Sabtu, 6 November 2021 | 11:30am
‘Rubber dinghy’ beri pengalaman berbeza nikmati lakukan kegiatan lasak di sepanjang sungai Kenerong.- Foto/Nik Abdullah Nik Omar
‘Rubber dinghy’ beri pengalaman berbeza nikmati lakukan kegiatan lasak di sepanjang sungai Kenerong.- Foto/Nik Abdullah Nik Omar
Keterujaan dan gelak ketawa orang ramai berdayung di air tenang dan deras menjadi tarikan baharu di Dabong.- Foto/Nik Abdullah Nik Omar
Keterujaan dan gelak ketawa orang ramai berdayung di air tenang dan deras menjadi tarikan baharu di Dabong.- Foto/Nik Abdullah Nik Omar

Berdayung dalam bot getah

MENYELUSURI sungai yang mengalir tenang dengan menaiki bot getah atau nama komersialnya 'rubber dinghy' pastinya memberi suatu pengalaman baru buat pengunjung sambil menikmati keindahan flora dan fauna di sepanjang Sungai Kenerong, Dabong, Kuala Krai, Kelantan.

Dengan jarak sungai sejauh 3.2 kilometer (km), mereka perlu mendayung dan ada masanya boleh membiarkan sahaja bot getah meluncur sendiri mengikut arus air yang tidak terlalu deras.

Aktiviti di air berkenaan baru sahaja diperkenalkan di Sungai Kenerong beberapa bulan yang lalu hasil cetusan idea anak tempatan di situ, yang disambut baik oleh kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Kelantan yang melihat 'Rubber Dinghy' sebagai tarikan pelancongan.

Teruja redah arus deras

Penulis antara pengunjung terawal yang mencuba aktiviti itu teruja memulakan 'pengembaraan' Sungai Kenerong bermula jam 4.30 petang.

Sebelum itu, kami diberi taklimat daripada pemandu pelancong berlesen, Bukhari Mat, 43, yang bertanggungjawab mengetuai aktiviti itu dibantu beberapa penjaga keselamatan yang berkemahiran.

Selain 'Rubber Dinghy' juga disediakan 'tubing' iaitu merentas sungai menggunakan pelampung yang lebih awal diperkenalkan di sana.

Aktiviti ‘rubber dinghy’ beri pengalaman berbeza, sambil hayati keindahan alam.- Foto/Nik Abdullah Nik Omar
Aktiviti ‘rubber dinghy’ beri pengalaman berbeza, sambil hayati keindahan alam.- Foto/Nik Abdullah Nik Omar

Kami masing-masing diwajibkan memakai jaket keselamatan walaupun dimaklumkan air sungai cetek di bawah paras kurang satu meter, selain dibekalkan pendayung bagi peserta 'Rubber Dinghy'.

Selesai sahaja taklimat keselamatan, dayungan bermula merentasi air cetek agak deras, kemudian paras air semakin tinggi menyebabkan kami perlu mendayung bagi memastikan bot terkawal daripada melanggar pelbagai jenis pokok di kiri dan kanan sungai.

Rasa kehangatan air

Hanya lapan peserta bersama seorang penjaga keselamatan dibenarkan berada di atas sebuah bot getah yang mana masing-masing sentiasa peka dengan arahan ketua jika perlu mendayung sekali gus mencetuskan semangat berpasukan.

Arus sungai yang menghala kepada satu arah membawa kami termasuk peserta 'Tubing' mengikut haluan sama sehingga diberi arahan berhenti di satu 'check point' dikenali sebagai Muara Sungai Stong Kecik.

Di situ, dapat merasai pengalaman air sungai seakan-akan kolam air panas. Pada awalnya, penulis menganggap hanya gurauan sehingga kami turun ke sungai dan benar-benar merasai air yang suam menyentuh kulit.

Air dengan jarak lebih kurang satu kilometer (km) sentiasa panas dan menjadi tarikan serta persinggahan wajib buat peserta yang menyertai 'rubber dinghy'.

Selepas tergamam seketika dengan fenomena air panas yang masih belum diketahui puncanya, kami meneruskan lagi dayungan dengan melalui beberapa kawasan arus agak deras, selain perlu mengelak melanggar kayu yang hanyut.

Tiada rasa takut sebaliknya keterujaan dan suara gelak ketawa peserta kedengaran melihat gelagat mereka yang terus terjun ke sungai seperti budak kampung yang bebas berenang.

Sekitar jam 6.15 petang, kami sampai ke penghujung lokasi yang sungguh mengujakan.

Penulis bersama rakan lain kemudian perlu mengangkat bot getah yang agak berat ke darat, sama juga peserta 'tubing' diwajibkan membawa pelampung digunakan sebelum semua menaiki bahagian belakang lori untuk pulang.

Aktiviti 'rubber dinghy' memberi pengalaman berbeza, sambil menghayati keindahan alam serta menyemai semangat berpasukan dan tidak berputus asa.

Konsep 'suka-suka'

Menurut Bukhari, aktiviti 'Rubber Dinghy' lebih memfokuskan kepada konsep 'suka-suka' yang tidak terlalu ekstrem seperti di tempat lain kerana arus air lebih tenang, iaitu tahap satu serta sesuai semua peringkat usia.

Bagi kanak-kanak seawal usia dua tahun bersama ibu bapa perlu pastikan memakai jaket keselamatan, selain ada penjaga keselamatan di sepanjang perjalanan.

Jika ada antara peserta yang tidak larat menghabiskan 'pengembaraan' sungai disediakan laluan lebih dekat dengan jarak 1.7km.

Terdapat tujuh tahap kategori ekstrem yang yang dibezakan mengikut paras air bagi sukan ini.

"Pengunjung boleh memilih menyertai aktiviti lasak disediakan lokasi lain di Kelantan, lebih-lebih lagi sudah kembali aktif dalam fasa endemik COVID-19 sekali gus dapat menyemarakkan kembali sektor pelancongan yang sepi sebelum ini," katanya.

Yang perlu, semua pihak perlu sentiasa memastikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) mengikut norma baharu.

Info:

Mengenai Sungai Kenerong

* Terletak di Kampung Stong, Dabong

* 15 km dari Pekan Dabong

* Aktiviti 'rubber dinghy' - harga dewasa : RM60 - RM100 (bergantung jarak sungai)

* 'Rubber dinghy' lain juga ada di Sungai Hulu Balah, Jeli dan Sungai Nenggiri, Gua Musang.

Berita Harian X