Jumaat, 27 Januari 2023 | 10:11am
Makan terlalu cepat jejaskan sistem pencernaan kerana tidak dapat berehat. - Foto hiasan
Makan terlalu cepat jejaskan sistem pencernaan kerana tidak dapat berehat. - Foto hiasan

Sayuran mentah, makan terlalu cepat punca perut kembung

PEMAKANAN sihat boleh menjadi punca kembung perut jika tersalah mengambilnya dalam kuantiti berlebihan, juga disebabkan banyak faktor-faktor lain.

Menurut Pakar Diet dan Penurunan Berat Badan dari India, Richa Gangani, berkata selain gas yang berlebihan, sembelit juga boleh menyebabkan kembung perut.

Malah, katanya, banyak faktor yang mendorong kepada berlakunya kembung perut seperti makan terlalu banyak salad.

"Sayuran mentah boleh mendatangkan 'malapetaka' pada saluran pencernaan hingga menyebabkan kembung perut.

"Makan terlalu cepat, membuatkan penghadaman terjejas hingga menyebabkan kembung. Oleh itu, disarankan supaya mengunyah makanan sekurang-kurangnya 20 hingga 30 kali," katanya.

Menurutnya, pengambilan snek sepanjang hari juga menjadi punca kepada kembung perut. Ini kerana, tindakan ini menyebabkan sistem pencernaan anda tidak dapat berehat.

"Untuk mengelakkan tabiat ini berterusan, anda dinasihatkan mengambil tiga hidangan seimbang untuk kesan kenyang dalam jangka masa panjang.

Punca kembung perut

Selain itu, tidak cukup tidur undang masalah kembung. Ketika tidur badan sedang dalam proses penambahbaikan sistem pencernaan.

Justeru, kurang tidur atau tidur lewat akan menyukarkan badan untuk mengatasi sebarang ketidakseimbangan.

Richa berkata, kekurangan minum air daripada jumlah sepatutnya juga menjadi punca kembung.

Penghidratan yang betul penting untuk penghadaman. Minum sekurang-kurangnya 30 milimeter (ml) untuk setiap 0.10 kilogram (kg) berat badan.

"Pengambilan air yang ideal untuk lelaki adalah sekitar 3.7 liter dan wanita ialah 2.7 liter, Namun, jumlah itu boleh meningkat lagi bergantung kepada keadaan cuaca, aktiviti fizikal dan diet," katanya.

Minuman boleh didapati seperti air kelapa dan jus buah-buahan dan sayur-sayuran untuk membantu penghidratan yang mencukupi.

Bagaimanapun, anda perlu mengetahui mengenai pemakanan yang berkemungkinan boleh memberi tindak balas imun untuk badan.

Terdapat beberapa jenis sayuran yang menyebabkan gas seperti kubis, brokoli, kangkung, pak choy dan kacang mengakibatkan kembung.

Terdapat makanan yang boleh membantu menghindar masalah kembung perut:

* Minuman probiotik

*Yogurt Greek

* Avokado

* Beri

* Air rendaman jintan manis

* Susu sejuk

* Makanan Vitamin C

Probiotik dalam makanan tambahan dan sayur-sayuran yang ditapai untuk membantu kesihatan usus dan pencernaan yang optimum.

"Sayuran yang ditapai termasuk lobak merah dan timun. Ini sarat dengan bakteria berfaedah, selain makanan kaya dengan serat.- AGENSI

Berita Harian X