Khamis, 3 Jun 2021 | 11:00am
Kehadiran pesawat asing di ruang udara Malaysia menimbulkan tanda tanya dan mencabar kedaulatan serta keselamatan negara. - Foto FB TUDM
Kehadiran pesawat asing di ruang udara Malaysia menimbulkan tanda tanya dan mencabar kedaulatan serta keselamatan negara. - Foto FB TUDM

Usah kompromi penceroboh kedaulatan, keselamatan negara

Insiden 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) dikesan memasuki ruang udara kawalan kita seperti juga isu pesawat milik Israel merentasi ruang udara Malaysia dua minggu lalu, perlu ditangani kerajaan dengan bijaksana demi mempamerkan tiada kompromi dalam hal kedaulatan dan keselamatan negara.

Tidak menjadi isu dalam hal pesawat Israel kerana kebenaran sudah diminta dan pihak berkuasa sedia maklum kehadirannya. Begitu juga bukan menjadi hal juga kerana pesawat itu menuruti itenari laluan penerbangan dan tidak berlegar dalam ruang udara seperti dihebohkan.

Namun, dalam sudut pandang lain, kemusykilan timbul apakah keperluan pesawat Israel itu berada di Singapura kerana Israel bukan Amerika Syarikat (AS) yang mana tentera mereka berada di serata pelusuk dunia.

Jika dikaitkan kerjasama akrab bidang pertahanan antara Singapura dengan Israel, kemusykilan itu sedikit terjawab, iaitu berkemungkinan Singapura berminat membuat perolehan pesawat intip buatan Israel. Tidak mengejutkan kerana aset ketenteraan buatan Israel banyak juga diperoleh Singapura.

Pokoknya dalam hal kedaulatan dan keselamatan, setiap kali isu tercetus ia akan membangkitkan rasa curiga setiap pihak, termasuk rakyat Malaysia.

Memang benar pesawat PLAAF itu tidak menceroboh ruang udara kedaulatan negara, tetapi apakah ini berlaku kerana dipintas lebih awal pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)? Apakah jika tidak dipintas, kemungkinan pencerobohan akan berlaku tetap wujud?

Jika diambil penjelasan daripada pejabat Kedutaan Besar China di Kuala Lumpur bahawa pesawat PLAAF itu sedang melaksanakan latihan lazim dan tidak menyasarkan mana-mana negara, penjelasan berkenaan lebih banyak menimbulkan tanda tanya.

Seharusnya pihak berkuasa Malaysia yang mengawal ruang udara terbabit dimaklumkan terlebih dahulu setiap pergerakan pesawat di kawasan berkenaan, tetapi ini tidak dilakukan oleh Beijing.

Terutama jika membabitkan latihan pesawat tentera, keperluannya bukan sahaja dimaklumkan, bahkan mesti meminta kebenaran daripada pihak berkuasa Malaysia.

Dalil ini diperkuatkan dalam isu hak kawasan perairan Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) Malaysia bahawa penggunaan laluan dalam perairan itu oleh kapal perang atau pelaksanaan latihan ketenteraan negara asing perlu mendapat kebenaran Malaysia.

Jika dipanjangkan konsep EEZ ini, pesawat PLAAF berkenaan berada dalam ruang udara EEZ kita, iaitu berhampiran Beting Patinggi Ali, Sarawak. Sudah semestinya kebenaran perlu dimohon oleh Beijing.

Lazimnya setiap latihan ketenteraan, sama ada yang dilakukan di darat, laut atau udara mempunyai objektif begitu spesifik. Contohnya, pesawat dan kapal perang milik AS sering menyusuri terumbu Fiery Cross yang ditambak China di Laut China Selatan.

Objektifnya adalah untuk mencabar had kedaulatan perairan terumbu berkenaan yang sepatutnya hanya 50 meter, tetapi China mendakwa disebabkan terumbu terbabit sudah menjadi pulau, maka had kedaulatan perairan ialah 12 batu nautika.

Walaupun Beijing mendakwa latihan itu tidak menyasarkan mana-mana negara, hakikatnya ia berlaku dalam ruang udara EEZ Malaysia dan juga ruang udara kawalan negara.

Seperti dalam kes pesawat Israel, persoalan perlu dinilai dalam sudut pandang agak berbeza. Apakah kehadiran pesawat PLAAF itu cuba menguji sistem pertahanan udara Malaysia adalah sesuatu logik untuk dijadikan objektif latihan ketenteraan?

Sistem pertahanan maritim kita di Laut China Selatan sentiasa diuji oleh Kapal Peronda Pengawal Pantai China (CCG) yang dikatakan sering berkeliaran dan menceroboh perairan EEZ Malaysia.

Apakah latihan itu untuk menguji landasan kapal terbang yang baru siap dibina di terumbu Fiery Cross juga ada kemungkinannya.

Nota bantahan diplomatik Wisma Putra ialah strategi tidak perlu dipertikaikan lagi kerana itu perkara paling minimum boleh dilakukan.

Sebenarnya isu pesawat PLAAF tidak segenting isu kapal cari gali West Capella yang dikontrak oleh PETRONAS pada Mei 2020.

West Capella dalam melaksanakan kerja cari gali di perairan EEZ Malaysia sentiasa dibayangi oleh kapal CCG sehingga memaksa Presiden AS ketika itu, Donald Trump menghantar kapal perang yang kononnya untuk membantu Malaysia. Isu ini diselesaikan secara baik melalui saluran diplomatik.

Elok juga diungkit peristiwa pesawat Hercules milik TUDM yang media Indonesia menuduh pesawat itu menceroboh ruang udara Natuna Indonesia pada November 2016.

Heboh seketika dalam media Indonesia bagaimana pesawat pejuang Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) memintas pesawat TUDM itu. Persepsi sedemikian dilakukan oleh media Indonesia demi mempamerkan bagaimana pemerintah mereka tidak berkompromi dalam hal keselamatan dan kedaulatan walaupun membabitkan negara akrab seperti Malaysia.

Begitu juga dalam hal pesawat PLAAF ini, kerajaan dan media juga perlu bijaksana mendepani isu ini dengan betul demi mempamerkan kepada rakyat bahawa dalam hal kedaulatan dan keselamatan, kita tidak akan berganjak walaupun berhadapan kuasa besar seperti China.

Berita Harian X