Jumaat, 17 April 2015 | 8:21am

Ikrar integriti wujud politik bebas rasuah

Suatu ciri pemimpin yang dipilih setiap kali pilihan raya adalah yang berintegriti. Integriti adalah sifat jati diri yang merangkumi keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai, boleh pegang cakapnya.

Ini bermaksud wakil rakyat yang dianggap sebagai 'winner able candidate' adalah perwatakan seseorang yang melambangkan kejujuran dan ketulusan; kesempurnaan serta keutuhan.

Integriti kini menjadi perkataan yang sering dituturkan rakyat negara ini. Menjadi harapan ramai agar setiap kita mengamalkan budaya berintegriti dalam setiap tindakan.

Di Malaysia wujud institusi khusus seperti Institut Integriti Malaysia, yang memberi penerangan dan menyebar luas budaya berintegriti. Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyediakan program berkaitan integriti. Ini termasuklah Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO). Malah, SPRM juga adalah entiti yang terbabit dalam menggalakkan langkah menandatangani ikrar integriti iaitu Ikrar Integriti Korporat (CIP).

Program Pegawai Integriti Bertauliah ini dirangka untuk melahirkan Pegawai Integriti Bertauliah yang berperanan merancang, melaksana dan memantau keberkesanan program integriti di kementerian, jabatan dan agensi masing-masing. Ia juga untuk menggalakkan pihak swasta terbabit sama dalam pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah di organisasi mereka. Perkembangan ini menunjukkan integriti sudah menjadi komponen penting dalam pengurusan dan kehidupan seharian.

Ikrar integriti

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad pada 1 April lalu mengumumkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan menandatangani ikrar integriti bagi mempertingkatkan budaya berintegriti dalam kalangan ahli politik. Beliau membuat pendirian tegas dan jelas dalam soal ini. Sewajarnya pendirian sama diikuti setiap Dewan Undangan Negeri.

Katanya, Ahli Parlimen selaku penggubal undang-undang perlu menjadi contoh kepada rakyat kerana mereka menjadi ikon kepada integriti di kaca mata masyarakat.

Melaka misalnya mengikuti jejak langkah menandatangani ikrar integriti dan usaha itu tidak mustahil dilakukan kerana sudah dilaksanakan di negeri lain.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, berkata langkah berkenaan bertujuan 'mengajar' organisasi terbabit selain bukti kesungguhan Melaka membanteras rasuah.

"Kerajaan negeri hanya akan berurusan dengan organisasi, syarikat dan individu yang mempunyai latar belakang bersih serta bebas daripada kegiatan tersebut agar amalan rasuah tidak terus berleluasa," katanya.

Langkah positif sudah dilakukan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak yang menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International Malaysia dua bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low yang menjadikannya sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) akan mengambil langkah segera memastikan ikrar integriti menjadi kenyataan. Low menyertai Kabinet Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 dua tahun lalu. Sebaik-baiknya ikrar integriti akan dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14.

Rakyat berharap perkara ini segera menjadi kenyataan. Ramai berharap ahli Parlimen akan menandatangani ikrar integriti bagi membuktikan mereka juga serius memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Langkah sama perlu diambil semua Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk pembangkang.

Seperti disifatkan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Johan Jaaffar dalam reaksinya, langkah ikrar integriti ini suatu komitmen yang harus disambut baik semua pihak.

"Selaku anggota badan perundangan, langkah menandatangani ikrar integriti ini menggambarkan wakil rakyat BN mengambil pendekatan 'walk the talk' bagi mewujudkan sebuah negara yang mengutamakan budaya berintegriti dan melahirkan persekitaran bebas rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa," katanya.

Langkah menandatangani ikrar integriti sebenarnya akan menjadi suatu lagi lonjakan positif bagi memupuk nilai murni sesuai dengan pepatah: "Berani kerana benar, takut kerana salah."

Kita percaya langkah menandatangani ikrar integriti akan membawa negara ke era politik baharu memandangkan kajian Global Corruption Barometer mendapati ahli politik berada di tangga teratas dari segi persepsi negatif dan parti politik adalah satu daripada sektor paling korup.

Kedua-duanya berdasarkan persepsi responden ditemui yang melahirkan pandangan bahawa wakil rakyat khususnya anggota Kabinet sama ada Persekutuan ataupun nasional adalah korup.

Persepsi ini sebenarnya terlalu subjektif kerana realitinya adalah berbeza. Adalah tidak wajar mengatakan setiap ahli politik dan wakil rakyat adalah korup. Justeru, langkah yang dilakukan BNBBC ini akan membawa landskap politik Malaysia ke arah lebih baik.

Penulis ialah Prof Madya di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA

Berita Harian X