Jumaat, 2 November 2018 | 11:00am

Penjawat awam harap ada 'buah tangan'

Petang ini, pembentangan Belanjawan 2019 akan dilangsungkan iaitu belanjawan pertama negara di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ramai yang menyifatkan belanjawan kali ini sebagai mendebarkan dan pasti, penjawat awam juga tidak senang duduk tertanya-tanya, ada atau tidak ‘buah tangan’ buat mereka.

Bagi CUEPACS, kesatuan yang mewakili kira-kira 1.6 juta penjawat awam itu tetap meletakkan harapan agar kerajaan mempertimbangkan insentif kepada kakitangan sektor berkenaan bagi meringankan tekanan kos sara hidup yang tinggi.

Perkhidmatan awam adalah ‘kenderaan utama’ kepada pelaksanaan dasar negara, manakala penjawat awam pula ibarat enjin yang menggerakkannya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali semula ke Putrajaya selepas pakatan parti politik diterajuinya berjaya meraih mandat rakyat pada Mei lalu, meletakkan satu tugas penting untuk dijunjung di atas batu jemala 1.6 juta penjawat awam.

Beliau melontarkan dengan jelas ikrar untuk mengembalikan semula kegemilangan pentadbiran negara yang suatu ketika dulu pernah dianggap yang terbaik, diteladani dan dihormati dalam kalangan negara Komanwel.

Justeru, anjakan paradigma perlu berlaku pada penjawat awam untuk menterjemahkan misi yang digariskan oleh pemimpin tertinggi negara.

Penjawat awam selaku modal insan, sebagai enjin menggerakkan pelaksanaan dasar negara perlu diperkasa dan direjuvinasikan semula.

Peningkatan kepada daya upaya sumber manusia dengan pembangunan modal insan yang holistik, inklusif dan berterusan perlu berlaku bagi membolehkan perkhidmatan awam terus dilihat relevan dan penjawat awam terus mempunyai wibawa mereka.

Bagi melahirkan penjawat awam berwibawa, dinamik dan berprestasi tinggi, empat aspek utama iaitu intelektual, rohani, jasmani dan integriti wajib diberi penekanan sebagai input utama untuk disuntik masuk menjalar ke setiap urat nadi mereka.

Buang budaya malas

Kekuatan intelektual atau ilmu pengetahuan adalah proses pembelajaran sepanjang hayat. Oleh itu budaya malas berfikir, memiliki minda yang jumud dan tidak mahu berfikir di luar kotak perlu dibuang jauh kerana itu menyekat daya intelektual penjawat awam daripada berkembang.

Aspek rohani yang berkait rapat dengan iman, adab dan akhlak tidak boleh diabaikan kerana ia adalah ‘isi’ kepada jiwa (kalbu) seseorang individu yang diperlihatkan dengan amal perbuatan.

Rohani yang mantap akan mengekang mereka daripada melakukan perbuatan bercanggah dengan etika, moral, peraturan mahupun undang-undang.

Bagi memastikan perkhidmatan dan sistem penyampaian awam berjalan dengan baik, amat penting aspek jasmani, yakni kesihatan juga dititikberatkan kerana ia membolehkan individu itu menjadi penjawat awam yang produktif dan efektif sepanjang masa.

Pahit untuk diakui, ada segelintir penjawat awam sanggup menggadaikan maruah, amanah dan kepercayaan yang diberikan dengan terjebak kegiatan jenayah dan tidak bermoral seperti rasuah dan salah guna kuasa.

Ibarat peribahasa ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’, tindakan sedemikian sememangnya menjejaskan imej baik dan integriti penjawat awam secara keseluruhannya.

Laksana amanah

Wajib diinsafi bahawa integriti adalah nilai unggul yang perlu wujud dalam individu dan organisasi kerana melalui nilai integriti yang membalut teguh diri, penjawat awam akan memandunya melaksanakan tugas mengikut bidang kuasa, cekap, akauntibiliti, telus serta mematuhi tatacara dan tatakelola sedia ada.

Penulis menyambut baik penubuhan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) oleh kerajaan baru-baru ini yang berperanan dalam menyelaras dan memantu semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan banteras rasuah.

Dari perspektif Islam pula, integriti ini sebenarnya adalah amanah dan ia sesuatu yang diperintahkan oleh Allah SWT untuk hamba-Nya memegang amanah dan melaksanakan amanah terbabit dengan sebaik-baiknya.

Seperti yang difirmankan dalam Surah An-Nisa, ayat 58 yang bermaksud: “Sungguh, Allah menyuruhmu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia, hendaknya kamu menetapkannya dengan adil. Sungguh, Allah sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu”.

Kegusaran penulis pada ketika kerajaan secara serius mengambil pelbagai langkah untuk menambah baik perkhidmatan dan kebajikan penjawat awam, janganlah pula ada pihak lain yang tidak mendokong.

Janganlah pula ada pihak lain mencadangkan pula pelaksanaan dasar yang terkebelakang dan tidak selari dengan nilai insani, hak asasi, prihatin dan keadilan.

Penulis adalah EXCO Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X