Ahad, 5 Jun 2022 | 9:33am
Satu daripada tiga keluarga di Malaysia dilaporkan berpotensi alami kekurangan zat besi, kalsium, vitamin C dan D dalam diet harian. - Gambar hiasan
Satu daripada tiga keluarga di Malaysia dilaporkan berpotensi alami kekurangan zat besi, kalsium, vitamin C dan D dalam diet harian. - Gambar hiasan

'Kelaparan tersembunyi' ancam kesihatan, tumbesaran kanak-kanak terbantut

RAMAI penduduk Malaysia tidak sedar mereka mengalami kekurangan mikronutrien, yang dikenali sebagai 'kelaparan tersembunyi' sehingga boleh menimbulkan ancaman besar kepada kesihatan meskipun mereka makan kenyang setiap hari.

Satu daripada tiga keluarga di Malaysia dilaporkan berpotensi mengalami kekurangan zat besi, kalsium, Vitamin C dan D dalam diet harian.

Selain itu, satu pertiga daripada kanak-kanak Malaysia yang berumur di bawah 12 tahun tidak mengambil Vitamin D dan kalsium dalam jumlah yang disyorkan manakala dua pertiga dewasa pula kekurangan vitamin D.

'Kelaparan tersembunyi' ialah masalah kesihatan global yang dialami lebih dua bilion orang dan sekurang-kurangnya separuh daripada mereka terdiri daripada kanak-kanak berumur kurang lima tahun di serata dunia.

Isu ini kerap berlaku tanpa disedari, hingga boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan termasuk tumbesaran terbantut, perkembangan kognitif dan fizikal yang kurang baik dan sistem imun yang lemah.

Mikronutrien untuk perkembangan tubuh

Dengan kesan negatif kekurangan mikronutrien, yang mungkin menimbulkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan, masalah ini pada hakikatnya boleh menjejaskan pembangunan sosio-ekonomi, terutama dalam kalangan masyarakat pendapatan rendah yang biasanya kurang mendapat bekalan makanan berkhasiat.

Ahli Majlis Persatuan Pemakanan Malaysia dan Pakar Pemakanan yang juga Pensyarah Kanan Monash University Malaysia, Dr Amutha Ramadas berkata, kekurangan mikronutrien adalah ancaman besar kepada aspirasi untuk membina negara Malaysia yang lebih sihat.

"Walaupun mikronutrien seperti vitamin dan mineral diperlukan dalam jumlah kecil, ia adalah blok binaan penting untuk tumbesaran, perkembangan dan kesejahteraan. Ramai rakyat Malaysia tidak sedar mereka kekurangan mikronutrien.

"Oleh itu, pendidikan pemakanan amat diperlukan untuk merapatkan jurang pemakanan. Dengan ilmu pengetahuan sewajarnya, rakyat Malaysia boleh memilih diet yang sihat dan seimbang dan lengkap dalam segi nutrisi," katanya.

Diet seimbang dan pelbagai vitamin

Dalam pada itu, beliau berkata individu perlu mendapatkan makanan daripada semua kumpulan makanan di dalam Piramid Pemakanan Malaysia dalam diet harian, terutama bijirin penuh, buah-buahan, sayur-sayuran dan hasil tenusu supaya boleh memenuhi keperluan mikronutrien masing-masing.

Sebagai contoh, susu adalah sebahagian penting daripada diet seimbang kerana mengandungi Vitamin D dan B12, kalsium, zink dan magnesium, yang boleh membantu menangani masalah kekurangan mikronurien yan g wujud dalam kalangan keluarga Malaysia.

Mikronutrien yang terkandung dalam susu memberikan manfaat kesihatan penting – kalsium diperlukan bagi membina tulang dan gigi yang kuat; Vitamin D penting untuk penyerapan kalsium, fosforus dalam badan, membina dan mengekalkan tulang yang kuat.

Sebilangan kanak-kanak bawah umur 12 tahun tidak cukup vitamin dalam diet seharian. - Gambar hiasan
Sebilangan kanak-kanak bawah umur 12 tahun tidak cukup vitamin dalam diet seharian. - Gambar hiasan

Magnesium pula terbabit dalam banyak sistem enzim yang mengawal selia pelbagai tindak balas biokimia dalam badan seperti fungsi otot dan saraf, zink menyokong tumbesaran, sistem imun yang sihat serta vitamin B12 memainkan peranan penting dalam penghasilan sel darah merah.

Susu adalah sumber protein yang baik dan penting untuk tumbesaran dan perkembangan mereka.

Pengambilan susu penting

Bagaimanapun, beberapa kajian menunjukkan rakyat Malaysia tidak mengambil susu dan produk susu secukupnya. Panduan Diet Malaysia mengesyorkan pengambilan dua sajian susu dan produk susu setiap hari bagi orang dewasa dan sehingga tiga sajian bagi kanak-kanak.

Antara contoh satu sajian produk tenusu termasuk segelas susu, secawan yogurt atau kepingan keju.

Sesetengah jenis susu diperkuat dengan mikronutrien seperti zat besi dan Vitamin C. Zat besi penting kerana ia komponen sel darah merah yang membantu membawa oksigen ke semua bahagian badan.

Vitamin C diperlukan untuk menghasilkan kolagen adalah komponen tisu penghubung diperlukan bagi penyembuhan luka dan menyokong fungsi imun.

"Di samping diet yang sihat dan seimbang, pengambilan susu harian boleh membantu keluarga memenuhi keperluan mikronutrien harian masing-masing," tambah Dr Amutha.

Persatuan Pemakanan Malaysia berhasrat meningkatkan kesedaran tentang pemakanan sihat untuk menggalakkan dan menambah baik amalan pemakanan serta kesihatan keluarga Malaysia dengan memberikan pencerahan lanjut mengenai ancaman itu berikutan kelaparan tersembunyi.

Berita Harian X