Isnin, 21 Jun 2021 | 10:30am
Terdapat lebih daripada 100 jenis artritis dan kondisi berkaitan serta dialami ramai individu.- Foto hiasan
Terdapat lebih daripada 100 jenis artritis dan kondisi berkaitan serta dialami ramai individu.- Foto hiasan

Gangguan keradangan kronik

LAZIMNYA ramai menganggap sakit artritis hanya dihidapi oleh individu berusia hingga menjadikan ramai golongan muda mengambil remeh mengenainya.

Hakikatnya, meskipun penyakit itu lazimnya dihidapi oleh individu berumur, sebilangan besar golongan yang lebih muda tidak terkecuali.

Ramai golongan muda yang mengalami sakit sendi, pembengkakan atau kekejangan tidak menyangka artritis boleh menjadi punca komplikasi itu.

Semua kita perlu menyedari bahawa artritis tidak hadir dalam satu bentuk sahaja.

Pakar Bedah Ortopedik, Artritis dan Sukan, Datuk Dr Badrul Shah Badaruddin, berkata terdapat lebih daripada 100 jenis artritis dan kondisi berkaitan dialami ramai individu.

"Daripada jumlah ini, antara jenis artritis paling lazim dihadapi golongan dewasa muda ialah artritis reumatoid, iaitu gangguan keradangan kronik yang memberi kesan pada dinding sendi," katanya.

Serang seluruh badan

Beliau berkata, artritis reumatoid adalah penyakit autoimun dan sistemik yang boleh menyerang seluruh badan.

Sesiapa sahaja berpotensi menghidap artritis reumatoid tanpa mengira peringkat usia, malah lapan dalam setiap 100,000 individu berusia 18 hingga 34 tahun didapati menghidap artritis reumatoid.

Di Malaysia, lebih kurang lima dalam 1,000 individu mengalami kondisi ini.

Tanda awal artritis reumatoid dalam golongan dewasa muda:

• Kekejangan sendi

Antara tanda awal artritis reumatoid ialah kekejangan pada mana-mana bahagian sendi kecil. Ia biasanya terjadi pada bahagian tangan dan ia boleh berlaku pada bila-bila masa.

Kekejangan ini lazimnya berlaku secara beransur-ansur, namun ia juga boleh terjadi serta-merta.

Ia juga boleh terjadi pada waktu pagi atau selepas tempoh ketidakaktifan yang lama. Apabila sendi menjadi kejang, pergerakan individu akan terjejas.

• Sakit sendi

Sendi biasanya akan menjadi lebih lembut selepas mengalami kekejangan dan kesakitan boleh dirasai walaupun ketika sedang berehat. Jari-jemari dan pergelangan tangan adalah anggota badan paling kerap terkesan dan kesakitan juga boleh dialami pada bahagian lutut, bahu, kaki serta pergelangan kaki.

Sakit sendi menjejaskan kualiti hidup kerana aktiviti ringkas seperti menaip atau memasak juga boleh menjadi pengalaman menyakitkan.

• Keradangan sendi

Artritis reumatoid adalah gangguan keradangan kronik beri kesan pada dinding sendi.- Foto hiasan
Artritis reumatoid adalah gangguan keradangan kronik beri kesan pada dinding sendi.- Foto hiasan

Keradangan pada sendi juga biasa berlaku dan boleh menyebabkan sendi anda kelihatan lebih besar. Malangnya, pembengkakan sendi bersimetri juga adalah tanda kewujudan penyakit ini.

Keradangan boleh memberi kesan terhadap tendon dan ligamen, lantas menjurus kepada kecacatan yang mampu membataskan julat pergerakan (range of motion), tugas mudah akan menjadi lebih sukar untuk dilakukan.

• Kekebasan dan sesemut ('tingling')

Apabila anggota sendi mengalami keradangan, ia akan memberi tekanan pada saraf dan menjurus kepada kekebasan atau sensasi sesemut, khususnya di tangan dan menyebabkan anda rasa bimbang dan tidak rasa tidak selesa.

Mengulas lanjut berkaitannya, Dr Badrul Shah, berkata individu mengalami simptom seperti dibincangkan di atas juga harus memberi perhatian ke atas petanda lain.

Misalnya, jika anda demam dan mengalami mana-mana simptom ini, ia mungkin memberi petanda mengenai kewujudan artritis reumatoid.

"Ia sebenarnya petanda dan simptom paling lazim sahaja. Kajian mendapati 40 peratus individu mempunyai artritis reumatoid juga mengalami tanda-tanda dan simptom yang tidak membabitkan sendi.

"Artritis reumatoid juga boleh menjejaskan banyak anggota badan lain selain sendi. Ia meliputi kulit, mata, paru-paru, jantung, buah pinggang, kelenjar liur, tisu saraf, sumsum tulang dan saluran darah," katanya.

Kaedah mencegah

Beliau menegaskan penyakit ini bukannya perlu dibimbangkan hanya selepas usia menginjak 50-an.

Anda perlu memikirkan cara untuk mencegahnya daripada awal dan mengambil langkah betul untuk mengurangkan risiko kekejangan dan sakit sendi.

Datuk Dr Badrul Shah Badaruddin
Datuk Dr Badrul Shah Badaruddin

Terdapat bukti jelas menunjukkan korelasi antara artritis dan gaya hidup seseorang.

"Dengan kekal aktif secara jasmani, ia dapat memelihara kebolehan kita untuk bergerak, selain memberi manfaat kepada kesihatan," katanya.

Faktor risiko perlu dipertimbangkan:

• Jantina: Kajian menunjukkan wanita dua hingga tiga kali ganda lebih cenderung untuk menghidap penyakit ini berbanding lelaki.

• Genetik: Meskipun tiada gen khusus menyebabkan artritis reumatoid, terdapat kecenderungan genetik memerlukan sesuatu pencetus ia terjadi.

• Merokok: Kajian mendapati tabiat merokok meningkatkan risiko penyakit itu. Bagi mereka sudah mempunyai kondisi ini, ia akan menjadi lebih buruk.

• Obesiti: Berat berlebihan memberi tekanan pada sendi.

Boleh terjadi bila-bila masa

Dr Badrul Shah berkata, memandangkan penyakit artritis reumatoid sukar untuk dijangka, pengambilan langkah pencegahan adalah mustahak. Hentikan tabiat merokok, kekalkan berat badan pada paras yang sihat dan hadkan pendedahan terhadap pencemaran alam.

Walaupun penyakit ini tiada penawarnya, keupayaan rawatan berkembang dengan pesat sejak kebelakangan ini.

Rawatan dimulakan pada peringkat awal terbukti bermanfaat. Jika anda mengalami kesakitan, jangan pandang enteng.

Paras daya toleransi kesakitan bagi generasi muda mungkin lebih tinggi, namun ia tidak bermakna culas berkaitannya.

Badan anda berkomunikasi menggunakan kaedah seperti ini. Kesihatan tulang dan sendi harus diutamakan pada setiap masa sama ada kita sedang dilatari pandemik atau sebaliknya.

Artritis reumatoid penyakit boleh dihidapi pada bila-bila masa, tanpa mengira peringkat usia.

Oleh itu, rujuk pakar kesihatan, buat pemeriksaan dan ambil langkah sewajarnya.

Berita Harian X