Sabtu, 7 November 2020 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Memperkemaskan proses pemulihan ekonomi negara

Belanjawan 2021 kali ini dibentangkan dalam suasana berbeza dari tahun-tahun sebelumnya. Mana tidaknya, kita sedang berhadapan pelbagai krisis seperti kesihatan, ekonomi dan juga ketidakstabilan politik.

Ramai yang gusar apakah belanjawan kali ini dapat dilaksanakan dengan kadar segera dan juga peruntukan lebih besar. Berdasarkan angka diberi, defisit fiskal dijangka berada paras RM84.8 bilion bersamaan 5.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021.

Pada 2020 pula, angka defisit fiskal diunjurkan mencecah RM86.6 bilion atau 6 peratus daripada KDNK. Sememangnya angka defisit ini angka tertinggi dalam sejarah. Mungkin ada yang kurang senang dengan melebarnya angka defisit.

Namun, ia sesuatu yang perlu bagi menstabilkan ekonomi dan memastikan negara sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan dalam menangani wabak COVID-19. Lebih 100 tahun lalu, negara kita pernah mengalami wabak Spanish Flu yang meragut 34,644 nyawa pada 1918. Sudah tentu kita tidak mahu angka seperti ini berulang.

Buat masa ini, tanda pemulihan ekonomi sudah mula kelihatan. Contoh paling mudah untuk kita fahami ialah jualan kenderaan yang telah pun mencecah 166,796 unit pada suku ketiga 2020 berbanding 67,796 unit pada suku kedua 2020. Ini bermakna lonjakan sebanyak 146 peratus!

Data eksport juga melonjak sebanyak 4.4 peratus pada suku ketiga selepas angka terbabit menguncup 15.1 peratus pada suku kedua. Lebihan imbangan dagangan berada paras RM60.4 bilion pada suku ketiga 2020 dan ia mewakili peningkatan sebanyak 68.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ini bermakna sumbangan daripada sektor luaran dijangka begitu memberangsangkan kepada angka KDNK pada suku ketiga yang akan diumumkan pada pertengahan bulan ini.

Oleh itu, proses pemulihan ekonomi ini perlu diurus supaya momentumnya dapat dikekalkan. Namun, perkara ini bukanlah semudah disangka memandangkan langkah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sudah pun dilaksanakan semula di beberapa negeri utama seperti Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah. Sememangnya PKPB ini boleh memberi kesan kepada proses pemulihan ekonomi yang sedang berlangsung.

Jumlah peruntukan dalam Belanjawan 2021 pada kali ini adalah RM322.5 bilion, meningkat sebanyak 2.5 peratus daripada RM314.7 bilion pada tahun ini. Angka ini sememangnya tertinggi dalam sejarah dan perkara ini menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani wabak COVID-19 serta kesannya kepada ekonomi negara.

Hakikatnya belanjawan yang dibentangkan semalam adalah suatu usaha untuk mengimbangi permintaan rakyat dan keperluan untuk merangsang ekonomi domestik. Ternyata, kerajaan mengambil jalan tengah dalam hal ini.

Dari satu segi, pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium bersasar bagi kedua-dua langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk mengambil kira kesusahan yang dihadapi rakyat.

Dari satu segi lain pula, keperluan untuk merangsang ekonomi domestik dizahirkan melalui peruntukan perbelanjaan pembangunan tinggi, iaitu sebanyak RM69 bilion pada 2021 berbanding RM50 billion pada tahun ini. Perkara ini seiring dengan peningkatan ketara dalam KDNK bagi sektor pembinaan, iaitu sebanyak 13.9 peratus pada 2021 setelah menguncup sebanyak 18.7 peratus pada tahun ini.

Kerajaan juga menyatakan sejumlah RM15 bilion akan dibelanjakan untuk melaksana projek infrastruktur seperti Lebuhraya Pan Borneo (LPB), Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (EDTP) dan Projek Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3) serta pelbagai projek berimpak tinggi.

Secara keseluruhan, kerajaan sedang meletakkan keutamaan tepat, iaitu memerangi wabak COVID-19 sebagai perkara pokok dan pada masa sama cuba memastikan mereka yang terkesan dari sudut ekonomi menerima bantuan selayaknya.

Sekali lagi kita dapat melihat KWSP dalam memainkan peranan bersama Kerajaan Persekutuan untuk menstabilkan kemelesetan ekonomi yang KDNK dijangka menguncup sebanyak 4.5 peratus pada tahun ini.

Caruman bahagian pekerja telah dikurangkan sekali lagi daripada 11 peratus kepada 9 peratus bermula daripada Januari hingga Disember 2021. Pemotongan caruman sebelum ini adalah daripada 11 peratus kepada 7 peratus yang bermula April hingga Disember 2020.

Mengikut perkiraan penulis sudah enam kali caruman ini dikurangkan bagi menambah pendapatan boleh guna pencarum ketika negara menghadapi kemelesetan atau kelembapan ekonomi. Justeru, 'dosnya' sudah ditambah dengan pengeluaran Akaun 1.

Ramai juga mungkin bertanya apakah moratorium pinjaman yang diumumkan akan menjejaskan kewangan institusi perbankan? Buat masa ini, kedudukan kecairan institusi perbankan tempatan berada pada tahap baik yang nisbah kecairan atau Liquidity Coverage Ratio (LCR) berada pada paras 152 peratus setakat September.

Nisbah minimumnya ialah 100 peratus, manakala nisbah modal atau Total Capital Ratio (TCR) berada pada paras 18.4 peratus pada September lalu dan nisbah minimumnya adalah 10.5 peratus. Sememangnya posisi kewangan institusi perbankan berada di tahap baik.

Namun, kedudukan kewangan bank perlu dipelihara kerana ia jantung yang mengepam wang tunai dalam sistem ekonomi negara. Harus diingat moratorium yang diberikan hanyalah kepada pinjaman atau pembiayaan, manakala tiada pula moratorium dikenakan terhadap pendeposit yang menyimpan wangnya dengan pihak bank.

Bayaran keuntungan atau faedah ke atas deposit yang disimpan rakyat akan terus dibayar dan ia suatu kos dana kepada pihak bank. Sememangnya berlaku ketidakseimbangan. Namun, seperti dibincangkan sebentar tadi, kedudukan kewangan institusi kewangan berada dalam keadaan baik dan sihat. Ia usaha sekian lama oleh pihak bank pusat sejak negara menghadapi Krisis Kewangan Asia 1997 dan 1998.

Berdasarkan apa yang dibentang Menteri Kewangan, dapatlah kita simpulkan kerajaan sedang berusaha untuk menangani ekonomi yang sedang dilanda badai COVID-19. Segala perancangan telah pun dikemukakan dengan mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan serta keperluan untuk merangsang kegiatan ekonomi.

Tidak dinafikan angka defisit sememangnya terbesar dalam sejarah dan ia menunjukkan keseriusan permasalahan yang dihadapi. Satu nyawa terkorban sudah terlalu banyak untuk kita hadapi.

Justeru, suatu muafakat jitu bagi meraikan cadangan belanjawan dibentang adalah penting bagi kelangsungan masyarakat umum di Malaysia tercinta ini.

Penulis adalah Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Islam Malaysia Berhad

Berita Harian X