Ahad, 13 Jun 2021 | 11:03am
Di ICU, pesakit akan diberikan bantuan oksigen dan ventilator, rawatan sokongan seperti ubat untuk mencegah darah beku dan ulser perut serta steroid.
Di ICU, pesakit akan diberikan bantuan oksigen dan ventilator, rawatan sokongan seperti ubat untuk mencegah darah beku dan ulser perut serta steroid.

Pesakit COVID-19 'ditidurkan'

PERKONGSIAN petugas Hospital Sungai Buloh, Shahrin Sahbudin dalam Facebook beliau disertakan dua keping gambar detik seorang pesakit COVID-19 beragama Islam 'ditidurkan' dalam rawatan intubasi dengan dibantu oleh mesin pernafasan, baru-baru ini, mendapat perhatian dan komen ramai netizen.

Susulan itu juga timbul pelbagai persepsi dan salah tanggapan mengenai istilah 'ditidurkan', dalam kalangan orang ramai.

Ketua Jabatan Anestesiologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Ina Ismiarti Shariffuddin, berkata prosedur bius untuk menidurkan pesakit COVID-19 dan pesakit diminta mengucapkan kalimah syahadah bukan menandakan seseorang itu nazak atau tiada harapan hidup.

Katanya, pesakit yang ditempatkan di ICU sememangnya kritikal, sebagai satu cara merawat dengan ditidurkan untuk memberikan bantuan pernafasan.

"Di dalam Islam memang umatnya disuruh mengucap sebelum tidur," katanya.

Tidak semua pesakit COVID-19 'ditidurkan' kerana banyak kriteria diambil perhatian, sebelum pakar buis memutuskan tindakan lanjut dalam memberikan rawatan.

"Pesakit COVID-19 ini boleh dikategorikan kepada kategori satu hingga lima.

"Kategori satu bagi pesakit tidak bergejala, dua yang mempunyai gejala, ketiga ada gejala dan jangkitan kuman dalam paru-paru atau pneumonia.

"Kategori keempat yang menghidap pneumonia teruk dan memerlukan oksigen. Kategori lima, pesakit kritikal yang mengalami kegagalan organ," katanya.

Perlu pemantauan rapi

Dr Ina Ismiarti berkata, kebiasaan pesakit yang dirujuk ke ICU adalah kategori empat atau lima, iaitu keperluan oksigen mereka lebih daripada biasa dan memerlukan pemantauan lebih rapi.

Prof Dr Ina Ismiarti Shariffuddin.
Prof Dr Ina Ismiarti Shariffuddin.

"Selalunya pesakit diberikan bius untuk koma atau ditidurkan adalah pesakit COVID-19 kategori empat atau lima, apabila mereka mengalami kegagalan pelbagai organ seperti kegagalan paru-paru yang teruk dan tidak boleh mencapai tahap oksigen yang cukup.

Selain pesakit COVID-19 mengalami kegagalan jantung atau buah pinggang," katanya.

Kategori pesakit dimasukkan ICU

Untuk menentukan pesakit kategori empat dan lima dibius untuk koma ialah apabila tahap oksigen pesakit rendah dan mengalami kegagalan pernafasan atau 'respiratory failure'.

"Ini berlaku apabila tahap oksigen di dalam darah sangat rendah, kurang dari 92 peratus (walaupun sudah diberi bantuan oksigen), tahap karbon dioksida di dalam sangat tinggi atau pesakit tercungap-cungap dan kepenatan berikutan kadar pernafasan pesakit terlalu tinggi.

"Jika tidak diberi sebarang bantuan pernafasan, penurunan oksigen akan berlaku dengan cepat, hingga pesakit boleh mengalami komplikasi dan mengakibatkan kesan yang buruk kepada pesakit," katanya sambil menjelaskan kadar ideal oksigen di dalam badan adalah melebihi 95 peratus.

COVID-19 lebih berbahaya kepada golongan berusia, penghidap obesiti, perokok, pesakit paru-paru kronik, pesakit diabetes, jantung dan pesakit ada penyakit kronik lain.

Pesakit mendapat bekalan oksigen yang rendah (hypoxia) boleh mengakibatkan kegagalan organ misalnya, otak yang gagal berfungsi atau dipanggil 'hypoxic ischaemic encephalopathy'.

Justeru, kita perlu memastikan oksigen sampai ke otak secepat mungkin kerana jika oksigen dalam keadaan rendah, kepenatan dan lama-kelamaan pesakit akan berhenti bernafas.

Masa itu mungkin boleh pesakit boleh meninggal dunia, jika tidak berbuat apa-apa.

"Pada saat kritikal pesakit perlu ditidurkan dan diintubasi. Ia ditidurkan semasa pesakit dimasukkan tiub pernafasan ke saluran trakeanya. Tiub pernafasan yang berada dalam saluran trakea adalah menyakitkan.

Jika tidak ditidurkan, pesakit tidak selesa dan akan melawan proses ventilasi, ini menyebabkan trauma kepada paru-paru" katanya.

Prosedur pesakit ditidurkan

Dr Ina Ismiarti berkata, untuk prosedur pesakit ditidurkan, ia perlu dilakukan berhati-hati, berikutan badan pesakit COVID-19 tidak mempunyai banyak 'reserve' terutama organ penting seperti jantung dan paru-paru sudah mulai gagal dan kurang berfungsi akibat jangkitan COVID-19.

"Kuman COVID-19 yang memasuki badan akan mengakibatkan pelbagai reaksi di dalam badan seperti 'Acute Respiratory Distress Syndrome', 'septic shock' iaitu apabila kuman sudah terlalu banyak dalam badan dan keradangan teruk, terutama pada organ penting seperti jantung, buah pinggang dan otak.

"Tahap keterukan ini bergantung kepada 'viral load', di samping jujukan (strain) yang mempunyai kesan berbeza.

"Dalam virus COVID-19 ini badan akan berinteraksi melawan hingga tidak dapat membezakan antara kuman dan sel, sekali gus ia merosakkan badan. Keadaan akan bertambah buruk, jika pesakit ada penyakit kronik, diabetes, masalah buah pinggang, paru-paru, hipertensi, obesiti dan lain-lain," katanya.

Dalam persekitaran hospital pesakit boleh mendapat jangkitan nosocomial dan akan mengakibatkan pesakit semakin kritikal.

Dipantau 24 jam

Bagi tempoh koma, ia adalah bergantung kepada pesakit, tahap keseriusan kesan viral, namun jika organ lainnya sudah tidak berfungsi, pesakit akan mengalami banyak komplikasi.

"Di ICU, pesakit akan diberikan bantuan oksigen dan ventilator, rawatan sokongan seperti ubat untuk mencegah darah beku dan ulser perut serta steroid untuk pesakit tertentu.

"Dalam tempoh ini, pesakit perlu diberikan sumber nutrien untuk tenaga meskipun dia dalam keadaan koma, sama ada melalui tiub di hidung atau salur darah. Pesakit akan dipantau rapi 24 jam," katanya.

Selama tempoh koma pesakit akan kehilangan berat badan, berikutan badannya tidak bergerak mengakibatkan ototnya mengecut yang mana pesakit COVID-19 berisiko lebih mengalami kesan ini berbanding pesakit ICU lain.

"Justeru, pesakit COVID-19 yang baru sembuh perlu dipantau rapi kerana ada banyak komplikasi mungkin berlaku.

"Pesakit perlu dipantau di wad selepas diekstubasi untuk waktu tertentu kerana mereka boleh mendapat komplikasi lain seperti sakit jantung, strok dan pulmonari embolism," katanya.

Berita Harian X