Isnin, 8 Februari 2021 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Penjawat awam ejen perubahan nilai tadbir urus negara

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) beriltizam memastikan Malaysia terus membangun secara mampan seiring pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah serta rantaian bekalan.

Ia suatu rangka tindakan komprehensif digariskan kerajaan yang jelas memerlukan kerjasama seluruh pihak.

Perkhidmatan awam selaku ejen perubahan paling penting, semestinya mempunyai tugas paling signifikan dalam hal ini.

Ia cabaran berat, sekali gus menuntut usaha dan penambahbaikan sistem nilai tadbir urus perkhidmatan awam di Malaysia.

Namun, penularan COVID-19 yang berpanjangan mengubah budaya kerja dan norma masyarakat. Lantaran itu, penerapan sistem nilai yang telus serta cekap menjadi harapan semua pihak supaya selari kemajuan ingin dicapai.

Realitinya, pegangan nilai dan pengamalan budaya berintegriti adalah teras kepada seluruh usaha ini. Agak ralat apabila Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International (TI) 2020 menunjukkan Malaysia jatuh pada kedudukan ke-57 daripada 180 negara.

Ia wajar diambil perhatian. Malaysia memperoleh 51 daripada 100 mata dan merosot enam anak tangga berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Presiden TI-Malaysia, kedudukan ini berkait rapat beberapa kes seperti skandal daging tidak halal, kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah penjawat awam, kemas kini kes berprofil tinggi di mahkamah, di samping capaian terhad kepada maklumat terkait kepentingan awam serta status kerajaan yang belum membentangkan Rang Undang-Undang Perolehan Awam.

Lantas, keutamaan harus diberi kepada usaha menambah baik sistem nilai tadbir urus pada semua peringkat bidang kuasa kerajaan.

Struktur kerajaan memerlukan doktrin nilai 'semak-imbang' yang jelas antara kuasa eksekutif, perundangan serta kehakiman. Ia nilai asas dengan pengasingan kuasa teras penting pelaksanaan ini.

Melaluinya, institusi di sektor awam dapat dipastikan lebih terdidik, tersusun dan dikendalikan dengan nilai tadbir urus baik, pelaksanaan kuasa yang telus serta bertanggungjawab.

Usaha menambah baik juga perlu dilihat dari aspek hubungan dan koordinasi antara penjawat awam pada peringkat Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Hubungan baik antara semua peringkat kerajaan ini harus dipromosi sebaiknya dan diikat dengan semangat federalisme. Ketua pentadbiran pada peringkat tertinggi harus mengambil peranan ini, di samping sokongan sistem politik.

Meningkatkan integriti dan akauntabiliti dalam kalangan penjawat awam semestinya menjadi usaha berterusan. Perlu diakui, penjawat awam paling berisiko terhadap rasuah khususnya yang terbabit pelaksanaan keputusan dan perolehan kerajaan.

Penting untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap pentadbiran sektor awam.

Sehubungan itu Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 diusahakan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) serta Institut Integriti Malaysia (IIM) harus terus didukung.

Memupuk nilai murni serta amalan kerja beretika, bersih, cekap dan amanah perlu diterap setiap masa. Ia cerminan harapan semua pihak dalam membudayakan ketelusan, akauntabiliti dan integriti, di samping tindakan bersifat punitif.

Harus diingat, rasuah bukan sekadar kesalahan undang-undang, tetapi kesalahan sosial dan peradaban yang menjejaskan imej sektor awam seluruhnya.

Sudah tiba masa persijilan MS ISO 37001: 2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) diimplementasi secara mutlak di semua sektor awam. Pensijilan bertaraf antarabangsa ini bertujuan mewujudkan rangka kerja korporat mencegah, mengesan dan menyiasat kes berkaitan rasuah.

ABMS diharap menjadi alat ukur berkesan kepada liabiliti syarikat, kepatuhan kepada peraturan, kawalan pengukuran dan komitmen kepada integriti.

Kajian keberkesanan dijalankan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bersama Universiti Malaysia Pahang (UMP), SIRIM dan IIM mendapati jumlah aduan berkaitan aktiviti rasuah dalam organisasi meningkat 50 peratus dengan adanya ABMS.

Maksudnya, kakitangan dalam organisasi lebih berani melaporkan isu berkaitan rasuah dengan adanya ABMS.

Ia suatu pencapaian penting memandangkan hasrat memperkukuh dan menyempurnakan penyampaian perkhidmatan awam adalah matlamat akhir semua pihak.

Pada era pandemik COVID-19, sektor awam benar-benar diharap menjadi pemudah cara kepada pelbagai inisiatif kerajaan seperti Pelan Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Untuk itu, menguasai perkembangan teknologi menjadi satu kemestian. Mendigitalkan penyampaian perkhidmatan awam adalah satu bentuk pelaksanaan usaha dan kemahiran yang perlu dikuasai setiap penjawat awam.

Teknik automasi perlu diperkemaskan, sekali gus mengekalkan perkhidmatan cekap, cepat dan berkesan kepada rakyat.

Semua ini harus dilakukan dengan betul dan kompeten untuk memperkukuhkan sistem nilai tadbir urus yang telus serta berintegriti.

Akhir sekali, mengurus perubahan bukan sekadar melaksanakan norma baharu. Ia berkait pendekatan spesifik sektor awam dan penjawatnya untuk sama-sama mengubah sistem nilai tadbir urus sedia ada supaya sentiasa berubah secara dinamik bagi mencapai matlamat ditetapkan.

Sistem nilai tadbir urus sektor awam harus direformasi dan berintegriti sepenuhnya.

Pembabitan bersungguh-sungguh serta penuh tanggungjawab penjawat awam sangat diharapkan sebagai pendukung untuk menerapkan sistem nilai telus, cekap dan berintegriti.

Hanya dengan perubahan sistem nilai tadbir urus, maka kelestarian hidup rakyat terus terpelihara.

Ini sekali gus menyumbang kepada objektif WKB 2030 iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Berita Harian X