Isnin, 30 Januari 2023 | 1:43pm
Pameran taksidermi mergastua 'Wild-Life Exhibition' di Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang (BSLNPP), Dewan Sri Pinang, Lebuh Light. - Foto/ Zuhainy Zulkiffli
Pameran taksidermi mergastua 'Wild-Life Exhibition' di Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang (BSLNPP), Dewan Sri Pinang, Lebuh Light. - Foto/ Zuhainy Zulkiffli
Pelbagai spesies rama-rama antara dipamerkan. - NSTP/Zuhainy Zulkiffli
Pelbagai spesies rama-rama antara dipamerkan. - NSTP/Zuhainy Zulkiffli

Pameran seni awet mergastua mati secara semula jadi

bhnews@bh.com,my

GEORGETOWN: Selepas 55 tahun, Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang (BSLNPP), Dewan Sri Pinang, Lebuh Light, kembali menganjurkan pameran taksidermi mergastua 'Wild-Life Exhibition' berkaitan seni dan kaedah pengawetan haiwan yang sudah mati secara semula jadi.

Kaedah pengawetan mergastua itu menjalani beberapa proses menjadikan ia seolah-olah seperti masih hidup.

Pengarah Lembaga Muzium Pulau Pinang, Haryany Mohamad, lebih 500 spesimen serangga serta haiwan daratan dan akuatik, spesies flora dan fauna yang diancam kepupusan dipamerkan.

Katanya, objektif pameran untuk mengetengahkan kerjaya taksidermi di Malaysia dan memberi pendedahan mengenai proses kaedahnya.

"Antara yang menarik ialah spesimen kepala gajah, dan jangka hayat antara 60 hingga 80 tahun serta dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar dan Taman Negara 2010.

"Terdapat juga tulang tapir, rusa bintik dan anak serta ratusan koleksi kupu-kupu dan rama-rama," katanya..

Beliau ditemui selepas majlis perasmian pameran, dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin.

Pameran berlangsung sehingga 16 Mac depan itu turut membabitkan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang, Muzium Alam Semula Jadi Jabatan Muzium Malaysia, Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang dan Entopia by Penang Butterfly Farm.

Mengulas lanjut, Haryany berkata kali terakhir pameran dianjurkan pada 1968, di institusi berkenaan dan kali ini, pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang pameran sesuai dengan semua lapisan usia.

"Aktiviti berkenaan merangkumi 11 seksyen yang terdiri daripada pengenalan taksidermi, 'cabinet of curiosity', serangga, primat, amfibia dan reptilia.

"Juga terdapat seksyen pameran spesis ikan, mamalia, predator, skeleton atau rangka dan persembahan digital karya pemetaan video.

"Kita juga mengadakan bengkel taksidermi, lukis wajah, 'drawingthon', 'bird watching', pameran reruai dan pelbagai aktiviti membabitkan agensi," katanya.

Kon Yeow berkata, diharap pameran itu akan menjadi perintis kepada muzium menganjurkan pameran seumpamanya pada masa depan.

"Pulau Pinang juga mempunyai Penang Women iaitu rangka manusia berusia lebih 5,000 tahun yang ditemukan ahli arkeologi di tapak penyelidikan Guar Kepah, Kepala Batas, pada 19 April 2017 lalu, dan kita sedang berbincang membawa pulang dari Belanda," katanya lagi

Di Malaysia, bidang taksidermi bermula seawal 1880-an di pelopori ahli zoologi barat seperti G Samuels, EJ Krilich, SE Seimund dan J Bangga yang berkhidmat sebagai ahli taksidermi di Muzium Perak dan Muzium Selangor.

Berita Harian X