Selasa, 20 April 2021 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Isu gaji rendah graduan perlu penilaian, penyelesaian holistik

Baru-baru ini, kita digemparkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menggambarkan trend penurunan agak ketara terhadap kadar upah graduan baharu pada 2020, berbanding tahun sebelumnya.

Ia menunjukkan kejatuhan kadar julat upah daripada RM2,001 hingga RM2,500 pada 2019 kepada RM1,001 hingga RM1,500 pada tahun lalu.

Tidak dinafikan, kesan pandemik COVID-19 antara penyumbang utama keadaan ini. Apabila ekonomi negara menguncup pada kadar 5.6 peratus tahun lalu, ini menandakan kelembapan aktiviti dalam ekonomi dan perniagaan.

Ia bukan hanya mengakibatkan kadar pengangguran meningkat, bahkan inflasi negatif atau deflasi.

Pada 2020, kadar inflasi negara pada -1.2 peratus dan deflasi ini, sebenarnya lebih buruk daripada inflasi. Antaranya, kadar upah tidak meningkat dan lebih tenat, berlakunya penguncupan dalam pertumbuhan kadar upah.

Jadi, inilah antara penjelasan mengapa kadar upah graduan baharu pada 2020 jatuh pada tahap gaji minimum.

Namun, dengan jangkaan kadar pertumbuhan lebih baik tahun ini (sekitar 6 hingga 7.5 peratus) dan kadar inflasi dijangka tidak lagi berada pada tahap negatif, kita boleh menjangkakan fenomena ini bersifat sementara.

Dengan prospek ekonomi global dijangka lebih baik tahun ini, di samping pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang memasuki fasa kedua dan pelaksanaan Belanjawan 2021, proses pemulihan pertumbuhan upah negara tahun ini dijangka lebih baik.

Ia ditambah enam pakej rangsangan ekonomi dilancarkan, terutama Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) serta Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), masing-masing bernilai RM16 bilion dan RM20 bilion.

Dalam pakej PEMERKASA misalnya, di bawah inisiatif ketujuh, pelbagai insentif dan strategi digubal untuk mengekalkan pekerjaan serta memperbaiki keseluruhan tahap upah.

Dengan adanya Majlis Pekerjaan Negara (MPN), isu ini mungkin boleh diperhalusi untuk mencari penyelesaian lebih menyeluruh. Bukan saja peningkatan dalam kadar upah, bahkan usaha meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh dalam kalangan graduan muda.

Namun, perlu difahami isu kadar upah rendah terutama dalam kalangan graduan bukan baharu.

Ia antara isu struktur utama dalam ekonomi Malaysia sebelum pandemik COVID-19 lagi, terutama menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), memerlukan rangka dasar penyelesaian komprehensif dan menyeluruh berbentuk jangka sederhana dan panjang.

Inilah sebenarnya antara isu kritikal apabila kita membincangkan perlu menekan butang reset (set semula) dalam ekonomi Malaysia pasca pandemik COVID-19, menjangkaui perancangan belanjawan tahunan ataupun pakej rangsangan ekonomi setakat ini.

Dalam konteks ini, pentingnya Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Pelan Induk Perindustrian Keempat, Dasar Agromakanan Negara 2.0, Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2.0, serta Visi Nasional 30 tahun pasca-2020, yang antaranya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Persoalannya, kenapa kadar upah di negara ini tidak meningkat pada kadar sepatutnya?

Secara teori, kadar upah buruh ditentukan kuasa pasaran. Namun, secara realitinya, pasaran tidak sempurna.

Sebab itu, pada 2013 dasar gaji minimum diperkenalkan. Atas sebab ini juga, dasar pemberian subsidi bersasar atau dasar percukaian negatif diperkenalkan seperti program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Satu lagi punca utama kadar upah di negara ini agak rendah disebabkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing kurang mahir dalam pasaran buruh.

Inilah isu struktur perlu diatasi secara tuntas berbentuk jangka sederhana dan panjang. Kita perlu membentuk ekosistem bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing kurang mahir, bahkan dapat menarik pekerja mahir bekerja di sini, sama ada tempatan atau antarabangsa.

Ini boleh dilakukan dengan menggalakkan aktiviti pelaburan langsung asing (FDI) dan aktiviti eksport negara pada masa hadapan.

Di sinilah pentingnya ratifikasi kepada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perkongsian Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP).

Dengan meratifikasi RCEP and CPTPP misalnya, ia akan memaksa ekonomi kita lebih kompetitif dan kondusif untuk menarik pelabur asing, selain dapat meningkatkan produktiviti buruh secara keseluruhan.

Kedua-dua elemen ini sangat penting dalam usaha mencipta peluang pekerjaan baharu terutama pekerjaan berpendapatan tinggi kepada graduan baharu dan peningkatan dalam pertumbuhan upah negara, dengan peningkatan dalam tahap produktiviti buruh.

Namun, peningkatan upah juga faktor utama peningkatan dalam produktiviti buruh negara. Terdapat klausa dalam CPTPP untuk memperkasakan lagi kesatuan sekerja dan usaha ini dilihat dapat menekan majikan supaya peningkatan dalam kadar upah boleh berlaku pada masa hadapan.

Pada 2018 misalnya, nisbah pampasan pekerja (CE) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di negara ini masih rendah berbanding negara maju, iaitu 35.7 peratus.

Dalam RMKe-11, sasaran nisbah ini 40 peratus. Diharapkan dalam RMKe-12, ia boleh diletakkan pada sekitar 50 peratus seperti di Jerman dan United Kingdom (UK).

Isu kadar upah rendah ini, terutama dalam kalangan graduan muda perlu diberi keutamaan segera kerana membabitkan isu ekonomi dan sosial.

Antaranya, peningkatan kos sara hidup, kenaikan hutang isi rumah, keberadaan dalam golongan guna tenaga tidak penuh dan implikasi negatif kepada emosi, psikologi, identiti dan maruah serta harga diri seseorang pada masa hadapan.

Penulis adalah Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X