Kanser penyakit yang paling digeruni kerana berisiko menjadi penyebab kedua kematian di seluruh dunia.
Penyakit itu terus membayangi masyarakat apabila kanser meragut hampir 10 juta nyawa atau hampir satu daripada enam orang setiap tahun di seluruh dunia.
Malah, bahana korban itu lebih terkesan dalam kalangan penduduk berpendapatan rendah dan sederhana dengan menyumbang tujuh daripada setiap 10 kematian berkaitan kanser.
Di Malaysia, penyakit ini juga antara punca kematian terbesar dengan lebih 48,000 kes kanser baru dilaporkan setiap tahun.
Jumlah itu dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2040 dengan nisbah satu daripada 10 lelaki dan satu daripada sembilan wanita didiagnosis kanser.
Jadi Awas! Jaga kesihatan elak kita menderita antara 10 jenis kanser tertinggi di Malaysia, yang didahului kanser payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, nasopharnx, leukemia, kelenjar prostat, hati, pangkal rahim dan ovari.
Ini kerana apabila kesakitan itu membentuk tumor iaitu ketulan meliputi sel kanser, maka ia boleh merebak ke bahagian tubuh lain dan menjangkiti organ lain atau metastasis sehingga boleh membawa maut.
Dalam kebanyakan kes kanser menyerang secara perlahan dan senyap, selain ada juga yang menyerang secara agresif.
Kesinambungan Hari Kanser Sedunia
Lantas, Hari Kanser Sedunia yang disambut 4 Februari setiap tahun jangan dibiarkan berlalu begitu sahaja bagi memastikan strategi mengekang penyakit itu dapat ditangani secara tuntas.
Dengan kesinambungan itu, tema tahun ini, iaitu 'Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser' dianggap relevan dalam usaha pembasmian penyakit berkenaan, selain memajukan penyelidikan perubatan dalam bidang berkaitan.
Apa yang penting sambutan itu sebagai peringatan untuk pelbagai pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, profesional penjagaan kesihatan dan orang awam berusaha mengurangkan kesan barah.
Meskipun Februari adalah bulan paling penting dalam kalendar penjagaan kesihatan dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap pencegahan, pengesanan dan rawatan berkaitan kanser, ia tidak harus 'mati' setakat di situ sahaja.
Mempromosikan kesedaran kanser dan mendidik orang ramai mengenai penyakit adalah suatu yang perlu bagi mengelak berjuta-juta insan maut disebabnya.
Inisiatif dilaksanakan oleh Kesatuan Untuk Kawalan Kanser Antarabangsa (UICC) berkempen dan menyokong sasaran Deklarasi Kanser Dunia, sudah dicatatkan sejak 2008 lagi.
Bertitik tolak daripada pengisytiharan itu, beratus-ratus acara dan pengumpulan dana diadakan di segenap dunia setiap tahun disifatkan inisiatif yang amat baik.
Begitu juga pelbagai forum, meja bulat dan seminar membincangkan isu berkaitan, selain hospital, pusat perubatan dan badan bukan kerajaan (NGO), selain menyediakan program untuk berkempen bagi menyampaikan peringatan mengenai kanser.
Semua peringkat mencakupi pusat perubatan, kerajaan, swasta, masyarakat dan pertubuhan berkumpul berkongsi pandangan mengenai jenis kanser, cara untuk mengetahuinya, rawatan, langkah berpotensi diambil mengesan penyakit paling digeruni.
Bukan sekadar perlu tahu kanser mempunyai banyak jenis dan ada pelbagai warna serta simbol digunakan bagi menandakan jenis kanser tertentu untuk menggalakkan perjuangan menentangnya.
Sebagai contoh, reben oren untuk mewujudkan kesedaran mengenai kanser pada kanak-kanak, manakala reben merah jambu secara global dikaitkan dengan kesedaran kanser payudara.
Kanser pembunuh senyap
Isu paling utama adalah mencegah penyakit pembunuh senyap daripada bertandang ke dalam tubuh kita. Hanya satu, amalkan gaya hidup sihat meliputi menjaga pemakanan, lakukan aktiviti fizikal dengan bersenam, beriadah, kurangkan stres dan pelbagai lagi.
Banyak gejala penyakit yang datang dapat ditepis, boleh dihindar dengan pencegahan awal, iaitu membuat pemeriksaan kesihatan segala berkala.
Hakikatnya, lebih 40 peratus daripada kematian ini di seluruh dunia boleh dicegah melalui perubahan gaya hidup, pemeriksaan biasa dan pengesanan dan rawatan awal.
Tindakan segera perlu diambil untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit ini, selain perlu membangunkan strategi praktikal untuk menangani beban kanser.
Dengan jurang global dalam akses kepada pencegahan, rawatan dan penjagaan paliatif berkembang dengan pesat, amat diharapkan masalah itu mampu memberi harapan kepada pesakit untuk sembuh sepenuhnya.