persoalan undang-undang dan Perlembagaan, apakah kerajaan sudah tumbang dan Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil seseorang lain dalam kalangan ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baharu?

Dengan keputusan ini, secara teknikalnya, UMNO memiliki 38 ahli Parlimen, menyebabkan Kerajaan PN kini hanya tinggal 77 ahli Parlimen, bilangan sangat jauh daripada jumlah threshold 111 mengikut Perkara 43 (2) dan (4) Perlembagaan Persekutuan untuk membentuk sokongan majoriti daripada jumlah keseluruhan 220 ahli Dewan
Rakyat.

Bagaimanapun, di sebalik kenyataan Presiden UMNO, timbul pula desas-desus beberapa kenyataan pemimpin UMNO termasuk dalam kalangan anggota MKT sendiri bahawa keputusan UMNO menarik sokongan dan menamatkan serta-merta sokongan terhadap Perdana Menteri sebagai tidak menggambarkan keputusan mesyuarat MKT.

Ahmad Zahid digambarkan membuat keputusan sendiri, tidak mengambil kata putus sebulat suara (konsensus) daripada ahli MKT dan tindakan beliau boleh dianggap sebagai mencetuskan pergolakan serta ketidakstabilan politik negara.

Bagaimanapun, satu rakaman didakwa daripada mesyuarat MKT itu dengan tidak semena-mena tular di media sosial kini. Suara dalam audio mengatakan dalam mesyuarat terbabit, seramai 35 daripada 56 ahli MKT menyokong tanpa syarat dan 15 pula menyokong bersyarat, sekali gus dijadikan asas penarikan sokongan terhadap Perdana Menteri.

Suara itu juga mengatakan MKT memberi mandat dan kuasa budi bicara kepada ahli Parlimen UMNO untuk membuat pilihan (mengundi) apabila terdapat sesuatu usul undi tidak percaya dikemukakan kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Penularan audio ini dilihat memberi gambaran Presiden UMNO bercakap benar dan bersikap telus terhadap kenyataan pascamesyuarat malam kelmarin, sekali gus menjawab tuduhan beliau tidak bercakap benar dalam mengeluarkan kenyataan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.

Percanggahan demi percanggahan berhubung keputusan UMNO menarik sokongan terhadap Perdana Menteri ini bukanlah memeranjatkan memandangkan parti itu diketahui umum berpecah kepada dua fraksi utama, iaitu kumpulan menyokong dan kumpulan menentang kerjasama dengan BERSATU dalam PN.

Perseteruan dua blok dalam UMNO ini sangat berkait dengan perbezaan pandangan dalam menangani isu survival UMNO sebagai parti Melayu terbesar tanah air selepas kejatuhannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Senario semasa menunjukkan UMNO akan terus menghadapi pergolakan berikutan keputusan dibuat itu. Pertembungan antara kumpulan Ahmad Zahid dengan kumpulan pemimpin parti itu yang ramai menyertai Kabinet Muhyiddin mencapai kemuncak pada hari ini.

Jika keadaan terus buntu, UMNO mungkin akan terus berpecah yang memungkinkan kumpulan Ahmad Zahid dan kumpulan penentangnya akan mengambil jalan masing-masing apabila bermulanya sidang Parlimen kelak.

Tidak mustahil suhu pertembungan fraksi UMNO akan bertambah panas dan akan berlaku aksi pemecatan beberapa ahli Parlimen atau Menteri UMNO selepas ini yang enggan menurut arahan parti.

Walaupun masih menguasai parti, usaha Ahmad Zahid sangat berliku untuk membawa hala tuju UMNO ke platform boleh menjamin kelangsungan parti terbabit.

Namun, Ahmad Zahid juga berdepan situasi sukar kerana keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) menetapkan 'No Anwar, No DAP.' Maka apakah pilihan bagi Ahmad Zahid?

Meneroka satu platform baharu penjajaran politik atau mengambil bahagian dalam kerajaan sementara adalah pilihan wajar. Ini kerana UMNO sebelum ini menegaskan tidak akan menyokong pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan tidak akan bersama DAP untuk membentuk kerajaan baharu.

Situasi itu juga menunjukkan kerajaan Muhyiddin masih utuh dan tidak terjejas kesan kenyataan Presiden UMNO mengenai penarikan sokongan serta-merta terbabit. Dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43(4) menyebut jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka beliau hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara 43(2)(a) pula menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan
Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Tafsiran daripada Perkara 43 43 (4) dan 43 (2) (a) menunjukkan penentuan kedudukan seseorang Perdana Menteri atau sesebuah kerajaan itu bergantung sokongan ahli Dewan Rakyat. Apakah pengumuman Ahmad Zahid itu mewakili keseluruhan 38 ahli Parlimen UMNO?

Untuk mengatakan Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin sudah hilang majoriti, ia perlu dizahirkan ahli Parlimen itu sendiri sama ada melalui sidang media terbuka atau kenyataan bertulis melalui akuan bersumpah (SD) yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri.

Situasi politik semasa menunjukkan penentuan tahap sokongan kepada Perdana Menteri sukar dilakukan di luar Dewan Rakyat, kecuali terhadap usaha untuk mereka melakukan melalui dua cara terbabit atau melalui platform lebih absah, satu usul percaya atau usul tidak percaya untuk mengukur sokongan terhadap Perdana Menteri dalam Mesyuarat Khas Parlimen bermula 26 Julai nanti.

Bagaimanapun, peluang sangat terbuka kepada semua pihak termasuk Perdana Menteri sendiri untuk mempertahankan kerajaan sedia ada melalui perundingan dan kerjasama melangkaui sempadan fahaman politik melalui alternatif jajaran baharu politik yang boleh diterokai.

Dalam situasi negara berdepan pendemik COVID-19 yang sangat serius dan keadaan ekonomi tidak begitu memberangsangkan, ia membolehkan ahli Parlimen bekerjasama dalam ruang lingkup lebih luas termasuk membentuk kerajaan perpaduan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Perdana, Fakulti Teknologi Dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berita Harian X