Isnin, 11 Oktober 2021 | 10:27am
Risiko penyebaran pelbagai penyakit ini dapat dikurangkan melalui amalan mencuci tangan dengan betul. - Foto hiasan
Risiko penyebaran pelbagai penyakit ini dapat dikurangkan melalui amalan mencuci tangan dengan betul. - Foto hiasan

Padah tangan tercemar

MENURUT kajian yang dikongsikan di laman sesawang University of Pittsburgh, kuman yang kebiasaannya terdapat pada najis, 'mencemarkan' 10 peratus kad kredit, 14 peratus wang kertas dan 16 peratus telefon bimbit dan jika anda malas membasuh tangan, mungkin anda patut memikirkannya semula!

Bayangkan memegang objek harian yang disangka bersih ini dengan tangan dan kemudian menyentuh pula mata, hidung dan mulut iaitu anggota yang menjadi salah satu 'laluan utama' virus dan bakteria ke dalam tubuh.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan, Ketua Unit Kawalan Infeksi Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Suraya Amir Husin, risiko penyebaran pelbagai penyakit ini dapat dikurangkan melalui amalan mencuci tangan dengan betul.

Katanya, amalan mencuci tangan berupaya mengurangkan kebarangkalian seseorang mengalami cirit-birit antara 23 hingga 40 peratus malah bagi individu dengan sistem imun rendah, ia dapat dikurangkan sehingga 58 peratus.

"Mencuci tangan supaya kuman dapat dihilangkan atau dimatikan juga dapat mengurangkan ketidakhadiran pelajar ke sekolah akibat penyakit gastrointestinal antara 29 hingga 57 peratus.

"Bagi penyakit membabitkan saluran pernafasan seperti selesema, amalan mencuci tangan dapat mengurangkan sekitar 16 hingga 21 peratus jangkitan dalam kalangan orang awam," katanya kepada BH.

Cuci tangan ketika pandemik

Menurut Dr Suraya, dalam suasana pandemik kini, amalan mencuci tangan dengan betul menjadi lebih penting lagi dan sepatutnya sudah dibudayakan oleh masyarakat di negara ini.

Amalan mencuci tangan katanya, terbukti berkesan dan murah dalam mengawal penularan penyakit berbanding kos terpaksa di tanggung untuk rawatan sekiranya sudah dijangkiti. Di samping kos rawatan, jangkitan penyakit juga boleh menyebabkan morbiditi dan kematian.

Jelas beliau, menjaga kebersihan tangan bermaksud membersihkannya sama ada dengan sabun dan air atau menggunakan cecair pembersih tangan yang mengandungi sekurang-kurangnya 60 peratus kandungan alkohol selama 20 saat.

Katanya, pencucian tangan secara berkala menjadi kaedah terbaik menghilangkan kuman sekaligus mengelakkan seseorang daripada sakit selain mencegah penyebaran kuman kepada orang lain.

Penyebaran kuman boleh berlaku sama ada melalui sentuhan secara langsung seperti bersalaman. Sebagai contoh, individu yang mengalami jangkitan saluran pernafasan, semasa menghembus hingus, batuk atau bersin ke tangan, tanpa mencuci tangan bersalaman dengan individu yang lain.

Dr Suraya Amir Husin.
Dr Suraya Amir Husin.

Individu ke dua pula tidak mencuci tangan dan menyentuh hidung.

"Ia juga boleh berlaku secara tidak langsung apabila memegang objek yang tercemar dengan kuman contohnya tombol pintu atau butang lif di dalam pasar raya dan kemudian menyentuh mata, hidung, dan mulut," katanya.

Cegah jangkitan bakteria

"Sama ada ketika berada di rumah, tempat kerja, dalam perjalanan atau di tempat awam, amalan mencuci tangan yang betul dapat mengurangkan risiko penyakit bawaan makanan dan mencegah penularan jangkitan bakteria dan virus.

"Amalan tidak mencuci tangan juga boleh menyebabkan masakan tercemar semasa proses pengendalian makanan dan boleh menyebabkan jangkitan kepada individu mengambil makanan itu. Jangkitan melalui makanan turut boleh berlaku jika tidak mecuci tangan sebelum menikmati hidangan," katanya.

Menurut Dr Suraya, molekul sabun mempunyai dua bahagian yang berbeza, satu adalah hidrofilik yang berinteraksi dengan air dan yang lain adalah hidrofobik yang berinteraksi dengan lipid (lemak).

Katanya, beberapa jenis kuman termasuk virus COVID-19 mempunyai selaput luar terdiri daripada protin serta lipid dan apabila bersentuhan dengan sabun, lipid pada selaput luar virus akan berinteraksi dengan bahagian hidrofobik.

"Proses ini akan merosakkan struktur virus dan memusnahkannya. Air yang mengalir semasa bilasan pula akan membilas sisa virus COVID-19," katanya.

Selain COVID-19 katanya, sikap ambil ringan terhadap tabiat amalan mencuci tangan, boleh menyebabkan seseorang menghidap dijangkiti penyakit konjunktivitis atau sakit mata, penyakit tangan, kaki, mulut (HFMD), kudis, cacar air, selesema, Hepatitis A, Influenza dan penyakit campak.

Dr Suraya berkata, selain jangkitan secara sentuhan melalui tangan yang kemudiaannya mencemarkan mata, hidung dan mulut, sesetengah penyakit juga boleh tersebar melalui titisan pernafasan apabila seseorang batuk atau bersin.

Disebabkan itu katanya, penting pada bila-bila masa sama ada ketika pandemik atau tidak, individu yang bergejala memakai pelitup muka apabila perlu bersemuka dengan individu lain serta sentiasa mengamalkan etika batuk terutamanya ketika keluar rumah atau apabila berada di tempat awam.

Berisiko hidap penyakit berjangkit

Sesuai dengan sambutan Hari Mencuci Tangan Sedunia yang disambut pada 15 Oktober setiap tahun, Dr Suraya mencadangkan supaya amalan kebersihan tangan sentiasa dipromosi pada setiap peringkat usia termasuk kanak-kanak melalui pendidikan kesihatan dan kempen berterusan.

"Paling utama ialah pembabitan ibu bapa dalam menerapkan pendidikan awal di rumah supaya kanak-kanak terbiasa dengan amalan ini.

INFO
Waktu perlu mencuci tangan?

• Sebelum, semasa dan selepas sediakan makanan

• Sebelum makan

• Sebelum dan selepas merawat seseorang di rumah yang sakit dengan muntah atau cirit-birit

• Sebelum dan selepas merawat luka

• Selepas menggunakan tandas

• Selepas menukar lampin atau membersihkan anak menggunakan tandas

• Selepas menyentuh haiwan, makanan haiwan atau sisa haiwan

• Selepas mengendalikan makanan haiwan atau makanan haiwan peliharaan

• Selepas menyentuh sampah

• Sekiranya tangan anda kelihatan kotor atau berminyak

• Selepas menghembus hingus, batuk, atau bersin

• Selepas mengendalikan bahan yang beracun dan berbahaya.

Berita Harian X