Ahad, 5 Jun 2022 | 6:33pm
Liang roma pada permukaan kulit tersumbat akan membuatkan kulit muka berjerawat.- Gambar hiasan
Liang roma pada permukaan kulit tersumbat akan membuatkan kulit muka berjerawat.- Gambar hiasan
Dr Abdul Jamil Jamal Buhari.
Dr Abdul Jamil Jamal Buhari.

Jerawat penyakit kronik, ganggu kelenjar

JERAWAT fenomena biologikal yang terjadi pada kulit akibat daripada masalah keradangan tisu pada bahagian kelenjar minyak di kulit manusia.

Ia sering muncul pada bahagian kulit yang selalu berminyak seperti kulit muka dan kulit badan.

Jerawat juga dianggap sebagai penyakit kronik di mana ia mengganggu kelenjar yang terdapat di dalam lapisan kulit.

Pakar Estetik Klinik Pesona, Dr Abdul Jamil Jamal Buhari, berkata kelenjar ini mengeluarkan minyak atau sebum yang berfungsi untuk meliputi kulit luar muka dan badan dan bertindak sebagai pelembap semula jadi pada permukaan kulit.

"Namun, apabila liang roma pada permukaan kulit tersumbat akan membuatkan kulit muka, belakang dan leher ditumbuhi jerawat," katanya.

Bagaimana kemunculan jerawat, ikuti kupasan Dr Jamil seperti di bawah.

Kenali punca jerawat

Jerawat membentuk apabila sebum, bakteria dan sel kulit mati tersangkut di dalam liang roma kulit. Lapisan kulit mati pada tubuh akan digugurkan (shedding) setiap hari dan boleh terperangkap dalam liang roma.

Punca tumbuh jerawat pada kulit muka, belakang badan dan kulit bahagian leher. 

Hormon dan jerawat

Pada usia remaja, kelenjar sebaceous mengembang dan mengeluarkan lebih banyak sebum di bawah pengaruh hormon yang dikenali sebagai hormon androgen.

Ramai perempuan pada usia remaja dan awal dewasa kerap mengalami masalah jerawat.

Lama-kelamaan liang sebaceous akan menghasilkan sebum yang semakin berkurangan berbanding pada usia remaja.

Bakteria dan jerawat

Bakteria dikenali dengan nama Propionibacterium acne adalah bakteria ditemui dalam sel kulit. Sumber makanannya ialah sebum dan sel-sel mati pada permukaan kulit.

Orang berjerawat ada Propionibacterium acnes lebih banyak berbanding dengan kulit yang tiada jerawat.

Pemakanan dan jerawat

Walaupun punca jerawat disebabkan oleh diet atau pemakanan tidak dapat dibuktikan dengan jelas serta secara terperinci, tetapi diet mempunyai kesan langsung terhadap tahap insulin dalam badan.

Insulin adalah hormon terpenting manusia dan boleh mempengaruhi hormon lain di dalam tubuh termasuk hormon androgen yang turut menjadi penyebab pertumbuhan jerawat pada kulit muka, belakang serta leher.

Rambut dan jerawat

Rambut boleh menyumbang penghasilan jerawat, terutama di dahi dan pipi. Sebum dan kelemumur apabila terkena kulit muka untuk jangka panjang akan menyebabkan radang, menyumbat liang-liang pada kulit muka dan menghasilkan jerawat.

Stres dan jerawat

Stres memburukkan lagi simptom jerawat tetapi boleh dicegah. Tahap stres yang tinggi memberi kesan ke atas jerawat dan menyebabkan radang jerawat yang teruk.

Apabila stres, adrenalin dan hormon androgen di dalam badan dikeluarkan berlebihan jadi punca pertumbuhan jerawat.

Alat Solek dan jerawat

Kulit tidak dibersihkan selepas memakai alat solek boleh memburukkan lagi keadaan jerawat terutama pada muka.

Matahari dan jerawat

Cahaya matahari penyebab jerawat, tetapi haba dihasilkan matahari boleh menyebabkan kulit berpeluh dan berminyak sekali gus menyumbatkan liang roma.

Pakaian dan jerawat

Jerawat di belakang badan disebabkan jenis pakaian dipakai terutama yang beriklim tropika. Belakang badan ada ribuan kelenjar dan liang roma yang boleh memerangkap sebum. Justeru, harus dibersihkan elak ditumbuhi jerawat.

Namun begitu, proses pertumbuhan jerawat adalah sangat kompleks dan dikatakan boleh wujud akibat pelbagai punca.

Berita Harian X