Ahad, 26 September 2021 | 10:30am
Vaksin HPV juga dapat mencegah kanser faraj dan vulva, ketuat faraj dan kanser dubur. - Foto hiasan
Vaksin HPV juga dapat mencegah kanser faraj dan vulva, ketuat faraj dan kanser dubur. - Foto hiasan

Ancaman kanser serviks ketika COVID-19

DALAM era pandemik global, topik vaksinasi menjadi semakin relevan. Vaksin COVID-19 terbukti menjadi satu inovasi penting yang dapat membantu menurunkan risiko penyakit serius dan kematian yang berkaitan virus ini.

Lebih-lebih lagi kini, kita juga tidak boleh mengabaikan pentingnya untuk memastikan vaksinasi rutin diteruskan, agar dilindungi daripada penyakit yang boleh dicegah seperti kanser serviks.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), wabak COVID-19 menyebabkan 23 juta kanak-kanak dan 1.6 juta kanak-kanak perempuan di dunia kehilangan vaksinasi asas dan HPV (human papillomavirus) masing-masing pada 2020.

Gangguan dalam penghantaran dan penggunaan perkhidmatan imunisasi rutin mungkin disebabkan seperti kebimbangan terhadap jangkitan, sekatan perjalanan atau akses kepada penjagaan kesihatan yang terhad.

Kepentingan vaksin

Pakar Sakit Puan dan Onkologi Ginekologi, Pulau Pinang, Dr Suresh Kumarasamy, berkata sebelum COVID-19, vaksin sangat penting dalam memerangi penyakit di peringkat global seperti cacar dan polio.

Dianggarkan dua hingga tiga juta nyawa diselamatkan setiap tahun berkat adanya vaksinasi, yang tidak dapat disangkal ia adalah salah satu intervensi kesihatan yang paling berjaya dan menjimatkan kos.

Dr Suresh Kumarasamy.
Dr Suresh Kumarasamy.

Dilaporkan setiap imunisasi kanak-kanak menghasilkan faedah ekonomi termasuk penjimatan ke atas kos perubatan dan penyusutan produktiviti.

"Vaksinasi rutin diperlukan untuk mengurangkan kematian akibat kanser serviks," katanya.

Tahun lalu, kanser serviks yang juga dikenali sebagai kanser pangkal rahim, meragut nyawa 342,000 wanita di seluruh dunia.

Katanya, angka ini hanya akan meningkat pada tahun-tahun yang mendatang sekiranya tiada tindakan diambil.

Di Malaysia, kanser serviks adalah kanser kedua paling biasa dihidapi oleh wanita Malaysia yang berumur antara 15 hingga 44 tahun pada 2018, walaupun ia adalah penyakit yang boleh dicegah.

WHO menetapkan matlamat global untuk menghilangkan kanser serviks menjelang 2030, dan salah satu daripada sasarannya adalah agar 90 peratus kanak-kanak perempuan yang berusia 9 hingga 15 tahun diberi vaksin penuh terhadap HPV.

Beliau berkata, bagi mencapai sasaran ini, vaksinasi HPV menerusi Program Imunisasi Kebangsaan dan program imunisasi HPV di sekolah adalah penting bagi memerangi kanser serviks.

Bagaimana vaksin HPV boleh melindungi rakyat Malaysia Virus Papiloma Manusia (HPV), menyebabkan kira-kira 99 peratus daripada keseluruhan kes kanser serviks.

"Sebilangan besar mereka yang aktif secara seksual dijangkiti HPV sebaik sahaja melakukan aktiviti seksual, walaupun kebanyakan jangkitan HPV boleh hilang dengan sendirinya, jangkitan yang tidak hilang akan berkembang menjadi kanser serviks," katanya.

Kini, terdapat tiga vaksin HPV diluluskan untuk digunakan di Malaysia - vaksin HPV bivalen, vaksin HPV kuadrivalen, dan vaksin HPV 9-valen.

Ketiga-tiganya melindungi daripada jenis HPV 16 dan 18, yang menyebabkan 70 peratus daripada kanser serviks; manakala vaksin 9-valen memberi perlindungan terhadap lima jenis HPV tambahan yang menyebabkan 20 peratus daripada kanser serviks.

Jenis HPV 52 dan 58 adalah Jenis HPV yang paling biasa dijumpai pada wanita Malaysia dan jenis ini juga dilindungi oleh vaksin 9-valen.

Vaksinasi rutin diperlukan untuk mengurangkan kematian akibat kanser serviks. - Foto hiasan
Vaksinasi rutin diperlukan untuk mengurangkan kematian akibat kanser serviks. - Foto hiasan

Dr Suresh berkata, selain perlindungan terhadap kanser serviks, vaksin HPV juga dapat mencegah kanser faraj dan vulva, ketuat faraj dan kanser dubur.

Malah, lelaki muda atau berumur juga menerima vaksin HPV kerana ia boleh melindungi mereka daripada jangkitan HPV dan penyakit yang berkaitan dengannya, membantu mengurangkan penularan dan meningkatkan imuniti kelompok.

Langkah mencegah kanser serviks

Beliau berkata, perang melawan kanser serviks harus tetap menjadi keutamaan walaupun negara sedang giat memerangi COVID-19.

Selain vaksinasi, yang adalah tonggak utama dalam pencegahan kanser serviks, saringan untuk penyakit ini juga harus diteruskan.

"Wanita dengan gejala mencurigakan seperti pendarahan faraj yang tidak teratur atau pendarahan selepas hubungan seksual harus berjumpa pakar sakit puan segera mungkin bagi memastikan ia bukan kanser serviks atau sebarang patologi serius lain," katanya.

Oleh itu, program imunisasi HPV berasaskan sekolah terganggu oleh pandemik, terdapat keperluan untuk meneruskan program vaksinasi atau lebih banyak program berasaskan komuniti bagi memastikan jurang luas yang terhasil akibat COVID-19 dapat dirapatkan.

Kepentingan vaksin

Ibu bapa juga harus mematuhi jadual imunisasi anak-anak mereka supaya kesihatan dan kesejahteraan dapat dilindungi.

Pandemik ini menyampaikan peringatan yang penting untuk setiap individu mengenai tentang betapa pentingnya vaksin, dan betapa beruntungnya kita mempunyai alat untuk mencegah perkembangan penyakit berbahaya seperti kanser serviks.

Oleh itu, penting untuk kita memanfaatkannya bagi memastikan diri dan anak-anak dilindungi daripada penyakit yang boleh dicegah ini.

Berita Harian X