Jumaat, 21 Disember 2018 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Hubungan kaum harmoni ikut perspektif Islam

Islam satu sistem hidup yang bersifat rab-bani dan menganjurkan kepada manusia agar sentiasa berlaku adil dalam setiap tindakan yang diambil.

Islam menyeru agar meletakkan sesuatu pada tempat yang sewajarnya, memberikan hak kepada yang berhak menerimanya serta menghukum manusia yang bersalah dengan hukuman setimpal tanpa membezakan antara manusia, antara perkara sangat ditekankan dalam ajaran Islam.

Seperti Islam memberikan penekanan kepada kedamaian hidup individu, baik daripada aspek fizikal dan mental seseorang, Islam juga melalui sistem hidupnya menggalakkan keharmonian masyarakat dan keamanan bersama agar semua manusia dapat menjalankan kehidupan di dunia dengan aman dan damai.

Konsep persamaan dalam Islam perlu diasaskan kepada kenyataan bahawa kejadian manusia yang pelbagai etnik, bangsa dan keturunan adalah satu fitrah kehidupan yang perlu diterima oleh setiap insan.

Kepelbagaian etnik lahirkan kepelbagaian budaya

Malah kepelbagaian etnik, bangsa dan keturunan yang tentunya melahirkan kepelbagaian budaya, gaya hidup, corak pemikiran serta kepercayaan dan keyakinan menjadikan hidup ini begitu indah untuk dikongsi bersama.

Asas pemikiran Islam kepada hubungan etnik ialah persamaan antara sesama manusia. Semua manusia, biar dari mana asal mahupun keturunan adalah sama sahaja kejadiannya.

Manusia diciptakan Allah dengan sebaik-baik ciptaan berbanding makhluk lain, bebas hidup dan meneruskan kehidupan. Hak itu tidak sedikitpun terhalang kerana berbeza agama, bangsa, keturunan atau minoriti dalam sesebuah negara.

Hak persamaan diletakkan oleh Islam tidak berdasarkan kepada kedudukan mengikut jantina, keturunan atau bangsa. Setiap orang, lelaki atau perempuan, Islam atau bukan Islam, kaya atau miskin adalah sama.

Mereka ada hak sama untuk hidup sebagai manusia bermaruah, peluang sama untuk mencari rezeki dan kekayaan di bumi Allah, hak sama untuk mendapatkan pendidikan, ada kedudukan sama di sisi undang-undang dan peluang sama untuk melakukan ibadat kepada Allah.

Setiap orang akan diberikan ganjaran dan balasan sama atas perbuatan yang dilakukan. Jelaslah Islam tidak mengiktiraf perbezaan fizikal dan lahiriah seperti pangkat, keturunan, etnik dan warna kulit sebagai halangan untuk mendapat perhatian dan perhitungan yang sama daripada Allah.

Terdapat banyak dalil daripada al-Quran dan hadis mengenai prinsip persamaan ini seperti dalam surah al-Isra’ 17:70, surah al-Hujurat 49:13 dan khutbah Nabi sewaktu haji al-Wida’.

Dalam surah al-Isra’ 17:70, ayat terbabit menjelaskan bahawa Allah memuliakan anak cucu Adam seluruhnya dengan tidak mengira bangsa dan golongan dan Allah juga telah melebihkan mereka daripada makhluk yang lain.

Dalam surah al-Hujurat 49:13 pula, Allah menerangkan tiada kelebihan di antara satu sama lain mengikut nilai kejadian mereka. Lebih atau kurangnya manusia di sisi Allah sebenarnya diasaskan kepada perbuatan mereka dan sejauh mana mereka menjaga syariat yang ditetapkan oleh Islam.

Menurut Abdul Monir Yaacob, hak persamaan dalam Islam terbahagi kepada dua, iaitu hak Allah dan hak manusia.

Hak Allah merujuk kepada ikatan langsung yang boleh menghubungkan Allah dengan hamba-Nya melalui ibadat khusus seperti solat, zakat, haji dan sebagainya. Hak manusia pula merujuk kepada kedudukan manusia di sisi Allah adalah sama dan Allah telah memuliakan kejadian manusia tanpa mengira agama.

Kebebasan untuk hidup dan meneruskan kehidupan yang diberikan Islam kepada mereka berasaskan kepada kenyataan bahawa mereka juga adalah manusia dan sebagai manusia, kehormatan mereka adalah terpelihara.

Apa jua kesilapan, kesalahan serta jenayah yang dilakukan oleh mereka perlu diselesaikan, sama ada dengan melaksanakan hukuman yang ditetapkan atau dihukum mengikut kepercayaan atau keyakinan pegangan mereka.

Ia bergantung kepada situasi bagaimana keyakinan manusia kepada agama yang dianuti. Islam tidak sekali-kali membenarkan sebarang bentuk permusuhan berlaku hanya kerana berbezanya bangsa dan etnik atau lantaran berlainan keturunan dan warna kulit.

