Khamis, 17 September 2020 | 11:00am

Selaras dasar kelestarian ekonomi, masyarakat dan alam sekitar

Setiap tahun negara menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Jika sambutan kemerdekaan melambangkan bebasnya Semenanjung Tanah Melayu daripada penjajahan Inggeris, Hari Malaysia pula memperingati persetujuan tiga wilayah, iaitu Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bergabung menjadi sebuah negara berdaulat - Malaysia.

Sejak 1963, walaupun wujud pelbagai isu 'identiti kendiri', kita dapat menyaksikan bagaimana Sabah dan Sarawak berkembang maju daripada perspektif ekonomi dan pendidikan dalam kesatuan kenegaraan.

Pada tahun ini, negara berhadapan pelbagai cabaran getir perlu diberikan perhatian serius. Antaranya ancaman COVID-19, kelembapan ekonomi, pengangguran, ketidakstabilan politik, perpaduan kaum, kes rasuah membabitkan 1MDB, pencemaran air dan bencana seperti banjir kilat di Kuala Lumpur.

Mujur isu ketidakstabilan politik mulai reda dan kerajaan berupaya mengambil pelbagai langkah intervensi mengatasi beberapa isu luar biasa, terutama mengekang COVID-19 dan kestabilan ekonomi masyarakat. Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diharapkan dapat meredakan sedikit suhu politik semasa dan kestabilan kepemimpinan negara.

Sejak lebih 25 tahun lalu, saya berkecimpung dengan penyelidikan dan latihan mengenai kelestarian, apabila dilantik sebagai Pengarah Bersekutu, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Hingga hari ini, kami masih mencari formula terbaik untuk diguna pakai dalam pembangunan lestari di negara ini. Kita sering disogokkan formula ilmuwan Barat, iaitu 'keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kesihatan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat' serta terkini, mereka memperkenalkan Agenda 2030, iaitu 17 Sasaran Pembangunan Lestari (SDG) untuk dilaksanakan.

Memang benar mimpi begini diharapkan setiap negara, begitupun, ciri asas negara seperti sejarah, kepelbagaian kaum, tahap pembangunan ekonomi, keupayaan teknologi, kepercayaan dan pengaruh luaran ialah realiti perlu dihadapi.

Jika kita dapat senaraikan isu utama negara bagi mencapai pembangunan lestari dan mengambil tindakan sewajarnya, negara akan lebih hampir kepada amalan kelestarian. Dalam konteks ekonomi umpamanya, negara boleh berbangga dengan pertumbuhan tahunan ekonomi, tetapi apakah kekayaan bumi ini dikongsi majoriti penduduk watannya?

Perbezaan antara golongan kaya dengan miskin amat ketara dan jumlah mereka berpendapatan rendah serta kurang keupayaan memajukan diri masih sangat tinggi. Apakah ada usaha jelas mengatasi cabaran ini? Malaysia perlu berganjak daripada paradigma 'ekonomi negara kepada ekonomi rakyat'. Slogan rakyat perlu didahulukan perlu disusuli dengan tindakan tepat.

Dalam isu kesejahteraan masyarakat, isu paling getir ialah perpaduan kaum. Saya lebih selesa menggunakan istilah 'keharmonian kaum' kerana mereka tidak mempunyai pilihan kecuali hidup berharmoni, hormat-menghormati dan memahami hak masing-masing.

Dalam hidup berharmoni, kita perlu bangkitkan 'semangat kenegaraan dan nilai kebersamaan.' Semangat kenegaraan meliputi kecintaan kepada negara dan kepercayaan kepada Perlembagaan, manakala nilai kebersamaan perlu diasaskan nilai murni seperti kebenaran, keadilan, integriti serta berhati mulia.

Saya masih ternanti-nanti proses pembinaan 'negara bangsa' berasaskan tamadun dan budaya kebangsaan. Konsep 'bahasa jiwa bangsa' apakah sudah diterima semua warga? Atau Malaysia sedang dihanyutkan arus globalisasi, untung sabut timbul dan untung batu tenggelam?

Sejak merdeka, isu alam sekitar kurang mendapat perhatian kerajaan negeri dan Persekutuan. Sebab utama ialah kesedaran dan penghayatan mengenai fungsi alam sekitar terhadap kesejahteraan masyarakat sangat rendah.

Dua perkara asas mencetus keadaan begini; pertama, alam sekitar dianggap 'sumber untuk manusia dan boleh digunakan percuma.' Kedua, ketika merdeka, jumlah penduduk masih kecil dan industri belum berkembang pesat. Ketika itu, alam sekitar dapat menyediakan perkhidmatan dengan cemerlang, manakala isu pencemaran jarang timbul.

