Ahad, 25 April 2021 | 10:30am
Penggunaan mesin nebuliser di rumah tidak digalakkan kerana mungkin akan melewatkan pesakit mendapat rawatan di hospital. Gambar hiasan
Penggunaan mesin nebuliser di rumah tidak digalakkan kerana mungkin akan melewatkan pesakit mendapat rawatan di hospital. Gambar hiasan

Asma jejaskan tumbesaran kanak-kanak

CUACA sejuk, habuk, hama, pepijat, permukaan berbulu seperti bulu kucing, permaidani yang memerangkap habuk, minuman sejuk dan pendingin udara antara keadaan patut dielakkan oleh pesakit asma.

Semua keadaan itu turut terkesan terhadap tahap kesihatan mereka termasuk dalam kalangan kanak-kanak, yang secara purata kira-kira 10 peratus golongan itu menghidap penyakit asma.

Kira-kira 40 peratus penyakit asma yang dialami kanak-kanak pula berhadapan dengan alahan hidung.

Lazimnya, ia bermula dengan keradangan saluran udara menyebabkan saluran udara menjadi sempit sekali gus menyukarkan pesakit bernafas dan mengakibatkan gejala lain seperti batuk, resdung, helaan pernafasan kuat, sesak nafas serta dan sesak dada.

Jika keadaan teruk, penghidap penyakit ini tidak dapat melakukan aktiviti normal dan boleh mengganggu kelancaran untuk bercakap.

Pakar Pediatrik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Private Specialist Centre (UPSC), Sungai Buloh, Prof Madya Dr Anis Siham Zainal Abidin, berkata lazimnya asma disebabkan saluran pernafasan sempit, bengkak di bahagian dalam dan mempunyai banyak kahak dan bendalir yang boleh menghalang saluran itu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pesakit akan mengalami sesak pernafasan dan boleh menyebabkan kritikal sekiranya kadar oksigen semakin menurun.

Persekitaran, cuaca sejuk, habuk, hama, pepijat, permukaan berbulu elakkan kerana memerangkap habuk memudahkan kanak-kanak mendapat asma. Gambar hiasan
Persekitaran, cuaca sejuk, habuk, hama, pepijat, permukaan berbulu elakkan kerana memerangkap habuk memudahkan kanak-kanak mendapat asma. Gambar hiasan

"Serangan asma tidak dapat dijangka. Ia boleh menjadi kategori ringan, sederhana, berat atau kritikal sehingga membawa maut," katanya.

Tidak dapat membesar dengan baik

Bagi pesakit kanak-kanak yang menghidapi 'Childhood Asthma', selalunya tahap kesihatan akan bertambah baik apabila meningkat usia.

"Jika tidak mengambil berat saranan dan rawatan doktor ia boleh menjadi lebih serius dan kanak-kanak tidak dapat membesar dengan baik.

"Asma ini disebabkan penyempitan saluran pernafasan dan bukannya kerana paru-paru. Masalah itu membuatkan laluannya ada masalah untuk melancarkan aliran dan karbon dioksida pada paru-paru," katanya.

Beliau yang juga pakar kanak-kanak di unit rawatan rapi berkata, lazimnya pesakit mendapat penyakit asma kerana faktor keturunan, yang mempunyai sejarah asma, alahan terhadap persekitaran, makanan dan jangkitan kuman.

Punca asma

"Kebiasaannya pesakit mengalami asma kerana reaksi terhadap persekitaran, cuaca sejuk, habuk, hama, pepijat, permukaan berbulu seperti permaidani yang memerangkap habuk, minuman sejuk dan pendingin udara.

"Bagi jangkitan kuman pada kerongkong contohnya, dari anak tekak turun ke saluran pernafasan melalui hidung, mulut dan paru-paru," katanya.

Dr Anis Siham menjelaskan ada kes disebabkan kemungkinan mereka mempunyai masalah radang di dalam hidung atau dikenali sebagai 'allergic rhinitis'.

Boleh ancam nyawa jika dibiarkan

Katanya, asma boleh mengancam nyawa jika serangan akut dibiarkan berlarutan dan tidak dibawa ke hospital dengan segera.

"Penggunaan mesin nebuliser sendiri di rumah tidak digalakkan kerana mungkin akan melewatkan menghantar pesakit ke hospital menyebabkan keadaan pesakit bertambah teruk.

Prof Madya Dr Anis Siham Zainal Abidin.
Prof Madya Dr Anis Siham Zainal Abidin.

"Apabila pesakit kanak-kanak asma dibawa ke hospital dalam keadaan teruk dan tidak sedarkan diri, ia akan dirawat di unit rawatan rapi intensif dengan menggunakan mesin pernafasan.

"Ia boleh dielak jika segera membantu kanak-kanak itu bernafas dengan baik," katanya.

Beliau menegaskan pesakit perlu mengambil ubat-ubatan yang disyorkan doktor.

Selain mengambil ubat pesakit terutama kanak-kanak perlu menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain kerana jika dihalang perkembangan mereka.

Galakkan melakukan aktiviti sihat untuk mengelak masalah lain seperti obesiti.

Rawatan ketika asma

Katanya, jenis rawatannya pula bergantung kekerapan serangan untuk diberikan ubat pam 'inhaler' pelega atau pencegah.

Yang paling utama elak menghidu asap rokok, tidak menggunakan permaidani dan memelihara haiwan berbulu seperti kucing.

"Ibu bapa perlu mengenal pasti langkah yang diperlukan misalnya dari tahap biasa ke sederhana boleh berubah ke tahap serius (akut) hingga boleh mengancam nyawa.

"Kebiasaannya pesakit mempunyai pelan rawatan. Penggunaan nebuliser pada musim pandemik COVID-19 juga tidak digalakkan disebabkan oleh kemungkinan titisan daripada rongga pernafasan akan menjadi wap kecil dan ini merebak kepada orang lain.

Info

Simptom asma

* Batuk ketika bermain, gelak, menangis dan pada waktu malam dan sejuk

* Batuk yang lama

* Bernafas laju

* Mengadu dada ketat

* Otot dan dan leher kelihatan bekerja keras untuk bernafas

* Mempunyai bunyi ketika bernafas

Faktor risiko kanak-kanak mendapat asma

* Mempunyai penyakit alahan yang lain seperti resdung dan juga ekzema

* Mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit alahan

* Selalu mendapat jangkitan kuman pada saluran pernafasan

* Kurang berat ketika lahir

* Terdedah kepada asap rokok sejak kecil.

Berita Harian X