Khamis, 26 Januari 2023 | 8:32am
Rejim penjagaan kesihatan perlu diamalkan dengan Piramid Makanan diperlukan tubuh yang sihat. - Foto hiasan
Rejim penjagaan kesihatan perlu diamalkan dengan Piramid Makanan diperlukan tubuh yang sihat. - Foto hiasan

6 penyakit kronik rampas kebahagiaan hidup

MENYEDIHKAN apabila penyakit jantung, strok, hipertensi, diabetes, kanser dan osteoporosis merampas kebahagiaan kehidupan ramai manusia.

Dalam kebanyakan kes, penyakit itu pula akan saling berkait sehingga menyebabkan wujud jenis penyakit lain seperti kencing manis, gout, kardiovascular, usus, buah pinggang dan banyak lagi.

Anda pasti menyesal kerana tidak menjaga kesihatan dengan baik. Jika diberi peluang memulakan semula, mereka pasti akan mengubah gaya hidup.

Bagi yang masih mempunyai kesihatan yang baik, kita perlu beringat mengenai masa depan dan mula melabur dalam gaya hidup boleh membantu memastikan kesihatan baik untuk jangka masa panjang.

Berikut antara rejim penjagaan kesihatan perlu diamalkan individu untuk memberi kualiti kehidupan lebih bermakna dan bebas penyakit serta menyebabkan bertambah kronik:

Pilih makanan rendah lemak

* Hadkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak, kurangkan lemak dan minyak di dalam penyediaan makanan.

* Kurangkan pengambilan makanan bergoreng dan daging organ.

* Hadkan minyak kelapa, santan, minyak sapi, mentega dan marjerin serta lelemak yang diperbuat daripada lemak berhidrogen yang boleh meningkatkan paras kolesterol.

* Kurangkan hidangan yang menggunakan minyak dan lemak berlebihan seperti nasi goreng, nasi minyak dan sambal tumis.

Makan makanan manis biar berpada elak pelbagai komplikasi kesihatan.- Foto hiasan
Makan makanan manis biar berpada elak pelbagai komplikasi kesihatan.- Foto hiasan

Pilih Makanan dan minuman kurang manis

* Amalkan pengambilan makanan dan minuman yang rendah kandungan gula.

* Kurangkan pengambilan produk yang mempunyai gula sebagai bahan teratas di dalam senarai bahan ramuan.

* Gantikan pencuci mulut yang manis dengan pilihan yang lebih sihat seperti buah-buahan.

* Minum air kosong dan bukannya minuman ringan, sirap dan kordial.

* Minta minuman yang 'kurang manis' apabila minum di luar.

* Pilih makanan yang kurang masin, misalnya penyediaan makanan yang kurang garam dan sos.

* Gunakan herba dan perasa semula jadi seperti bawang putih, bawang, serbuk kari, lada hitam, serai, cuka dan lemon untuk dijadikan perisa makanan.

* Pilih produk yang dilabel sebagai kurang atau rendah garam (natrium).

* Jangan tambah garam jika sudah menggunakan sos masin dan bahan perasa seperti monosodium glutamate (MSG), sos tiram, belacan dan cincaluk.

* Kurangkan pengambilan makanan masin seperti ikan masin, telur masin, sayuran masin serta snek mengandungi garam banyak.

Pilih makanan berserat tinggi

Kebanyakan makanan berserat mengandungi antioksidan membantu melindungi daripada penyakit. Nikmati produk bijirin penuh atau mil penuh seperti bijirin sarapan diperkukuh, beras perang atau spageti gandum penuh pada setiap waktu makan.

Tambahkan kekacang, barli, oat atau dal ke dalam masakan.

Makan buah-buah dan sayuran-sayuran mampu mewujudkan diet seimbang yang baik untuk kesihatan. - Foto hiasan
Makan buah-buah dan sayuran-sayuran mampu mewujudkan diet seimbang yang baik untuk kesihatan. - Foto hiasan

* Pilih buah-buahan dan sayur-sayuran

* Buah-buahan dan sayur-sayuran membekalkan banyak sumber vitamin, mineral dan fitokimia yang boleh membantu mengurangkan risiko penyakit tertentu.

* Ambil tiga hidangan sayur-sayuran dan dua hidangan buah-buahan setiap hari.

* Makan buah-buahan dengan kulit serta biji yang boleh dicerna seperti jambu, pear, epal, prun dan beri yang tinggi kandungan serat.

Pilih makanan kalsium tinggi

Susu dan produk susu penting untuk tulang yang sihat. Ambil susu dan produk susu setiap hari. Tambah susu dalam minuman dan bijirin sarapan.

Tingkatkan pengambilan kalsium dengan mengambil sardin, ikan bilis, dan sayur-sayuran kalsium tinggi seperti brokoli, kacang panjang atau buncis.

Kesihatan memerlukan konsep gaya hidup yang menyeluruh. Oleh itu, di samping makan secara sihat, raikan kehidupan anda dengan aktiviti fizikal harian.

PENYAKIT YANG PERLU DIAWASI

Penyakit jantung dan strok

Serangan jantung dan strok adalah penyakit pembunuh nombor satu di Malaysia. Ia berlaku apabila plak berlemak menyumbat arteri koronari dan menyekat aliran darah ke jantung dan otak.

Dianggarkan seorang bagi setiap empat rakyat Malaysia dewasa meninggal dunia akibat serangan jantung atau strok. Ia disebabkan faktor risiko seperti kolesterol darah yang tinggi, kebarangkalian darah membeku dalam aliran darah, stres dan hipertensi.

Tekanan darah tinggi

Biasanya kebanyakan penghidap tekanan darah tinggi tidak akan menunjukkan sebarang gejala. Jika tidak dirawat, tekanan darah tinggi boleh membawa kepada strok, serangan jantung dan kegagalan buah pinggang.

Seramai tiga bagi setiap 10 rakyat Malaysia dewasa mungkin sedang menghidap tekanan darah tinggi.

Diabetes

Diabetes, penyakit serius menerusi paras glukosa darah tinggi boleh membawa kepada serangan jantung, tekanan darah tinggi, strok, kegagalan buah pinggang, kehilangan penglihatan, kerosakan saraf dan gangrene kaki yang boleh mengakibatkan kaki terpaksa dikudungkan.

Kira-kira seorang bagi setiap 10 rakyat Malaysia dewasa mungkin sedang menghidap diabetes. Ia dipercayai menyerang seorang bagi setiap empat orang yang berusia antara 50 hingga 64 tahun.

Kanser

Kanser adalah punca kematian nombor dua di serata dunia.

Di Malaysia, kanser payudara adalah lazim dalam kalangan wanita dan kanser kolorektal dalam kalangan lelaki.

Osteoporosis antara penyakit menyerang golongan berusia, boleh dielakkan dengan pemilihan makanan sesuai. - Foto hiasan
Osteoporosis antara penyakit menyerang golongan berusia, boleh dielakkan dengan pemilihan makanan sesuai. - Foto hiasan

Osteoporosis

Penyakit ini merampas ketumpatan, kualiti dan kekuatan tulang dan sering menyebabkan keretakan pada pangkal paha, pergelangan tangan dan tulang belakang.

Lebih sejuta rakyat Malaysia berisiko menghidap osteoporosis yang mana 80 peratus daripadanya terdiri daripada wanita.

Seorang bagi setiap tiga wanita berusia melebihi 55 tahun dianggarkan menderita akibat osteoporosis.

Berita Harian X