Ahad, 18 April 2021 | 10:30am

Penjawat awam perlu perkukuh integriti bendung rasuah

bhrencana.bh.com.my

Nilai integriti antara tonggak utama dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan berfungsi secara efektif dan efisien.

Tidak dinafikan terdapat segelintir kecil penjawat awam yang tergelincir daripada landasan sebenar dan terjerumus dalam salah laku yang membabitkan rasuah.

Isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam adalah isu serius yang berlaku sejak dahulu dan kerajaan sudah pun melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membendung perkara ini.

Menerusi penelitian dan pengamatan, secanggih mana pun teknologi dan sistem yang diguna pakai, tulang belakangnya adalah manusia juga yang membangunkan dan mempunyai akses kepada sistem itu.

Apabila nilai integriti rapuh, ditambah dengan ruang dan peluang mendapat habuan lumayan daripada pihak berkaitan, maka kecenderungan untuk terjerumus dalam isu rasuah ini adalah besar.

Statistik sepanjang lima tahun terkini dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan peningkatan dari segi tangkapan, pertuduhan dan sabitan di mahkamah ke atas penjawat awam.

Statistik 2020 ketika pandemik COVID-19 pula, kes rasuah membabitkan penjawat awam terus meningkat. Sebanyak 422 kertas siasatan dibuka terhadap penjawat awam sahaja, yang membabitkan 467 kes tangkapan, 256 pertuduhan kes di mahkamah dan 91 kes sabitan yang membabitkan penjawat awam.

Meskipun jumlah penjawat awam yang terbabit rasuah ini kecil, sekiranya ia dibiarkan dikhuatiri menjadi barah yang merosakkan perkhidmatan awam negara secara keseluruhan.

Justeru, ia perlu ditangani dengan lebih berkesan. Bukan sekadar dengan kaedah punitif atau hukuman, tetapi melihat secara keseluruhan akar permasalahan yang menyebabkan ia terus berlaku.

Kerajaan membangunkan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 sebagai satu manifestasi memerangi rasuah secara holistik selaras dengan Artikel 5 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Memerangi Rasuah (UNCAC).

Seiring dengan perubahan semasa dan dasar negara khususnya agenda pengukuhan integriti, antirasuah dan tadbir urus baik serta juga selaras dengan keperluan instrumen antarabangsa UNCAC, semakan semula terhadap NACP dilakukan pada 2020.

Semakan itu membabitkan enam strategi, 17 objektif strategik dan 82 inisiatif. Daripada 82 inisiatif itu, 19 adalah membabitkan inisiatif jangka pendek (Disember 2020 hingga Disember 2021), 11 inisiatif jangka sederhana (Disember 2020 hingga Disember 2022) dan 52 inisiatif jangka panjang (Disember 2020 hingga Disember 2023).

Dalam merealisasikan matlamat NACP, peranan dan kerjasama semua ketua agensi pelaksana yang dilantik bersama agensi rakan strategik masing-masing, adalah amat penting.

Ia bertujuan untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan pelaksanaan inisiatif yang sudah pun digariskan, supaya keberkesanan pelaksanaan inisiatif dapat dikecapi.

Satu daripada inisiatif utama yang perlu diberikan perhatian oleh semua kementerian dan jabatan adalah membangunkan Sistem Pengurusan Antirasuah atau Anti-Bribery Management System (ABMS). Ia akan membantu organisasi mencegah, mengesan dan menangani risiko rasuah secara sistematik.

Semua kementerian akan mendapatkan pensijilan daripada badan pensijilan tempatan yang diiktiraf antarabangsa iaitu SIRIM QAS International.

Pensijilan ini bertujuan memastikan sistem ini akan sentiasa dipantau dan diaudit keberkesanannya. Ini akan membantu organisasi untuk bertindak dalam meminimumkan ruang dan peluang rasuah berlaku.

Saya sendiri acap kali menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap penjawat awam yang terbabit dengan salah laku rasuah.

Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penjawat awam yang dibuktikan bersalah atas salah laku ini, seperti dibuang kerja atau turun pangkat.

Ia perlu dilaksanakan untuk menjadi pengajaran kepada penjawat awam lain.

Di samping itu, akan dipastikan juga pusingan kerja bagi jawatan yang sensitif seperti perolehan, pelesenan, penguatkuasaan dan kewangan akan sentiasa dilaksanakan supaya dapat meminimumkan risiko salah laku rasuah.

Saya amat berharap isu salah laku rasuah dapat dibendung dan diatasi bagi menjaga imej kerajaan dan perkhidmatan awam.

Kepada semua penjawat awam, kukuhkan nilai integriti dalam diri dan junjung prinsip kedaulatan undang-undang dalam setiap perkhidmatan yang kita berikan.

Ini adalah tanggungjawab dan amanah kita sebagaimana yang termaktub dalam surat aku janji yang sudah ditandatangani sebagai penjawat awam.

Berita Harian X