ADA sesetengah individu kelihatan jelas pada bahagian anggota kaki urat berselirat berwarna ungu yang timbul, sama ada jelas atau tidak warnanya, namun disebabkan tidak sakit, kita sering mengabaikan perkara itu.
Sebenarnya, urat berwarna ungu yang timbul itu adalah urat bersimpul atau bahasa perubatan dikenali vena varikos.
Mungkin ada yang tidak kisah dengan keadaan itu, namun ia boleh membahayakan nyawa sekiranya tidak dirawat dalam tempoh yang lama melebihi lima tahun.
Perunding Pakar Bedah Vaskular/Endovaskular, Institut Jantung Negara (IJN), Dr Ismazizi Zaharudin, menegaskan masalah urat bersimpul boleh berubah menjadi kanser kulit apabila ia semakin kronik .
Selain itu, ia juga boleh timbul simptom seperti masalah kudis yang berulang di kaki dalam tempoh lima hingga 10 tahun jika tidak dirawat dengan baik.
Katanya, apabila kerap berulang khususnya sering terjadi di kawasan buku lali, berlaku perubahan warna hitam pada kulit dan tidak dirawat, peluang untuk mendapat kanser kulit itu amat tinggi.
"Pada peringkat awal memang masalah ini tidak membahayakan nyawa, namun jika dibiarkan berlarutan, lama-kelamaan ia akan menjadi satu penyakit kronik yang boleh meragut nyawa.
"Kebiasaannya, tanda awal individu mendapat masalah urat bersimpul ini adalah mereka mengalami masalah berat badan, faktor aktiviti harian yang sangat memenatkan seperti berdiri terlalu lama dan gaya hidup," katanya.
Mengganggu fungsi otot
Wanita golongan yang mempunyai risiko lapan kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki untuk menghadapi masalah ini, selain usia antara 30 hingga 40 tahun adalah waktu paling puncak mengalaminya.
Dr Ismazizi berkata, secara umumnya masalah urat bersimpul itu terjadi apabila injap di dalam salur darah rosak dan menyebabkan tekanan darah berlaku secara dua arah sekali gus menyebabkan darah berkumpul.
Sepatutnya darah hanya mengalir satu arah saja, iaitu dari kaki dan seterusnya ke jantung, namun sebaliknya berlaku apabila terdapat tarikan graviti yang akhirnya tekanan di salur darah tinggi dan urat menjadi tersimpul.
"Selain itu, individu yang mempunyai masalah saraf di mana ia mengganggu fungsi otot di bahagian kaki juga boleh memberi kesan kepada pengaliran darah ke jantung terganggu dan menyebabkan urat bersimpul ini terjadi.
"Mereka yang berdepan kecacatan semasa lahir contohnya penyempitan salur darah juga boleh berisiko tinggi," katanya.
Gejala urat bersimpul
Beliau berkata, tanda awal majoriti pesakit yang mengalami masalah urat bersimpul ini tidak menunjukkan sebarang gejala, cuma ia berubah dari tahap satu hingga enam yang dikategorikan sebagai kronik.
"Biasanya tahap satu hingga tiga, tiada sebarang simptom ditunjukkan hanya kelihatan urat 'labah-labah', namun apabila beralih ke tahap tiga mereka akan merasa kaki seperti berat, kejang selepas melakukan aktiviti lasak contohnya bekerja seharian.
"Pada peringkat ini, jika pesakit tidak mendapatkan rawatan, risiko untuk mendapat perubahan pada kulit kaki, pembentukan kudis, ulser lebih tinggi apabila mencapai tahap empat," katanya.
Kaedah rawatan
Susulan itu, Dr Ismazizi berkata, terdapat dua kaedah rawatan sama ada secara konvensional atau melalui pembedahan menggunakan peralatan teknologi tinggi tanpa meninggalkan sebarang parut.
Kaedah konvensional sepatutnya digunakan dengan tujuan mencegah atau seawal masalah urat timbul itu kelihatan dengan menggunakan stokin pemampatan yang boleh dibeli di farmasi.
Dilaporkan di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), data menunjukkan 80 peratus rawatan adalah secara konservatif, selain digalakkan melakukan saringan atau pemeriksaan awal, jalani gaya hidup yang sihat, bersenam seperti mengangkat kaki untuk elak pembengkakan berlaku.
"Bagi pesakit yang sudah kronik disarankan untuk mendapatkan rawatan pembedahan berteknologi tinggi iaitu pembedahan endovenous di mana ia tidak meninggalkan sebarang parut dan tidak mengganggu aktiviti harian mereka.
"Rawatan itu juga boleh dilakukan dalam tempoh dua hari saja di mana saluran saraf yang rosak itu akan ditutup sepenuhnya dengan menggunakan gam. Selepas itu mereka boleh melakukan aktiviti seperti biasa.
"Jika dulu pembedahan dilakukan secara terbuka meninggalkan kesan parut, tak selesa dan berlaku kecederaan pada saraf disebabkan itu ia tidak lagi menjadi pilihan.
Walaupun masalah urat bersimpul ini tidak tergolong dalam penyakit serius, tetapi Dr Ismazizi berkata, berdasarkan pengalamannya merawat pesakit, angka pesakit yang dirawat agak tinggi dan ini jelas menunjukkan ramai orang menderita.
"Kesedaran mengenai bahaya masalah ini pada masa akan datang amat penting kerana ia akan mengambil masa bertahun lamanya, jadi seeloknya saringan awal penting supaya tidak mengganggu kualiti kehidupan, kewangan dan sosial anda pada masa hadapan," katanya.