Ahad, 10 Oktober 2021 | 11:01am
Pesakit mengetahui lebih cepat dan tepat mengenai pelbagai penyakit termasuk kanser.- Foto hiasan
Pesakit mengetahui lebih cepat dan tepat mengenai pelbagai penyakit termasuk kanser.- Foto hiasan

Teknologi nuklear kesan kanser

TEKNOLOGI nuklear dalam bidang perubatan yang juga dikenali sebagai perubatan nuklear banyak digunakan di luar negara termasuk di Jepun, Korea, Amerika dan Eropah.

Di Malaysia, pengguna teknologi nuklear untuk perubatan masih terhad, namun trend penggunaannya semakin meningkat.

Pengarah Bahagian Teknologi Perubatan Agensi Nuklear, Dr Mohd Rodzi Ali, berkata sejak 1984, Agensi Nuklear Malaysia sudah menjalankan penyelidikan dan menghasilkan radioisotop daripada kemudahan Reaktor TRIGA PUSPATI.

Katanya, sepanjang 1990-an Nuklear Malaysia (ketika itu dikenali sebagai Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear (MINT) membekalkan penjana Technetium-99m (Tc99m) secara rutin untuk tujuan pengimejan kanser.

"Hasil kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya membangunkan beberapa pusat perubatan nuklear di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Universiti yang kini dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)," katanya.

Namun, 33 Pusat Perubatan Nuklear ketika ini masih tidak mencukupi dan perlukan sekurang-kurangnya satu bagi setiap daerah.

Katanya, pada 2019, KKM menerusi National Cancer Registry mengeluarkan laporan mengenai bilangan pesakit kanser yang semakin meningkat.

"Antara 2012 sehingga 2016 jumlah pesakit kanser seramai 115,238 orang berbanding 103,507 pada 2007.

"Laporan tinjauan kesihatan dan morbiditi 2019 menunjukkan diabetes, hipertensi dan kolesterol yang tinggi menyumbang kepada penyakit tidak berjangkit seperti kardiovaskular," katanya.

Ketahui penyakit lebih cepat

Berdasarkan kajian mendapati peratusan penduduk Malaysia berusia lebih 65 tahun dijangkakan meningkat pada 2030, sekali gus memerlukan negara bersedia kerana ramai pesakit perlu mendapatkan rawatan pada masa depan.

"Justeru, sebagai persediaan awal, negara perlu menambah lebih banyak Pusat Perubatan Nuklear dan lebih baik jika di setiap hospital daerah ada pusat itu.

"Ini dapat membantu pengesanan dan rawatan penyakit kanser dan bukan kanser mendapat rawatan serta kesembuhan dengan lebih cepat, " katanya.

Dr Mohd Rodzi berkata, penggunaan bahan radioaktif dan kimia disuntik ke dalam badan pesakit dapat menunjukkan dengan jelas organ bermasalah.

Dr Mohd Rodzi Ali
Dr Mohd Rodzi Ali

Imbasan juga boleh dibuat (kurang daripada sejam) selepas bahan itu disuntik ke organ yang disasarkan.

"Dengan menggunakan teknologi nuklear, pengimejan dihasilkan menggunakan kamera gama adalah dalam bentuk tiga dimensi (3D).

"Ini membolehkan pesakit mengetahui lebih cepat dan tepat penyakit dialami dalam tempoh beberapa jam," katanya.

Teknologi itu juga digunakan boleh terus digunakan kepada organ sasaran.

Dalam perubatan nuklear bahan utama digunakan untuk mengesan dan merawat penyakit adalah bahan radioaktif dikenali sebagai bahan radioisotop.

Katanya, bahan radioisotop mempunyai tenaga berbeza dan sesuai digunakan untuk perubatan kepada pesakit berdasarkan beberapa ciri, iaitu mempunyai hayat yang singkat dan boleh dinyahkan daripada badan dengan cepat.

"Ia boleh mengeluarkan sinar gama yang boleh digunakan untuk pengimejan, manakala radioisotop mengeluarkan zarah alfa dan beta, boleh membunuh sel berpenyakit.

"Radioisotop juga boleh digabungkan bersama bahan lain berfungsi sebagai pembawa dengan menyasarkan organ dan bahagian badan tertentu apabila ia disuntik ke dalam badan pesakit," katanya.

Tahap keselamatan

Namun, penggunaan bahan radioaktif, tahap keselamatan dan perlindungan sinaran pesakit amat dititikberatkan supaya bahan radioisotop dimasukkan ke dalam badan selamat dan tiada kesan ke atas pesakit.

Jumlah dos bahan radioaktif digunakan sangat kecil dan tidak bahaya.

"Sebelum produk radiofarmaseutikal boleh digunakan, produk itu perlu melalui ujian kawalan mutu yang ketat selaras dengan peraturan dan panduan dikeluarkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara.

"Radiofarmaseutikal dihasilkan perlu diuji tahap ketulenan radiokimia dan sebarang kehadiran bakteria atau kulat sebelum ia boleh digunakan kepada pesakit," katanya.

Ketika ini rawatan menggunakan perubatan nuklear mahal kerana 90 peratus radioisotop perlu diimport dari luar negara.

Katanya, ini menyebabkan pesakit perlu menanggung kos perkhidmatan hospital termasuk kos pengangkutan bahan radioisotop dikenakan oleh syarikat pengangkutan.

Terdapat cara mengurangkan kos rawatan perubatan nuklear iaitu dengan menghasilkan radioisotop sendiri di Malaysia.

Ketika ini Nuklear Malaysia mempunyai sebuah reaktor penyelidikan bertenaga 1 MegaWatt (MW).

"Bagaimanapun, ia tidak mampu menghasilkan radioisotop dalam kuantiti banyak kerana keupayaan reaktor hanya dapat menjana radioisotop dalam kuantiti sedikit.

"Banyak negara sudah membangunkan kemudahan siklotron sebagai alternatif kepada reaktor nuklear yang boleh menghasilkan bahan radioisotop untuk kegunaan perubatan.

"Kemudahan itu dapat membekalkan radioisotop kepada hospital dan pusat perubatan nuklear di Malaysia, sekali gus mengurangkan kos rawatan dan memberikan akses perubatan sama seperti rakyat di negara maju yang lain," katanya.

Akuinya, pembekalan radioisotop yang terhad ketika ini menjadi cabaran dalam memastikan teknologi itu terus kekal dan menjadi perubatan moden.

Dalam keadaan pandemik COVID-19, ada proses pembekalan radioisotop dari luar negara tidak dapat dilaksanakan atau lewat diterima.

Cabaran lain pihaknya perlu berdepan ketika ini adalah penerimaan masyarakat berkaitan penggunaan bahan radioaktif dalam bidang perubatan dilihat masih rendah.

"Selain penggunaan sinar-x bagi tujuan pengimejan, masyarakat belum dapat menerima sepenuhnya penggunaan radioaktif untuk tujuan perubatan meskipun sangat berkesan dan selamat.

"Saya berharap teknologi nuklear dalam bidang perubatan akan terus maju sekali gus dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.

Info: Diagnosis dan rawatan penyakit menggunakan perubatan nuklear:

• Pengimejan jantung

• Pengimejan buah pinggang

• Pengimejan tulang

• Pengimejan hati dan limpa

• Rawatan kanser tiroid

• Rawatan hypertiroid

• Rawatan kanser prostat

• Rawatan paliatif tulang

Berita Harian X