Isnin, 7 Jun 2021 | 1:12pm
Pesakit kanser perlu terus dilindungi untuk elak dijangkiti COVID-19.- Foto hiasan
Pesakit kanser perlu terus dilindungi untuk elak dijangkiti COVID-19.- Foto hiasan

Pesakit kanser digalakkan ambil vaksin

FEBRUARI lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan pesakit kanser boleh menerima suntikan vaksin COVID-19.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun memaklumkan suntikan vaksin hanya boleh dilakukan jika tahap kesihatan mereka sudah disahkan oleh pakar kesihatan.

Biarpun KKM mengesahkan perkara itu, namun masih ada segelintir pesakit kanser dan juga keluarga mereka tidak mahu atau mengelak untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin COVID-19 atas pelbagai alasan.

Pakar Radioterapi dan Onkologi Pusat Perubatan Mahkota, Dr Chong Kwang Jeat, berkata pesakit kanser perlu melihat diri dan memastikan mereka dilindungi daripada terus dijangkiti wabak COVID-19.

Katanya, sebagai pakar perubatan dalam bidang itu, golongan pejuang atau bekas pesakit kanser digalakkan untuk menerima vaksin kerana mereka golongan berisiko tinggi, selain orang yang menghidap diabetes, darah tinggi, sakit jantung dan buah pinggang.

"Kebanyakan orang termasuk pesakit kanser perlu cepat menerima vaksin COVID-19 kerana ia memberi manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri, sebaliknya kepada orang sekeliling (ahli keluarga terdekat) dan masyarakat.

"Jika mereka tidak mengambil vaksin pesakit lebih berisiko terdedah kepada jangkitan kerana penyebaran virus COVID-19 begitu cepat ," katanya.

Sekat penyebaran COVID-19

Dr Chong berkata, ramai yang menganggap pesakit kanser tidak perlu mendapatkan vaksin atas alasan mereka sedang melawan kanser sekali.

Katanya, jika mentaliti itu terus bersarang dalam minda mereka, keadaan akan menjadi bertambah teruk dan ia boleh menjejaskan penurunan graf kes yang amat membimbangkan ketika ini.

"Bayangkan jika golongan ini tidak mempedulikan vaksin bagi melindungi diri dengan alasan mereka adalah pesakit kanser yang sedang menerima rawatan, varian COVID-19 pula semakin mengganas, situasi ini akan mengundang peningkatan kes lebih tinggi, pada masa depan.

Dr Chong Kwang Jeat.
Dr Chong Kwang Jeat.

"Penerimaan vaksin adalah sebagai tanggungjawab sosial kita. Sebagai orang yang bertanggungjawab melawan virus ini, kita perlu mengambil peluang untuk menyekat penyebaran COVID-19 bukan saja melalui kuarantin diri dan mematuhi SOP.

"Ini termasuk pesakit kanser yang perlu mendapatkan vaksin kerana risiko mereka dijangkiti adalah sangat tinggi jika tidak menerima vaksin disediakan kerajaan," katanya.

Risiko kematian

Beliau berkata, pesakit kanser adalah golongan berisiko tinggi, selain warga emas dan kanak-kanak untuk menerima jangkitan virus itu jika tidak dilindungi.

"Statistik di seluruh dunia termasuk di China, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Itali menunjukkan kematian secara purata bagi pesakit kanser begitu cepat, iaitu sebanyak 15 hingga 30 peratus.

"Berbanding mereka tidak mempunyai kanser, kematian di seluruh dunia akibat COVID-19 hanya dua hingga tiga peratus," katanya.

Ditanya pesakit kanser layak atau tidak menerima vaksin, Dr Chong berkata, semua jenis pesakit kanser digalak mendapatkan vaksin kecuali pesakit kanser darah yang sedang menjalani kemoterapi

Golongan pesakit kanser darah yang sedang menjalankan kemoterapi dengan dos tinggi atau pemindahan sumsum tulang, golongan itu digalakkan menangguhkan pengambilan vaksin.

"Ini disebabkan daya ketahanan mereka amat rendah dan vaksin tidak dapat bertindak dalam imuniti badan yang lemah.

"Apabila individu menerima vaksin, adalah sangat penting mempunyai daya ketahanan diri.

Ini bagi memastikan vaksin diterima dapat memberi manfaat kepada imunisasi diri seterusnya menghasilkan data ketahanan dalam diri mencegah virus," katanya.

Pesakit kanser boleh mendapatkan khidmat nasihat terlebih dahulu dengan pakar perubatan terutama pakar onkologi masing-masing.

Semua pesakit kanser digalakkan dapatkan vaksin kecuali kanser darah sedang jalani kemoterapi. - Foto hiasan
Semua pesakit kanser digalakkan dapatkan vaksin kecuali kanser darah sedang jalani kemoterapi. - Foto hiasan

"Tiada salah mendapatkan pandangan mereka yang bertauliah memandangkan situasi COVID-19 sekarang membimbangkan.

Keperluan mengambil vaksin

Diberikan untuk mengawal penularan COVID-19. Apabila semakin ramai orang mendapat vaksinasi, semakin ramai penduduk membentuk antibodi dan seterusnya mengurangkan kebarangkalian kejadian penyakit itu lebih teruk.

Secara tidak langsung ia boleh melindungi golongan berisiko yang tidak layak menerima vaksinasi.

INFO: COVID-19

  • Penyakit disebabkan coronavirus yang disebut SARS-CoV-2
  • Gejala penyakit

  • Muncul dua hingga 14 hari selepas terdedah kepada virus
  • Golongan berisiko dijangkiti COVID-19:

  • Kanak-kanak
  • Warga emas berusia 65 tahun ke atas
  • Pesakit dengan penyakit kronik
  • Pesakit dengan daya ketahanan badan yang rendah
  • Wanita hamil
  • Berita Harian X