Isnin, 4 Oktober 2021 | 1:16pm
Pakar Pusat Perubatan Sunway gesa wanita buat pemeriksaan awal elak tambah serius - FOTO Hiasan
Pakar Pusat Perubatan Sunway gesa wanita buat pemeriksaan awal elak tambah serius - FOTO Hiasan

Kanser payudara, jangan berdiam diri

SERING dimomokkan rawatan kanser menyakitkan, membuatkan ramai lebih rela 'berdiam diri' mendapatkan rawatan, selain ada yang lebih mempercayai kaedah alternatif kerana beranggapan penyakit itu mampu disembuhkan dengan cara tersebut.

Keadaan ini membuatkan kebanyakan pesakit hanya mendapatkan nasihat doktor selepas kesihatannya bertambah teruk, badan semakin lemah dan selepas didiagnosis, sel kanser sudah merebak lebih serius.

Pakar Perunding Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Sunway, Dr Aqilah Othman, berkata ramai pesakit yang mendapatkan rawatan awal mampu kembali sihat dan berpeluang meneruskan kehidupan biarpun pernah mengharungi fasa getir menghidap kanser serius.

Sambil memberikan contoh kanser payudara, isu lewat mendapatkan rawatan hingga penyakit itu sudah merebak tahap tiga atau empat sering terjadi, biarpun sebilangan besar pesakit sedar terdapat benjolan, cecair keluar daripada puting, namun pada fikirannya, ia tidak serius.

ImagePakar Perunding Onkologi Klinikal, Dr Aqilah Othman.

"Ini membuatkan mereka tidak mendapatkan nasihat doktor tetapi lebih cenderung mencuba rawatan alternatif atau mengharapkannya sembuh sendiri. 

"Namun, apabila tiada perubahan positif, baru pesakit ke hospital itupun selepas kanser sudah merebak teruk.

"Hanya dengan menjalani pemeriksaan biopsi dan scan, baru keadaan sebenar kanser boleh dipastikan, seterusnya doktor akan mengesyorkan rawatan yang sesuai," katanya sambil memetik Laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2012 hingga 2016  mendedahkan hampir 50 peratus kes kanser payudara dikesan pada tahap tiga dan empat. 

Kurang peka buat pemeriksaan  

Dr Aqilah berkata, tahap kesedaran masyarakat juga memperlihatkan jurang antara usia, lokaliti, tahap pendidikan, sekali gus perbezaan dalam kesedaran membuat ujian saringan berkala untuk mencegah atau mengesan penyakit di peringkat awal di mana individu tersebut tidak mengalami sebarang gejala.

"Jika kanser disahkan, pakar onkologi akan mempertimbangkan pelbagai faktor merangkumi jenis dan peringkat kanser,  tahap kesihatan, penyakit lain yang dihidapi untuk menentukan  rawatan yang paling berkesan dan sesuai untuk individu tersebut. 

"Ini kerana terdapat pelbagai jenis rawatan seperti pembedahan, chemotherapy, targeted treatment, immunotherapy, radiotherapy dan rawatan hormon yang boleh digunapakai dalam rawatan kanser tetapi kesesuaian setiap jenis rawatan bergantung kepada faktor biologi kanser di mana ianya berbeza di dalam setiap individu . 

"Contohnya ada pesakit kanser payudara yang berada pada tahap empat tetapi selepas menjalani rawatan hormon dan targeted treatment dalam bentuk pil, gejala yang dihadapi berkurangan dan pesakit tersebut boleh menjalani kehidupan seperti biasa, di mana jangka hayat boleh dipanjangkan dan kesan sampingan daripada rawatan adalah ringan," katanya sambil menegaskan setiap orang mempunyai karektor sendiri, oleh itu rawatan yang disarankan adalah khusus untuk individu tersebut.

Dr Aqilah berkata, setiap pesakit mempunyai pelan rawatan tersendiri bergantung kepada pelbagai faktor, danjuga mengesyorkan supaya masyarakat mengubah gaya hidup serta diet seimbang.

