Ahad, 2 Mei 2021 | 10:45am

Halang campur tangan politik elak kemelut perebutan kuasa

Pendedahan secara terbuka dan telus oleh Ketua Polis Negara (KPN) sebenarnya bukan sesuatu yang baharu. Sudah banyak kedengaran sebelum ini, pembabitan kuasa politik dalam pentadbiran perkhidmatan awam yang ada kalanya seolah-olah tidak bersempadan lagi.

Ia pernah dan sedang berlaku sehingga tidak dapat dibezakan lagi antara peranan ketua dilantik dengan peranan ahli politik.

Dalam kata lain, apabila soal pentadbiran rutin harian termasuk pertukaran kakitangan turut dicampuri secara 'tadbir mikro', tidak hairanlah isu yang sedang hangat diperkatakan itu mengundang banyak percakaran dalaman.

Bezanya, apakah isu sama dihadapi itu didiamkan sahaja kerana tidak berani mengambil risiko akibat lantang mengkritik atau sebaliknya membuat kritikan secara terbuka. Tidak ramai berani tampil kerana mungkin memikirkan kesan terhadap masa depan dan kemajuan kerjaya sendiri.

Bertitik tolak pendedahan dilontarkan itu, ada kewajarannya kepada pucuk kepemimpinan mengambil tindakan drastik dan radikal untuk memperkasakan inisiatif dalam menangani kemelut 'perebutan kuasa' sebelum menjadi semakin parah.

Pendedahan itu jika tidak ditangani segera akan berupaya untuk terus mencalarkan imej dan reputasi kerajaan sendiri. Malah, akan terus menjadi bahan bualan rakyat yang bakal berupaya menggugat kedudukan kerajaan akibat hilang keyakinan dan kepercayaan dalam sistem pentadbiran.

Era serba maju terutama dalam dunia media sosial, maklumat sepantas kilat memberikan banyak cabaran dalam segenap aspek. Dalam kes terkini, sudah terlalu banyak rakaman audio dilakukan seolah-olah menjadi trend baharu untuk saling menjatuhkan.

Tidak dinafikan ada kala rakaman sebegitu banyak memberikan kelebihan sebagai bahan bukti. Namun, turut menggusarkan kenapa ia boleh berlaku dengan sebegitu mudah. Seolah-olah sudah tidak ada lagi peraturan dikuatkuasakan terhadap peruntukan undang-undang sedia ada mengenainya.

Dalam kata lain, ada baik dan tidak kurang buruknya. Dalam keghairahan kita mendengar rakaman berkenaan, sudah tiada lagikah hak privasi untuk dilindungi?

Tidak apalah sekiranya rakaman berkenaan ternyata mampu memberikan bukti untuk menegakkan keadilan. Namun, apa pula implikasinya bagi isu membabitkan keselamatan negara dan hal berkaitan?

Sewajarnya pihak berwajib mengambil perhatian serius mengenai trend sedang menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Ia perlu ditangani dengan segera sebelum menjadi di luar kawalan.

Berbalik kepada isu pendedahan KPN, sudah tiba masa untuk pucuk kepemimpinan melakukan diseksi atau pengasingan khusus terhadap skop dan limitasi pembabitan kuasa politik dengan tugas penjawat awam.

Ia sama seperti diamalkan pada peringkat tertinggi, sudah tiba masa diulang kembali saranan pernah dibuat sebelum ini supaya pemilihan dan cadangan calon untuk diangkat ke jawatan strategik dan tertinggi seharusnya dilakukan badan bebas diwakili pelbagai latar belakang dan tidak seharusnya terikat dengan mana-mana dukungan politik.

Selagi ia tidak dilaksanakan, selama itulah kemelut pertikaian antara kuasa politik dan tugas ketua jabatan dilantik dengan jabatan akan menghadapi dilema sama tanpa kesudahan.

Berkemungkinan tidak semua jabatan berhadapan isu ini. Namun, senyap tidak bererti semuanya teratur. Sebaliknya, pihak terbabit mungkin berasakan lebih baik senyap daripada menimbulkan konflik dan percakaran. Biarpun hakikatnya rasa tidak puas hati itu terus terpendam. Ini lebih bahaya.

Kuasa politik seharusnya lebih melihat kepada aspek dasar, hala tuju dan strategi ingin disasarkan sesuai dengan kedudukan diberikan. Soal urusan pentadbiran, susun atur penempatan kakitangan dan cadangan kemajuan kerjaya sebaiknya tidak usah dicampuri.

Berilah ruang dan hak untuk ketua dilantik diberikan peluang untuk melaksanakan tugas hakikinya. Hanya sekiranya berlaku pertikaian bagi kes benar-benar didapati mempunyai merit untuk dipertikaikan, di sinilah kehadiran dan campur tangan orang politik dalam pentadbiran dirasakan perlu.

Mereka boleh bertindak sebagai penimbang tara terhadap satu-satu isu atau kes, bukan mentadbir urus secara mikro.

Hakikatnya, memang ada kementerian sudah melaksanakannya. Namun, sering kedengaran, tanpa sebab musabab kukuh, ada kalanya keputusan badan bebas sepatutnya bebas itu dipatahkan dengan hanya menggunakan kuasa politik yang boleh dilakukan dengan mudah.

Di sinilah isu persempadanan skop tugas dan aspek pengagihan kuasa selayaknya diberikan perhatian amat mendalam. Tidak sepatutnya hak ketua dilantik untuk menguruskan jabatan di bawah kelolaannya itu boleh dijentik ketepi kerana kuasa politiknya sahaja.

Ia memang pahit untuk ditelan, namun itulah hakikat berlaku. Ini amat tidak kondusif sekiranya sektor perkhidmatan awam ingin melangkah jauh dan menerapkan nilai profesionalisme dalam perkhidmatan. Mana mungkin ia dicapai jika teras asas perkhidmatan masih gagal difahami mereka berkuasa.

Natijahnya, jadikanlah apa yang berlaku ini sebagai iktibar tidak boleh dipandang enteng. Agak memilukan apabila isu sebegini masih terus berlaku. Ia sudah pasti menimbulkan tanda tanya dan bahan bualan rakyat betapa kecoh pergolakan melanda.

Berita Harian X