Khamis, 22 Disember 2022 | 11:24am
Rusa masak kicap (kiri) dan Sup daging rusa disediakan di Rumah Makan Rusa.
Rusa masak kicap (kiri) dan Sup daging rusa disediakan di Rumah Makan Rusa.

Rumah Makan Rusa, saji menu eksotik

BAGI penggemar makan eksotik, khususnya daging rusa dengan pelbagai selera masakan, tidak perlu bersusah payah mencari.

Restoran dipanggil Rumah Makan Rusa, terletak di tepi Jalan Raya Kuala Kangsar- Gerik, Kampung Sumpitan, Lenggong, Perak ini, menjadi tumpuan pengunjung dari segenap negeri termasuk pelancong asing.

Pelbagai menu berasaskan daging rusa, iaitu sup daging rusa, selain rusa masak kicap, gulai lemak Pattani, daging bakar rusa dan lain-lain.

Lantas, usaha pasangan suami isteri, Rozifah Mat Desa, 41, dan suaminya, Wan Baharuddin Wan Harun, 43, membuka kedai makan ini menepati peminat makanan eksotik

Mudah mendapatkan bekalan daging rusa mendorong pasangan itu membuka kedai makan sekali gus memudahkan pengunjung mencari menu eksotik seumpamanya.

Antara menjadi pendorong pasangan ini membuka kedai makanan berkenaan adalah disebabkan mudah memperoleh bekalan berikutan banyak terdapat ladang ternakan rusa di Hulu Perak, khususnya di Lenggong.

Gulai lemak rusa, antara kegemaran pengunjung.
Gulai lemak rusa, antara kegemaran pengunjung.

Rozifah dan Wan Baharuddin sempat mengembara, selepas berpenat-lelah mengusahakan Rumah Makan Rusa di Lenggong. - Foto ihsan Wan Baharuddin
Rozifah dan Wan Baharuddin sempat mengembara, selepas berpenat-lelah mengusahakan Rumah Makan Rusa di Lenggong. - Foto ihsan Wan Baharuddin

Justeru, mereka tidak menang tangan melayani kunjungan pelanggan, lebih-lebih lagi pada hari-hari percutian dan musim perayaan untuk merasai kenikmatan hidangan rusa.

Biarpun tidak ada pengalaman, modal pula daripada hasil menabung sejak beberapa tahun, akhirnya kedua-dua pasangan suami isteri itu berjaya membuka sebuah kedai makan yang sederhana besarnya, yang terletak

Rozifah berkata, kini kedai makannya menjadi antara destinasi persinggahan utama pengunjung luar terutama datang ke daerah ini.

"Saya memang minat makanan eksotik dan saya dapati memang sangat payah nak mencari kedai makan yang ada jual makanan seperti itu yang mendorong saya buka kedai ini.

"Cadangan suami akhirnya dengan modal hasil menabung, kami berjaya buka Rumah Makan Rusa ini,

"Dengan sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung, mereka melipat gandakan masakan terutama pada hujung minggu, musim cuti sekolah dan musim perayaan.

"Kebanyakan pengunjung yang datang dari jauh, seperti dari Kelantan, Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan lain-lain. Ramai juga yang datang dengan keluarga, berkumpulan atau berkonvoi motosikal," katanya yang membuka kedai berkenaan sejak 2018.

Turut dikunjungi VIP dan selebriti

Kebanyakan pengunjung, terutama yang datang dari jauh, mereka datang dengan tujuan sampingan untuk melawat tempat-tempat menarik di sekitar Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

"Banyak terdapat tempat menarik untuk dikunjungi di sini, di samping itu RMR turut menjadi sebahagian destinasi kunjungan mereka," katanya.

Rozifah berkata, selain orang biasa, kedai makannya turut dikunjungi pelbagai peringkat termasuk VIP dan artis terkenal.

Antara pengunjung yang singgah di Rumah Makan Rusa untuk menikmati sajian eksotik. - NSTP/Mohd Rashidi Yusuf
Antara pengunjung yang singgah di Rumah Makan Rusa untuk menikmati sajian eksotik. - NSTP/Mohd Rashidi Yusuf

Justeru, pasangan suami isteri itu berhasrat memajukan lagi perniagaan mereka kerana yakin mampu berdaya saing berdasarkan jumlah pengunjung semakin bertambah dari semasa ke semasa, selain ramai pelanggan yang mengulangi makan di sini.

Untuk pesanan, tempahan pelanggan dari RM10 hingga RM50 berdasarkan jumlah erat daging rusa yang dikehendaki.

Wan Baharuddin berkata, beliau tidak mempunyai masalah mendapatkan bekalan rusa kerana banyak peladang yang mengusahakan ternakan rusa di daerah itu.

Wan Baharuddin membuka kedai makan menepati peminat sajian eksotik. - NSTP/Mohd Rashidi Yusuf
Wan Baharuddin membuka kedai makan menepati peminat sajian eksotik. - NSTP/Mohd Rashidi Yusuf

Bekalan rusa boleh diperoleh dari ladang ternakan di sekitar seperti di Padang Ragut Temelong, Bukit Sapi, Luat, Chepor, Pusat Ternakan Haiwan Lenggong milik Kerajaan Persekutuan, di Sumpitan.

"Bekalan rusa mentah tidak menjadi masalah kerana stoknya sentiasa ada," katanya.

Berita Harian X