Isnin, 19 April 2021 | 11:00am
Tapak UNESCO Lembah Lenggong di Gua Kajang, Perak. - Foto hiasan/Salhani Ibrahim
Tapak UNESCO Lembah Lenggong di Gua Kajang, Perak. - Foto hiasan/Salhani Ibrahim

Perluas Akta 645 tingkat kecekapan urus warisan negara

Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) membawa perubahan positif terhadap pemikiran masyarakat Malaysia ke arah menghargai warisan tabii dan budaya.

Ia mentakrifkannya meliputi warisan kebudayaan (ketara dan tidak ketara); kebudayaan bawah air; kebudayaan penting dan semula jadi (tabii).

Tafsiran ini sudah meluas apabila komponen warisan tabii diperkenalkan secara jelas.

Warisan tabii meliputi nilai kawasan tabii dan merangkumi aspek fizikal dan biologi (flora dan fauna) atau ciri geologi, fisiografi dan proses pembentukan gunung, sungai, batuan, pesisir atau tapak tabii mempunyai nilai menonjol, sains, pemuliharaan sejarah dan memiliki pemandangan indah (estatik).

Mungkin inilah sebabnya, saya dijemput menjadi ahli pengasas Majlis Warisan Kebangsaan dan pada 2018 hingga 2020 dilantik sebagai Pengerusinya.

Keistimewaan Akta 645 terletak kepada pelantikan Pesuruhjaya Warisan oleh menteri bagi maksud menjalankan kuasa dan fungsi dalam pengurusan warisan.

Pesuruhjaya Warisan perlu mewujudkan pertubuhan perbadanan kekal, mempunyai sokongan guaman dan berfungsi memastikan warisan kebangsaan dipelihara serta dipulihara.

Banyak kemajuan dicapai dalam tempoh akta ini dilaksanakan seperti pembentukan jawatankuasa pakar pelbagai kategori warisan meneliti kesesuaian tapak dan objek bernilai warisan kebangsaan perlu didaftar atau diwartakan.

Kumpulan ini menjadi penasihat saintifik kepada Pesuruhjaya Warisan. Begitupun, Pesuruhjaya Warisan dan Akta 645 masih mempunyai cabaran perlu diatasi.

Pertama, Akta 645 tidak terpakai di Sabah dan Sarawak yang ada akta tersendiri dengan objektif dan fungsinya. Pesuruhjaya hanya dapat melaksanakan tugas di Semenanjung, tidak seluruh negara.

Kedua, jika tapak perlu diisytihar sebagai Warisan Kebangsaan, menteri hendaklah berunding dengan pihak berkuasa negeri untuk persetujuan sebelum membuat pengisytiharan.

Pengalaman sejak ia dikuatkuasakan menunjukkan aspek pelaksanaan sangat mencabar kerana lazimnya pihak berkuasa negeri enggan memberi kelulusan, khuatir hilang kuasa menguruskannya.

Ketiga, akta kebangsaan berkaitan pengurusan tapak atau wilayah perlu diterjemahkan kepada enakmen negeri supaya mudah diguna pakai.

Ini tidak berlaku dan kebanyakan negeri di Semenanjung masih tidak mempunyai enakmen selari semangat Akta 645.

Akibatnya, walaupun banyak tapak dicalon dan dicadangkan untuk diisytihar sebagai warisan kebangsaan, kebanyakannya tidak berlaku kerana negeri tidak mempunyai mekanisme pengisytiharan berasaskan perundangan negeri.

Dalam ucapan pertama mesyuarat Majlis Warisan Kebangsaan pada 2018, saya menyebut isu pengisytiharan warisan kebangsaan sangat kritikal kerana kelihatannya hampir tiada tapak disyorkan untuk diangkat menjadi warisan kebangsaan berjaya dilaksanakan.