Risiko kanser payudara

Sementara itu, Pakar Bedah Payudara dan Endokrin Pusat Perubatan Sunway, Dr Normayah Kitan, berkata kanser payudara berlaku disebabkan risiko boleh diubah dan risiko tidak boleh diubah.

Katanya, risiko tidak boleh diubah yang menyebabkan risiko kanser payudara lebih tinggi termasuk umur yang meningkat, jantina perempuan, sejarah keluarga atau genetik serta pendedahan kepada estrogen yang lama iaitu datang haid di awal usia dan  lambat menopaus. 

ImagePakar Bedah Payudara dan Endokrin, Dr Normayah Kitan.

"Bagi risiko boleh diubah pula, antaranya ialah wanita yang tidak pernah melahirkan anak atau menyusukan bayi, individu yang mengambil pil perancang dalam tempoh lebih daripada 10 tahun atau hormon HRT bagi yang menopaus. 

"Selain itu, gaya hidup misalnya seseorang yang gemuk, tidak bersenam atau pernah terdedah kepada sinar radiasi disebabkan kanser lain juga lebih berisiko tinggi menghidap kanser ini," katanya.

Simpton kanser payudara

Dr Normayah berkata, kanser payudara dapat  dikesan  pada peringkat awal jika wanita melakukan saringan imbasan mamogram. 

"Ini kerana pada peringkat pre invasive, biasanya tiada simptom yang dialami. Simptom yang paling biasa adalah benjolan pada payudara dan selalunya tanpa rasa sakit. Benjolan hanya boleh dirasa apabila saisnya lebih daripada 1-2 cm sahaja. Tanda-tanda lain kanser payudara adalah seperti sakit, keluar cecair daripada puting serta perubahan bentuk payudara. 

"Amat penting untuk membuat pemeriksaan payudara dengan doktor yang bertauliah jika ada simptom diatas dengan segera.

Beliau menjelaskan pesakit  lazimnya akan mengalami sakit serius, susah nafas, lemah badan dan hilang selera makan jika kanser payudara telah berada pada peringkat yang teruk.

Buat saringan berkala

Dr Normayah berkata, pada umumnya tahap kesedaran kanser payudara di kalangan wanita negara ini dipengaruhi oleh tahap pendidikan, status ekonomi, geografi tempat tinggal samada bandar atau luar bandar dan akses kepada  rawatan. 

"Setiap wanita perlu tahu pentingnya membuat saringan berkala dan membuat pemeriksaan dengan segera jika ada simptom di payudara supaya  kanser dapat dikesan awal dan seterusnya melakukan rawatan dengan segera.   

"Peluang untuk hidup dalam tempoh 5 tahun hampir 99%  jika kanser dirawat pada peringkat awal.

"Sementara pada tahap empat, peluang hidup hanya dalam  25% peratus sahaja."

Ujian mamogram penting

Justeru, ujian mamogram penting untuk mengesan awal kanser payudara berikutan ia adalah model saringan kepada individu berusia 40 tahun ke atas. 

Wanita juga perlu tahu  cara melakukan pemeriksaan sendiri payudara.

"Memang ada yang mengatakan saringan mamogram sakit, tetapi sakit  itu hanya seketika sahaja dan akan hilang. Teknologi mesin yang terkini membuatkan pemeriksaan mammogram lebih selesa dan tidak begitu menyakitkan.

"Selain kakitangan  perubatan, keluarga dan kenalan perlu memberikan sokongan kuat sewaktu pesakit menjalani rawatan. Pesakit perlu percaya bahawa kanser payudara boleh dirawat dan bukan satu hukuman maut.   

"Lebih baik menganggapnya sebagai penyakit yang biasa seperti darah tinggi atau diabetes supaya kesedaran mengenai pencegahan dan rawatan payudara di kalangan wanita sangat tinggi dan mereka berani untuk membuat pemeriksaan dan mendapatkan rawatan yang sepatutnya dengan segera ," katanya.

Berita Harian X