Jumaat, 6 November 2020 | 11:00am

Sokong Belanjawan 2021 atas dasar 'perpaduan ekonomi'

Dua isu ekonomi penting dalam konteks Malaysia perlu diberi perhatian. Pertama, pertalian antara risiko kesihatan, ketidakstabilan politik dengan risiko ekonomi dalam menentukan titik keseimbangan kebajikan.

Kedua, mengapa 'perpaduan ekonomi' dalam kalangan ahli politik penting kepada Belanjawan 2021.

Titik keseimbangan antara risiko jangkitan COVID-19 dengan risiko ekonomi menjadi pertimbangan utama kerajaan bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat terjaga.

Antara Mac hingga Mei lalu, kita memberi keutamaan kepada risiko kesihatan dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Akibatnya, pengeluaran sektor ekonomi terjejas teruk yang seterusnya memberi implikasi besar jumlah pengangguran. Contohnya pada Jun lalu, terdapat 18,579 individu kehilangan pekerjaan dan kadar pengangguran berada pada paras 4.9 peratus.

Dari segi ekonomi, wujud trade-off atau perhubungan negatif antara risiko jangkitan COVID-19 dengan risiko ekonomi.

Ketika kes jangkitan COVID-19 tinggi, PKP dilaksanakan menyebabkan pergerakan individu diperketatkan dan aktiviti perniagaan dihadkan (sama ada tempoh operasi atau sektor tertentu).

Kesannya, sebahagian individu akan kehilangan pekerjaan dan pendapatan akan berkurangan. Situasi ini akan menyebabkan keseimbangan kebajikan tidak boleh dicapai.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan pada negeri dan kawasan tertentu menjadi pelarasan halus untuk memastikan risiko kesihatan dan ekonomi dapat dikurangkan, seterusnya memastikan kebajikan tidak jauh tersasar daripada titik keseimbangan.

COVID-19 juga didapati menjadi penentu kepada titik keseimbangan kebajikan membabitkan kestabilan politik. Kestabilan politik sesebuah negara mempengaruhi kestabilan ekonomi.

Ekonomi akan berhadapan risiko apabila keadaan politik dan tadbir urus negara berada dalam keadaan tidak menentu. Semakin tidak stabil politik sesebuah negara, semakin tinggi risiko ekonomi bakal dihadapi.

Pada ketika jangkitan COVID-19 meningkat, wujud keseimbangan 'sementara' antara ketidakstabilan politik dengan risiko ekonomi.

Keseimbangan ini bersifat sementara kerana percaturan politik akan kembali ke arena apabila risiko kesihatan dapat dikawal sepenuhnya.

Keseimbangan sementara ini akan hanya disahkan secara pratikal melalui pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen, hari ini.

Belanjawan ini juga bakal mencipta sejarah tersendiri kerana dijangka akan mendapat sokongan semua Ahli Parlimen di atas dasar 'perpaduan ekonomi.'

Eloknya juga jika dirungkai secara ringkas mengapa Belanjawan 2021 perlu diluluskan.

Terdahulu kerajaan mengumumkan empat pakej rangsangan ekonomi, iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS (Tambahan), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA PRIHATIN) yang semuanya berjumlah RM305 bilion.

Jika tahun ini sudah dilaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi, mengapa Belanjawan 2021 menjadi sangat penting kepada negara memerlukan kepada panggilan 'perpaduan ekonomi' dalam kalangan semua Ahli Parlimen?

Kita perlu fahami bahawa wujud jurang masa dalam melaksanakan kesemua program di bawah pakej rangsangan itu. Pada pengamatan penulis, kadar pelaksanaan program yang dirangka masih di bawah paras 70 peratus.

Program yang dirangka perlu diteruskan pada 2021 dan penambahbaikan mungkin diperlukan.

Perlu difahami juga impak pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi hanya dapat dilihat selepas beberapa bulan pelaksanaannya.

Hal ini kerana impak peruntukan kewangan diterima peniaga dan isi rumah pada hari ini hanya dapat dinilai keberkesananannya selepas beberapa tempoh. Ini dinamakan lagging effects dalam istilah analisis ekonomi.

Justeru, Belanjawan 2021 perlu diluluskan bagi memastikan kelangsungan program pada pakej rangsangan ekonomi 2020 dan memastikan penambahbaikan boleh dilaksanakan.

Hal ini memastikan pemulihan ekonomi rakyat, peniaga dan negara berada pada landasan betul. Negara, peniaga dan rakyat akan menghadapi risiko jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan atau dimanipulasi.

Untuk mendapatkan pemahaman mudah, biar penulis berikan analogi seperti berikut: Bella terbabit dalam kemalangan memberi impak terhadap fungsi otak. Bella dirawat beberapa doktor pakar otak di sebuah hospital.

Di dalam tempoh rawatan, Bella dijangka akan pulih lebih cepat jika dia hanya dirawat pakar otak berbanding jika pakar lain seperti pakar kanak-kanak dan kulit dilibatkan sekali.

Perhatian Belanjawan 2021 perlu terarah kepada pemulihan ekonomi rakyat dan peniaga. Ekonomi negara sedang melalui fasa pemulihan dengan kadar pemulihan kebanyakan perniagaan dianggarkan sudah melepasi 50 peratus.

Begitu juga kadar pengangguran dijangka stabil sekitar 4.4 peratus hingga 4.6 peratus untuk 2020 (pengangguran normal ketika tiada krisis adalah sekitar 3.3 peratus).

Sebahagian perniagaan sudah pulih dan begitu juga sebahagian pekerja mendapat pekerjaan.

Bagaimanapun, masih terdapat banyak aspek perlu diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya. Contohnya, peluang pekerjaan sedia ada juga berkemungkinan tidak sepadan dengan pekerjaan sebelum COVID-19 melanda ekonomi negara.

Begitu juga, kadar gaji dan upah ditawarkan tidak sepadan dengan pekerjaan terdahulu. Jadi, dalam fasa pemulihan ini masih ramai dalam kalangan pekerja dan isi rumah memerlukan bantuan bagi memperbaiki keadaan ekonomi mereka. Begitu juga dengan golongan peniaga.

Analogi berikut mungkin boleh membantu memahami falsafah pemulihan ekonomi yang terdapat dalam Belanjawan 2021. Zairi, seorang mekanik yang membuat overhaul keseluruhan enjin ke atas sebuah kereta.

Overhaul sudah siap dan semua komponen enjin kereta siap dipasang semula. Ujian pemanduan menunjukkan masih ada komponen perlu dibaiki semula dan ada komponen perlu diganti.

Inilah proses yang perlu dihadapi kerajaan ketika fasa pemulihan ekonomi. Ketika ini, adalah lebih baik overhaul ekonomi itu dikemudi mekanik sama bagi mengurangkan risiko.

Pengambilalihan mekanik lain boleh dipertimbangkan pada masa akan datang setelah penilaian dilakukan.

Penulis adalah Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Berita Harian X