Jumaat, 4 Jun 2021 | 11:00am
 Suasana jalan raya di ibu kota pada hari pertama sekatan pergerakan penuh Selasa lalu. (Foto hiasan/BERNAMA
Suasana jalan raya di ibu kota pada hari pertama sekatan pergerakan penuh Selasa lalu. (Foto hiasan/BERNAMA

Penambahbaikan kaedah sekatan bantu stabil ekonomi

Sekatan pergerakan penuh atau total lockdown yang dikuatkuasakan kerajaan bermula Selasa lalu bertujuan mengekang penularan jangkitan wabak COVID-19.

Wujud beberapa penambahbaikan ke atas kaedah pelaksanaan sekatan pergerakan kali ini jika dibandingkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali bermula 18 Mac tahun lalu.

Penambahbaikan ini secara langsung dan tidak langsung mengurangkan kos kepada ekonomi melalui pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Secara realitinya, terdapat tiga penambahbaikan utama terkandung dalam sekatan pergerakan penuh kali ini yang berkait dengan aspek ekonomi.

Pertama, kelonggaran pengoperasian sektor ekonomi. PKP pertama pada tahun lalu memberatkan aspek kesihatan dengan hanya membenarkan sektor tertentu beroperasi, manakala operasi sebahagian besar sektor dibekukan.

Impak kepada perniagaan dan pekerjaan akibat pelaksanaan PKP ketika itu sangat besar dan menuntut sejumlah besar suntikan fiskal langsung dan tak langsung oleh kerajaan.

Belajar daripada pengalaman PKP terdahulu, sekatan pergerakan penuh kali ini dilihat memberi kelonggaran kepada sektor pengeluaran barangan dan perkhidmatan asas serta bukan asas untuk beroperasi.

Pendekatan ini dapat mengurangkan kos kepada ekonomi dan seterusnya tidak membantutkan sepenuhnya keberkesanan usaha ke arah pemulihan ekonomi tahun ini.

Kedua, pengoperasian mengambil kira rantaian bekalan industri. PKP pada Mac tahun lalu lebih memberi tumpuan kepada pengoperasian sektor pengeluaran barangan dan perkhidmatan asas, tanpa memberi perhatian ke atas kepentingan rantaian bekalan industri.

Sektor ekonomi bergantung antara satu sama lain dalam proses pengeluaran barangan dan perkhidmatan. Jadi, walaupun hanya sektor pengeluaran barangan dan perkhidmatan asas dibenarkan, input atau bahan mentah dikeluarkan sektor pengeluaran bukan barangan dan perkhidmatan asas masih diperlukan.

Kebenaran pengoperasian di sepanjang rantaian bekalan industri pada sekatan pergerakan penuh ini dijangka dapat mengurangkan kos ekonomi dan kesan herotan ke atas pasaran.

Apa yang penting ialah untuk pihak kerajaan menentukan kapasiti pengeluaran sektor bukan barangan dan perkhidmatan asas apabila sektor ini dibenarkan beroperasi dengan 60 peratus tenaga kerja.

Maklumat ini penting bagi kedua-dua pihak, iaitu majikan dan penguat kuasa untuk memastikan sektor ekonomi berfungsi dengan baik sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh dilaksanakan.

Ketiga, pendekatan pengoperasian berasaskan head-count kapasiti pekerja. Pada PKP tahun lalu, pembatasan pengoperasian sektor pengeluaran barangan dan perkhidmatan asas dibuat berasaskan kepada kapasiti pengeluaran sebanyak 50 peratus.

Bagaimanapun, pembatasan berasaskan head-count kapasiti lebih baik dalam mengawal pergerakan orang ramai dan lebih efisien kepada ekonomi. Ini kaedah yang dilaksanakan dalam sekatan pergerakan penuh kali ini.

Analisis yang dibuat oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mendapati pendekatan pembatasan head-count memberi kos ekonomi lebih rendah, berbanding pendekatan pembatasan kapasiti.

Bagi mengimbangi impak kepada ekonomi akibat pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ini, kerajaan memperkenalkan semula program atau instrumen penstabil ekonomi khusus untuk pengurusan ekonomi ketika pandemik seperti moratorium pinjaman bank, Program Upah Subsidi (PSU) dan bantuan tunai.

Berdasarkan pengalaman PKP terdahulu, semua instrumen penstabil ekonomi ini masih perlu ditambah baik bagi mengurangkan blind spot atau 'titik buta'.

Pemerhatian mendapati 'titik buta' ini boleh mengurangkan keterangkuman instrumen penstabil ekonomi tadi. Berikut adalah dua contoh 'titik buta' berkenaan.

Pertama, moratorium pinjaman bank. Moratorium ke atas pinjaman bank selama tiga bulan adalah langkah amat baik kerana sebahagian besar pendapatan bulanan isi rumah dibelanjakan ke atas pembayaran pinjaman atau sewaan kediaman.

Bagi isi rumah yang menyewa kediaman (terutama B40 dan M40), mereka tidak dijaminkan mendapat kemudahan ini kerana bergantung kepada sensitiviti dan kedudukan ekonomi pemilik kediaman.

Jika isi rumah yang menyewa perlu terus membuat pembayaran, ini bermakna kemudahan moratorium ini tidak terangkum dan tidak sepenuhnya membantu isi rumah yang terkesan.

Kedua, program pengekalan pekerjaan dan pendapatan. PSU sangat berkesan dalam membantu majikan, pekerja dan mengurangkan kadar pengangguran dalam ekonomi.

PSU berfungsi untuk majikan mengekalkan pekerjaan (mengelakkan pemberhentian pekerja). Ketika tempoh PKP penuh dilaksanakan, pekerja bukan saja terdedah risiko pemberhentian kerja, malah pengurangan pendapatan akibat penggiliran jadual kerja, pemotongan sebahagian gaji, pemberian cuti tanpa gaji dan pengurangan elaun.

Dalam hal ini, PSU mempunyai had yang hanya terarah kepada aspek pengekalan pekerjaan.

Penulis adalah Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Berita Harian X