Jumaat, 30 April 2021 | 11:30am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

IR4.0 perkasa tenaga pintar bersih capai kehidupan lestari

HARI Bumi Sedunia yang disambut 22 April baru-baru ini dengan tema 'Pulihkan Bumi Kita' bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar untuk generasi akan datang.

Penerokaan hutan, kemusnahan ekologi laut, penjarahan sumber flora dan fauna daratan, pembangunan tanpa kawalan dan mengawal risiko pengurusan pencemaran kerana ketamakan dan kerakusan manusia, mengakibatkan sistem ekologi dan kualiti kehidupan manusia menjadi semakin merosot dan tidak seimbang.

Menerusi inisiatif Kementerian Alam Sekitar serta Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Malaysia semestinya dapat memanfaatkan penggunaan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kerana kemampuan teknologi ini meningkatkan penggunaan tenaga bersih untuk kehidupan lebih mampan.

Pencarian penggunaan tenaga bersih seperti tenaga hijau semakin penting dewasa ini.

Semua industri berusaha mencari kaedah menghasilkan tenaga lebih berkesan, tanpa menyebabkan kerosakan kepada planet.

Justeru, sektor industri pembuatan masa depan perlu dididik mengenai pentingnya sumber tenaga bersih.

Malaysia juga menyasarkan pengurangan penggunaan karbon berkadar langsung dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 45 peratus menuju 2030.

Ia satu kaedah memperkasa teknologi hijau demi kelestarian alam sekitar dan kehidupan manusia sejagat.

Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO) mengeluarkan laporan pada 2017: Mempercepatkan Penghasilan Tenaga Bersih Melalui Industri 4.0.

Namun, ia bukanlah mudah seperti disangka. Menjelang 2014, sejumlah 78 peratus daripada keseluruhan penggunaan tenaga di planet ini didorong bahan bakar fosil.

Pada masa sama, kadar pertumbuhan adalah signifikan, terutama untuk fotovoltaik (PV) solar, yang mencapai kadar pertumbuhan 46.2 peratus sejak 1990.

Dengan penggunaan tenaga bersih, diharapkan pergantungan kepada tenaga fosil dapat dikurangkan, seterusnya menjaga alam sekitar dengan pengurangan pembebasan gas karbon dioksida.

Pada masa sama, membabitkan IR4.0 dalam industri tenaga lestari, membantu dalam mewujudkan rangkaian tenaga pintar yang mengelak perkembangan pergantungan kepada tenaga baharu.

Teknologi ini akan memungkinkan desentralisasi, dengan tenaga yang datang daripada sistem PV solar atau angin tempatan. Ini bermaksud pengguna dapat mengurus dan mengawal penggunaan tenaga mereka.

Laporan Gartner menyatakan, teknologi seperti rantaian blok akan berkembang menjelang 2022 mencecah nilai AS$10 bilion. Pada masa sama, internet kebendaan (IoT) akan menjimatkan pengguna dan perniagaan penyelenggaraan sebanyak AS$1 trilion setahun, termasuk perkhidmatan dan penggunaan

China antara pengeluar dan pemasang terbesar sistem tenaga PV suria dunia dan negara itu bersedia meningkatkan pemasangan solar berdasarkan maklumat terdapat dalam Rancangan Lima Tahun ke-14 (2021-2025) untuk memperkasakan tenaga bersih.

Mengikut Solar Energy, di bandar Walenstadt di Switzerland, penduduk kejiranan mengambil bahagian dalam pasaran perdagangan tenaga solar yang dikuasakan oleh rantaian blok.

Hasil teknologi ini, pembekal mikro dapat menerima pembayaran dengan mudah apabila mereka menyumbang kepada rangkaian. Dengan rantaian blok, desentralisasi industri tenaga lebih mudah berbanding sebelumnya.

Terdapat juga peluang bagi pengeluar lebih besar untuk menukar tenaga antara satu sama lain.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggariskan menerusi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang bersesuaian, untuk melestarikan penjagaan alam sekitar menerusi tenaga bersih.

Menerusi SDG 7 sasarannya mempromosikan tenaga berpatutan dan bersih. Tujuannya memastikan akses berpatutan, tenaga yang boleh dipercayai, mampan dan moden untuk semua menjelang 2030.

Ini termasuk peningkatan ketara bahagian tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga global, serta menggandakan kadar global peningkatan kecekapan tenaga.

Penggunaan IoT beserta Sistem Fizikal Siber (CPS) sudah pasti dapat membantu pemantauan tenaga bersih, seterusnya pelaporan dapat dibuat menerusi analitik data raya.

Implikasinya, ia dapat memperkasakan tenaga baharu yang bersih dan mengurangkan potensi hilangnya tenaga terbabit menerusi implementasi grid pintar.

Sementara SDG 9 pula berkaitan industri, inovasi dan infrastruktur. Ia bertujuan membina ketahanan infrastruktur dan mempromosikan perindustrian inklusif dan mampan serta memupuk inovasi.

Satu sasaran SDG 9 secara khusus mengetengahkan promosi inklusif dan perindustrian mampan serta meningkatkan bahagian pekerjaan dalam pembuatan dan perkadaran nilai pembuatan yang ditambahkan pada produk domestik kasar.

Peranan IoT dan CPS dapat mengesan pembaziran tenaga bersih, di samping mengoptimumkan penggunaan tenaga bersih daripada pembaziran bahan, pembuangan, tenaga dan jangka hayat produk di sektor industri.

SDG 13 pula didedikasikan untuk tindakan iklim: meningkatkan usaha untuk mengurangi perubahan iklim dan seterusnya menyesuaikan diri dengan kesannya.

Pelaksanaan SDG 13 berkaitan Perjanjian Paris, yang mula berkuat kuasa 4 November 2016, menjadi tonggak usaha mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim antarabangsa.

Menerusi rantaian blok, penggunaan IoT dan CPS serta analitik data raya, ia dapat memperkasakan penjanaan tenaga baharu untuk kemakmuran penjagaan alam sekitar dan kehidupan serta pengurangan kos penghasilan bahan dan proses, hasil pembuangan serta mengurangkan pembebasan gas rumah hijau.

Penggunaan grid pintar dapat mengurangkan pembaziran tenaga dan rantaian blok digunakan untuk perdagangan.

SDG yang dibentangkan tidak boleh didekati secara terpencil. Sebaliknya diwujudkan sinergi dan pelaksanaannya harus saling menyokong antara satu sama lain.

Mengeksploitasi faedah baharu perkembangan teknologi di sektor tenaga serta di bidang maklumat dan teknologi komunikasi (ICT) dapat membantu mengatasi SDG 7, 9 dan 13 secara bersepadu, memberi sumbangan besar kepada kelestarian dan penyahkarbonan dalam ekonomi dan perindustrian pembangunan.

Tegasnya, IR4.0 dapat dilaksanakan untuk kemampanan tenaga bersih yang lestari. Antara teknologi terbabit seperti analitik data raya, prototaip pantas, IoT dan teknologi rantaian blok.

Diharapkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli berserta MOSTI dapat bertindak proaktif dan bukan terhenti setakat menanam pokok saja.

Sebaliknya, mereka perlu meneroka serta mengambil peluang penggunaan tenaga baharu dan bersih seperti tenaga solar, mengambil kira kedudukan Malaysia di khatulistiwa untuk mengurangkan kos penggunaan tenaga fosil, menjaga alam sekitar di samping penjanaan pendapatan oleh komuniti itu sendiri.

Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Komputeran, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X