Lebih-lebih lagi apabila kelompok majoriti menindas atau meminggirkan kelompok minoriti dalam arus pembangunan negara. Islam melihat permusuhan kerana perbezaan warna kulit atau berlainan etnik mampu menghuru-harakan masyarakat serta menghancurkan keharmonian hidup umat manusia.

Malah, demi keharmonian hidup dan kesejahteraan masyarakat manusia, Islam dari awal-awal lagi tidak mengizinkan sebarang bentuk seruan perkauman, iaitu seruan menolong bangsa dan juga etnik sendiri yang menzalimi bangsa dan etnik lain.

Mencintai, mengasihi serta menyayangi bangsa bukannya satu kesalahan, malah fitrah manusia, namun Islam tidak sekali-kali membenarkan cinta dan kasihkan bangsa sehingga berlaku kezaliman kepada bangsa atau etnik lain khususnya kumpulan minoriti.

Bertolak dari kenyataan inilah, maka Islam menggariskan bahawa persamaan dalam kalangan bangsa dan etnik adalah asas kepada keharmonian dan keamanan hidup bermasyarakat, khususnya dalam masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik dan mempunyai kumpulan minoriti yang perlu dipelihara dan dijaga haknya.

Prinsip persamaan merangkumi persamaan dalam nilai kemanusiaan, persamaan dalam undang-undang, persamaan dalam hak umum politik dan persamaan dalam urusan ekonomi.

Ini menunjukkan Islam menetapkan supaya manusia diberi layanan sama dalam segala bentuk tanggungjawab, balasan dan hak undang-undang seperti mengurus dan memiliki tanpa membezakan di antara rakyat dan pemerintah, kaya dan miskin, keluarga dan bukan keluarga, lelaki dan perempuan dan seterusnya Islam dan bukan Islam.

Prinsip ini memberi jaminan bahawa setiap orang adalah sama dan akan mendapat layanan sama rata tanpa melihat taraf dan kedudukan mereka.

Menurut Mahmood Zuhdi, kedudukan orang bukan Islam tidak ada bezanya dari orang Islam atas dasar kemanusiaan sejagat, kebebasan beragama, kedaulatan undang-undang dan keadilan ilahi.

Pendekatan Islam ini berbeza dengan apa diamalkan umat India, Greek, Ibrani dan Arab Jahiliah. Dalam agama Hindu, masyarakatnya dikategorikan mengikut kasta, orang Greek menganggap mereka sahajalah yang terpilih, orang Israel menganggap mereka juga bangsa pilihan Tuhan dan orang Arab Jahiliah menganggap mereka sahaja bangsa yang sempurna.

Dalam hal ini, Islam amat terkehadapan dalam memberi persamaan kepada manusia melalui catatan sejarah bermula dari zaman Nabi hinggalah zaman khalifah Islam yang terakhir di Turki. Bukan Islam diberi keadilan dalam undang-undang, menjawat jawatan yang dilantik oleh pemerintah, kebebasan beragama, mendirikan rumah ibadat dan sebagainya.

Merujuk kepada keadaan di negara kita, Malaysia adalah sebuah negara yang masyarakatnya bersifat majmuk. Kemajmukan ini tentulah akan menimbulkan perbezaan antara etnik dari segi budaya dan agama, namun setiap orang diberi kebebasan beragama dan berbudaya.

Orang bukan Islam dibenar mendirikan rumah ibadat di mana terdapat ramai penganut sesuatu agama. Dalam politik, pemilihan pemimpin ditentukan oleh pilihan raya yang memberi pengiktirafan keadilan kepada rakyat.

Dari segi ekonomi, pengenalan dasar pembangunan negara seperti Dasar Ekonomi Baharu dan Dasar Pembangunan Negara, Rancangan Pembangunan Lima Tahun, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, telah mengambil kira pandangan masyarakat.

Walaupun orang Melayu mendapat keistimewaan seperti yang termaktub dalam perlembagaan, ia tidak melalui rampasan harta orang bukan Melayu, sebaliknya mendapatkannya daripada tambahan kepada ekonomi keseluruhan.

Begitu juga, pelaksanaan terhadap keistimewaan orang Melayu ini tanpa menjejaskan kedudukan ekonomi, politik dan pendidikan serta politik orang bukan Melayu, malah dalam sektor ekonomi dan pendidikan, mereka lebih baik daripada orang Melayu.

Begitu juga dengan kedudukan Islam. Walaupun Islam adalah agama Persekutuan, agama lain bebas diamalkan di Malaysia secara harmoni.

Menurut Mohd Kamal Hassan, walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar Islamisasi seperti Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam, dasar ini tidak pernah menyisihkan kepentingan dan sensitiviti penganut bukan Islam di Malaysia.

Inilah cantiknya persamaan dalam Islam.

Penulis Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X