Isnin, 7 Jun 2021 | 10:30am
Didik TV KPM memberi ruang alternatif bagi murid mengikuti pembelajaran secara sehala.
Didik TV KPM memberi ruang alternatif bagi murid mengikuti pembelajaran secara sehala.

Tambah baik PdPR bantu guru, murid tangani impak pandemik

Pengumuman lanjutan tempoh Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, pada dalam sesi sidang media khas semalam memberi gambaran jelas terhadap impak pandemik COVID-19 ke atas proses pendidikan di negara ini.

Perancangan awal Kementerian Pendidikan (KPM) adalah menjalankan sesi persekolahan secara bersemuka selepas cuti pertengahan tahun yang akan berakhir 13 Jun ini bagi sekolah dalam Kumpulan A dan 14 Jun (Kumpulan B), tetapi terpaksa diubah kepada sesi PdPR selama 25 hari sebelum sesi cuti pertengahan penggal Julai ini.

Ia keputusan mendadak, tetapi tidak mengejutkan, jika mengambil kira situasi semasa dan selepas negara berada dalam sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Pendidikan ialah sektor paling terkesan sepanjang pandemik ini. Berlainan sektor lain yang mampu pulih seperti sedia kala selepas berakhirnya episod pandemik ini, sektor pendidikan yang fokusnya melahirkan modal insan negara masa depan akan menerima kesan dan impak proses pendidikan terencat.

Permasalahan ini tidak unik di negara ini, malah seluruh dunia berdepan masalah sama. Menurut laporan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), kira-kira sejumlah 203 juta pelajar di seluruh dunia terkesan dengan penutupan sekolah.

KPM sudahpun mengeluarkan beberapa garis panduan perubahan proses pendidikan bagi meminimumkan impak pandemik terhadap murid di negara ini. Strategi PdPR dijalankan guru seluruh negara sejak tahun lalu, menerima pelbagai reaksi bukan sahaja dalam kalangan pendidik, malah ibu bapa dan masyarakat.

Selepas hampir setahun pengoperasiannya, PdPR dilihat boleh ditambah baik, terutama dari segi pedagogi, teknologi dan khidmat sokongan pembelajaran.

Dalam pengoperasian PdPR, pilihan pendekatan pedagogi diserahkan kepada guru. Guru diberi kuasa memilih strategi dan kaedah sesuai, mengikut keadaan semasa serta keberadaan teknologi di pihak guru dan murid.

Pemberian autonomi kepada guru ini dilihat boleh menjadi serampang dua mata dalam masa pandemik – autonomi seperti ini dapat memperkasakan sebahagian guru mahir dengan pedagogi dan teknologi serta memberi ruang untuk mereka berinspirasi dan meneroka kreativiti.

Ini dapat dilihat dengan peningkatan bilangan guru semakin mahir dalam menggunakan pelbagai teknologi (pelantar dan perisian) dan pendekatan pedagogi terkini.

Terdapat juga sebilangan guru kini mempunyai akaun YouTube dengan pelbagai kandungan video dibangunkan mereka sendiri.

Pada masa sama, ada juga guru kurang mahir dengan pedagogi terutama kemahiran dan pengetahuan pedagogi teknologi (technological pedagogical knowledge).

Golongan ini memerlukan sokongan lebih daripada kementerian bagi membantu mereka bentuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) ketika PdPR. Hakikatnya, proses pendidikan tidak memerlukan teknologi tinggi untuk dizahir dan diajar kepada murid.

Kreativiti guru dalam melihat peluang merekabentuk proses PdP bersifat low-tech dilihat perlu, terutama yang mengajar di lokasi tiada akses kepada internet atau bermasalah.

Contohnya, guru ini boleh meneruskan PdPR dalam bentuk modul pembelajaran kendiri direka khas untuk membantu murid belajar di rumah.

Modul ini juga perlu mempunyai set arahan bagi ibu bapa supaya boleh memainkan peranan lebih sistematik dan berkesan dalam membantu anakmeneruskan proses pembelajaran di rumah.

Sokongan kepada pembugaran kaedah pedagogi seperti ini dilihat perlu kerana dengan kekuatan guru seluruh negara seramai lebih 400,000 orang, garis panduan lebih khusus dan sistem sokongan pedagogi kreatif diperlukan.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sendiri sedia cakna dengan perkara ini dan Akademi Pendidikan/Sekolah Makmal menyediakan kerangka khas kurikulum dan pendekatan lebih dinamik, khusus untuk membantu guru dan murid ketika pandemik ini.

Kurikulum pendekatan Neoterik ini dibangunkan selepas mengkaji impak pandemik kepada proses pendidikan dan membabitkan pembangunan modul 'Autotutorial' mudah lentur, bersifat holistik dan kalis pandemik.

Inisiatif lain dijalankan kementerian dilihat dapat membantu murid mendepani cabaran PdPR ini. Sebagai contoh, Didik TV KPM yang dilancarkan pada 17 Februari lalu dapat memberikan ruang alternatif bagi murid mengikuti pembelajaran secara sehala.

Inisiatif CERDIK yang diumumkan kementerian dengan kerjasama Yayasan Hasanah untuk menyalurkan sejumlah 150,000 komputer riba adalah inisiatif baik bagi membantu murid dikenal pasti tergolong dalam B40 ini tidak akan mengalami keciciran.

Namun, kementerian perlu melihat semula garis masa gerak kerja pemberian komputer riba kerana sebahagian besar daripada murid disasarkan dalam inisiatif ini akan lewat menerima peranti berkenaan. Dikhuatiri murid B40 terkesan ini akan hilang minat dan keciciran apabila sampai September nanti.

Penjajaran semula kurikulum dan pengumuman anjakan tarikh bagi menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) adalah respon dilihat sesuai mengikut keadaan semasa. Umum perlu ambil maklum kementerian terpaksa berinovasi dalam kekangan ada.

Ketangkasan KPM mengubah struktur pendidikan kebangsaan bagi membolehkan proses pembelajaran berlaku perlu diakui, walaupun ia tidak dapat menjadi seperti proses pendidikan prapandemik.

Hakikatnya, pendidikan tidak akan dapat kembali menjadi seperti sedia kala. Justeru, kerjasama semua pihak perlu bagi mempertahankan kualiti generasi masa depan yang akan menerajui negara.

Pengarah Akademi Pendidikan/Sekolah Makmal, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X