Keadaan berubah, air dan udara sering dicemar, manakala bencana seperti banjir dan tanah runtuh menjadi lumrah. Pencemaran air di Lembah Klang menyebabkan hampir lima juta penduduk mengalami gangguan bekalan air bersih bukan isu baru muncul.

Ramai tidak menyedari alam sekitar ialah sumber asas kehidupan dan menjalankan pelbagai fungsi untuk kestabilan alam serta menyediakan sumber kehidupan. Antara fungsi utama, menyediakan perkhidmatan alam sekitar (ekosistem).

Alam sekitar membekalkan udara dan air bersih serta tanah untuk pertanian. Tiga fungsi ini perlu diberikan perhatian untuk menampung keperluan warga bagi 100 atau 1,000 tahun lagi.

Dasar pembangunan negara perlu memberikan perhatian serius kepada tiga fungsi asas alam sekitar, iaitu kawasan hijau mencukupi untuk menapis udara, kawasan hutan tadahan untuk bekalan air bersih dan kawasan pamah serta dataran rata sesuai untuk pertanian makanan.

Jika negara kekurangan atau kehilangan 'sumber perkhidmatan alam sekitar ini', negara perlu berbelanja besar untuk membeli bekalan ini atau tidak berupaya meneruskan kehidupan.

Dalam kita menyambut hari Kemerdekaan ke-63 dan Hari Malaysia ke-57, saya amat bimbang status alam sekitar dan kelestarian pembangunan. Banyak dasar negara ialah legasi penjajahan Inggeris yang memberikan keutamaan kepada 'eksploitasi sumber asli' wilayah dijajah.

Governans (tadbir urus) semasa sangat bersifat sektoral. Kementerian dan agensi pelaksana dirancang untuk melaksanakan tindakan bersifat sektor, lebih membimbangkan masing-masing bersaing untuk memenuhi indeks pencapaian utama. Walaupun ada usaha penyelarasan di kementerian dan agensi, ia lebih bersifat sisipan dan bukannya 'pengurusan bersama' dalam erti kata sebenar.

Pendekatan paling asas bagi memantapkan hala tuju pembangunan ialah Governan Kelestarian. Saya tidak bercadang menyaran rombakan sistem governan sedia ada, tetapi mengharapkan beberapa kelemahan asas dapat diperbaiki secara berterusan.

Pertama, beberapa 'dasar payung' perlu diwujudkan bagi mengembleng beberapa komponen pembangunan secara terintegrasi. Pada peringkat awal, isu integrasi membabitkan komponen utama seperti kelestarian ekonomi, masyarakat dan alam sekitar boleh diperkenalkan.

Akhirnya, isu saling hubungan antara ketiga-tiga komponen ini perlu ditangani berasaskan kepentingan jangka panjang. Beberapa mekanisme penyelarasan antara kementerian dan agensi perlu diinstitusikan untuk proses membuat keputusan, sementara aktiviti tindakan bersama perlu digalakkan.

Pada masa sama, beberapa dasar dan perundangan tinggalan penjajah perlu diteliti dan diperkemaskan berasaskan keperluan negara merdeka. Contohnya, dasar pengurusan sumber asli memberikan penekanan kepada urusan eksploitasi sumber perlu dilihat daripada perspektif 'perkhidmatan ekosistem dan warisan negara.'

Kita perlu mengimbangi dasar pertumbuhan ekonomi pula antara kekayaan negara dan ekonomi masyarakat. Apalah ertinya negara kaya, jika kebanyakan warga masih berpendapatan rendah atau di bawah paras kemiskinan. Keseimbangan keupayaan dan kepakaran antara negeri dengan Persekutuan juga masih perlu diperkemaskan. Bukankah jentera penggerak pembangunan negara terletak di tangan kerajaan negeri?

Negara bakal berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) sedikit masa lagi. Penduduk Sabah akan memilih wakil rakyat beberapa hari lagi, pilih pemimpin berilmu dan berintegriti, berjiwa rakyat, menunjukkan kematangan berpolitik serta cintakan negara.

Pilih wakil anda secara teliti dan bijaksana. Kecemerlangan pemimpin bakal penentu kesejahteraan bangsa dan negara. Selamat Hari Malaysia.

Penulis adalah Pengerusi, Kluster Alam Sekitar & Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia

Berita Harian X