Ahad, 3 Oktober 2021 | 11:31am
Senyum keluarkan hormon endorphin untuk rangsang kegembiraan.- Foto hiasan
Senyum keluarkan hormon endorphin untuk rangsang kegembiraan.- Foto hiasan

50 kali senyum sehari bantu lawan penyakit

"Senyum, senyum, senyum, tak perlu kata apa-apa.

"Awak mesti senyum sekali, kalau kita senyum, semua orang berjangkit, bila semua orang senyum, dunia tiada penyakit."

Itu antara bait lirik lagu Senyum, nyanyian Malique dan Najwa apabila kita mendengarnya rasa cukup nyaman dan terkesan maksudnya.

Memaklumkan itu dengan hanya tersenyum, boleh memberikan aura positif kepada insan lain, juga rasa lega dengan penyakit dideritai.

Senyum juga menggambarkan personaliti, kegembiraan dan keyakinan individu.

Yang nyata, senyum bukan sahaja dapat menceriakan individu itu sendiri, malah ia seperti satu isyarat positif yang dapat menceriakan suasana.

Lantas, ia sekali gus mampu membuatkan orang di sekeliling individu berkenaan turut tersenyum apabila mendapat isyarat itu.

Tidak mustahil mengapa seseorang menghantar mesej sistem pesan ringkas (SMS) atau menerusi aplikasi WhatApps dengan emoji pelbagai bentuk 'smiley' menandakan perasaan mereka.

Endorphin hormon gembira

Perunding Pergigian Pediatrik Pusat Perubatan MSU (MSUMC), Prof Dr Noraini Nun Nahar Yunus, berkata banyak manfaat yang diperoleh apabila seseorang itu senyum.

Katanya, apabila senyum kelenjar pada bahagian muka akan mengeluarkan hormon semula jadi, iaitu endorphin atau turut dikenali sebagai hormon gembira.

Hormon itu yang akan membuatkan individu itu berasa gembira, senang, kurang rasa takut atau tidak selesa.

"Senyuman itu sendiri seperti satu pantulan kerana ia akan secara automatik membuatkan orang di sekeliling turut tersenyum apabila nampak kita senyum," katanya.

Prof Dr Noraini Nun Nahar Yunus
Prof Dr Noraini Nun Nahar Yunus

Senyuman isyarat positif

Beliau berkata, individu yang suka tersenyum juga senang didampingi berbanding mereka yang kurang tersenyum kerana perbezaan raut wajah yang ketara.

Malah mereka yang selalu tersenyum juga sentiasa merasa yakin dengan diri dan perbuatannya.

"Dalam keadaan pandemik ketika ini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang memerlukan setiap orang memakai pelitup muka, tidak menghalang seseorang itu untuk senyum kepada orang lain.

Jelasnya, raut wajah orang yang tersenyum itu masih boleh dilihat dengan jelas termasuk keadaan mata yang seakan tertutup bagi sesetengah orang.

"Begitu juga apabila bercakap menerusi telefon, walaupun kita tidak nampak individu itu tersenyum tetapi dengan intonasi suara percakapan, kita boleh tahu dia sedang tersenyum.

"Jadi secara automatik membuatkan kita akan turut tersenyum. Jelas menunjukkan isyarat positif itu turut sampai pada kita walaupun menerusi panggilan telefon," katanya.

Senyum merangsang tenaga

Dr Noraini berkata, apabila seseorang itu selalu tersenyum ia juga akan dapat membuatkan mereka merasa sihat malah akan sentiasa mendapat tidur yang cukup.

"Selain itu, dengan selalu tersenyum juga boleh membantu proses penghadaman dan sistem pencernaan lebih lancar," katanya.

Justeru, jumlah kebiasaan seseorang itu akan senyum dalam sehari adalah sekurang-kurang 20 kali kali.

Mampu 50 kali sehari

Bagaimanapun, mereka yang sentiasa berada dalam keadaan positif atau yang selalu dalam suasana ceria, berkemungkinan mampu senyum sehingga 50 kali sehari.

"Namun seperti kita sedia maklum, ada individu yang memang dilahirkan dengan raut wajah sentiasa tersenyum dan mereka ini antara individu yang sentiasa berada dalam keadaan sihat kerana pengeluaran endorphin.

"Keadaan mereka juga sama seperti individu yang sering bersenam di gimnasium apabila sering berasa gembira, puas dan berasa sentiasa sihat apabila dapat melakukan senaman.

"Apabila badan merasa sihat, ia akan membuatkan seseorang itu bertenaga dan tidak senang untuk merasa marah," katanya.

Senyum tingkatkan sistem imuniti

Beliau berkata, kajian turut menunjukkan dengan sentiasa tersenyum juga dapat membantu mengurangkan tekanan perasaan seseorang.

Menariknya, individu yang mempunyai penyakit tekanan darah tinggi turut digalakkan sentiasa tersenyum kerana ia dapat membantu menurunkan tekanan darah yang dialami.

"Hormon endorphin juga boleh mempertingkatkan sistem imuniti dalam tubuh badan seseorang sekali gus lebih berkesan melawan pesakit. Endorphin dikeluarkan oleh kelenjar pituitari di otak.

"Selain endorphin, turut dikeluarkan adalah hormon dopamine yang dapat meningkatkan lagi antibodi di dalam badan seseorang," katanya.

Manfaat untuk kesihatan

Justeru katanya, sempena Hari Senyum Sedunia yang disambut setiap Oktober sebagai

semua orang digalakkan untuk senyum.

Katanya, walaupun senyum masih memerlukan kekuatan otot pipi, namun ia tidak memerlukan banyak pergerakan iaitu cuma perlu menggerakkan pipi sahaja.

Banyak otot yang diperlukan untuk senyum, otot utama ialah otot pipi, zygomaticus major.

"Walaupun kita tidak boleh memaksa seseorang untuk senyum, namun jelas dengan hanya senyum, banyak manfaat yang boleh diperoleh dari sudut kesihatan.

"Malah, senyum itu juga satu sedekah. Jadi tidak perlu menunggu Hari Senyum Sedunia atau untuk merasa gembira baru tersenyum, hanya perlu senyum selalu demi kesihatan dan untuk sebarkan aura positif kepada orang sekeliling," katanya.

Info: Mengenai senyum

  • Senyum merangsang lebih banyak Endorphin
  • Merangsang hormon kegembiraan
  • Membantu proses penghadaman dan sistem pencernaan lebih lancar
  • Hormon dopamine tingkatkan antibodi
  • Hari Senyum Sedunia bermula pada 1963.
  • Harvey Ball dari, Massachusetts, cipta salah satu simbol wajah seseorang berwarna kuning sedang tersenyum.

  • Terciptanya simbol 'smiley' yang ikonik.
  • Berita Harian X