Kebanyakannya sama ada tertangguh atau ditolak pihak berkuasa negeri. Apakah kerajaan negeri tidak beriltizam mewujudkan tapak warisan penting? Atau masih terdapat isu asas perlu diatasi?

Saya syorkan gerakan mengisytihar warisan dimulakan pada peringkat negeri. Negara melalui sokongan Akta 645 hanya menggalakkan kerajaan negeri mewujudkan tapak warisan negeri dan diurus sepenuhnya institusi di peringkat negeri.

Pihak berkuasa negeri boleh memohon tapak warisan negeri sesuai didaftarkan di bawah Daftar Warisan Kebangsaan dengan mendapat insentif pengurusan berpatutan.

Warisan mempunyai dua matra saling berkaitan satu sama lain.

Pertama, kepentingannya kepada komuniti setempat dan negeri. Sebuah bangunan, bukit atau sungai berjasa kepada penduduk pekan, bandar atau negeri akan sentiasa dihargai mereka di sekitarnya.

Walhal, tapak atau objek hampir sama boleh dijumpai di mana-mana dalam sesebuah negeri atau negara.

Kedua, nilai saintifik atau tamadun sesuatu warisan daripada perspektif manusia. Objek atau tapak warisan boleh unik, iaitu satu-satunya pernah dijumpai di negeri, negara atau dunia.

Dalam konteks ini ia boleh dikenali sebagai warisan bernilai tempatan, kebangsaan atau global.

Istilah nilai luar biasa sejagat (OUV) digunakan semasa menentukan tapak warisan dunia berdasarkan konsep keunikan ini.

Saya berpendapat Jabatan Warisan Negara melalui Akta 645 perlu memberikan tumpuan kepada warisan bertaraf kebangsaan dan dunia.

Urusan pemilihan, pewartaan, pemuliharaan dan pengurusan perlu diberikan perhatian dengan peruntukan kewangan mencukupi.

Tugas mewarta atau mengurus warisan tempatan dan negeri perlu diserah kepada majlis daerah dan kerajaan negeri.

Keupayaan teknikal dan bantuan kewangan pada peringkat tempatan dan negeri perlu ditingkatkan melalui kerjasama Jabatan Warisan Negara, Jabatan Warisan Negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan warisan.

Ahli Majlis Warisan Negara merangkumi pakar pelbagai bidang boleh digerakkan untuk tujuan pelaksanaan, tidak sekadar tugas menasihati.

Mereka boleh diberikan mandat khusus dan terbabit dalam projek pembangunan tapak warisan bertaraf negara serta dunia.

Ahli majlis bukan saja berkepakaran tinggi hal ehwal warisan, bahkan disokong institusi menggerakkan projek pemuliharaan.

Antara tugas boleh digerakkan ialah duta warisan dan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menggalakkan warisan negeri diangkat menjadi warisan kebangsaan atau dunia.

Mengurus sumber warisan daripada perspektif industri pelancongan boleh membantu dalam pembangunan prasarana dan pengurusan tapak warisan daripada terbiar serta musnah.

Begitupun, perhatian tinggi perlu diberikan kepada aspek pemeliharaan dan pemuliharaan jangka panjang.

Banyak tapak warisan tidak dapat mengekalkan keaslian dan integriti hanya kerana keghairahan membangun pelancongan serta pertimbangan komersial.

Pertimbangan pemuliharaan tapak warisan perlu didahulukan berbanding aktiviti menjejas nilai warisan hanya untuk meningkatkan daya tarikan pelancongan.

Kerajaan negeri dan persekutuan perlu mempunyai perancangan jitu untuk memulihara warisan negara. Banyak negara hilang warisan hanya kerana kurang menghayati kepentingan simbol ketamadunan bangsa.

Keupayaan memulihara warisan ialah jelmaan utama tamadun bangsa dan kayu pengukur kemajuan sebuah negara.

Penulis adalah Bekas Pengerusi Majlis Warisan Kebangsaan dan Felo Penyelidik Utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X