Selasa, 13 November 2018 | 11:00am

Keseimbangan urus alam sekitar, sosioekonomi

KAMI tidak menanti bulan jatuh ke riba. Begitupun, rakyat perlu bersyukur Belanjawan 2019 telah memperuntuk sejumlah dana bagi pengurusan alam sekitar.

Selain memberikan galakan dan insentif kepada teknologi hijau, perhatian turut diberikan kepada usaha memulihara warisan tabii dan alam sekitar serta sokongan terhadap Agenda Pembangunan Lestari 2030 global, iaitu Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Kerajaan bercadang memperuntuk sebanyak RM60 juta kepada kerajaan negeri yang berusaha mengekalkan kawasan permuliharaan sedia ada dan berusaha menambah kawasan perlindungan baharu. Ini satu tindakan proaktif berhasrat membina budaya baharu dalam memulihara warisan alam.

Komitmen untuk meneruskan usaha mengangkat Taman Hutan Selangor FRIM (Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia) dan Taman Diraja Belum Perak sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) juga perlu diberikan sokongan padu.

Selama ini, strategi untuk mengangkat Tapak Warisan Alam Kebangsaan melalui Akta Taman Negara dan Akta Warisan Kebangsaan kurang berkesan disebabkan tanah ialah urusan kerajaan negeri. Oleh itu, sebarang tindakan mengurus tanah dengan menggunakan akta Persekutuan kurang mendapat sambutan.

Atas keprihatinan tempatan, beberapa negeri telah mewujudkan enakmen taman negeri bagi memperkenalkan kawasan perlindungan tersendiri.

Saya syorkan kerajaan Persekutuan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyediakan Daftar Warisan Alam Kebangsaan, pada masa yang sama membenarkan kerajaan negeri mewartakan kawasan berkaitan menggunakan enakmen masing-masing.

Daftar Warisan Kebangsaan

Kerajaan Persekutuan perlu memperkukuhkan Daftar Warisan Kebangsaan melalui pelbagai inisiatif pemuliharaan dan perlindungan pada peringkat negeri seperti Landskap Berpandangan Indah, Taman Negeri, Santuari Hidupan Liar, Monumen Geologi dan Tapak Terpelihara.

Sokongan kewangan dan kepakaran boleh diberikan secara berterusan dan pemilihan untuk calon Tapak Warisan Dunia (WHS), Man and Biosphere Reserve (MAB) dan UNESCO Global Geoparks (UGG) boleh dilakukan berasaskan nilai warisan, kualiti pengurusan dan komitmen tinggi kerajaan negeri.

Belanjawan 2019 juga memperkenalkan Dana Pembiayaan Pembangunan Lestari (DPPL) berjumlah RM1 bilion bagi menyokong Agenda 2030 dengan 17 SDG bertujuan menyelamatkan bumi daripada terus mengalami pemusnahan akibat kerakusan manusia.

Walaupun warga dunia telah mengenal pasti 17 SDG yang perlu diberikan perhatian, negara perlu membuat analisis terperinci dan hanya memilih beberapa yang kritikal dan memerlukan tindakan segera.

Jika diteliti dengan lebih mendalam, Malay-sia telah lama mengamalkan sebahagian besar daripada SDG ini, terutama matlamat satu hingga sembilan dan 17, iaitu agenda berkaitan pertumbuhan ekonomi dan sosial.

Kerajaan baharu sedang giat memperbaiki matlamat 16 (keadilan, keamanan dan memperkukuh institusi).

Matlamat kritikal yang masih perlu tindakan proaktif ialah 10 hingga 11 berkaitan kesejahteraan komuniti dan 12 hingga 15, iaitu hal ehwal alam sekitar seperti penggunaan sumber asli, perubahan iklim dan warisan tabii.

Dasar pembangunan negara masa ini ialah dasar terfokus kepada pembangunan ekonomi dan sosial. Tumpuan kepada menjana kekayaan negara serta meningkatkan pendapatan warga penting daripada perspektif kelestarian ekonomi.

Pembangunan prasarana awam, pendidikan, rumah mampu milik dan pekerjaan pula berhasrat membina kelestarian sosial.

Begitupun, kelestarian ekonomi dan kesejahteraan sosial mempunyai hubungan intim dengan kelestarian alam sekitar. Dasar pembangunan ekonomi dan sosial tidak mungkin tercapai jika perhatian tidak diberikan kepada pembangunan alam sekitar.

Kehilangan sumber

Pembangunan lestari menuntut dasar payung yang bersifat holistik dan inovatif, berasaskan pemikiran bersifat syumul dan pendekatan pengurusan multi-sektor. Pemikiran pembangunan semasa amat taksub kepada keperluan memperkasa ekonomi dan kedudukan politik.

Kepentingan pembangunan alam sekitar yang cirinya bersifat ‘penting tetapi tidak segera’ lazimnya diabaikan. Oleh itu, isu pemuliharaan alam sekitar, perlindungan warisan alam, kemerosotan sumber lautan dan menangani impak perubahan iklim umumnya masih tidak mendapat bajet yang mencukupi.

Sebagai contoh, penerokaan sumber mineral dan bahan bumi tanpa perancangan jangka panjang bukan sahaja tidak memberikan manfaat optimum pada masa ini, tetapi kita telah ‘mencuri’ sumber ini daripada generasi akan datang.

Semua sumber bumi seperti bahan tenaga fosil, bahan binaan, tanih dan mineral berekonomi ialah sumber tidak boleh diperbaharui. Kita bakal kehilangan kebanyakan sumber ini jika tidak memperkukuh dasar berkaitan penggunaan lestari sumber tidak boleh diperbaharui.

Bajet untuk meneruskan inventori bahan bumi perlu disediakan bagi memastikan kita mengetahui kuantitinya dan mengurus secara lestari.

Isu mengenai kepelbagaian biologi, iaitu sumber bumi boleh diperbaharui juga memerlukan pemikiran semula dalam pengurusannya. Kita harus membezakan di antara sumber bersifat warisan tabii, perkhidmatan alam sekitar dan sumber makanan.

Dalam konteks ini, pendekatan pemeliharaan (perlindungan), pemuliharaan dan penggunaan lestari perlu dirancang dan dipastikan pelaksanaannya. Kerajaan perlu memperuntuk bajet pembangunan alam sekitar seimbang dengan pembangunan ekonomi dan sosial demi kelestarian negara tercinta ini.

Penulis adalah Felo Penyelidikan Utama, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia & Pengerusi Warisan Negara

Berita Harian X