Isnin, 18 Oktober 2021 | 11:01am
Gazebo terapung rona kebiruan dibina di Pangkalan Sungai Muar, di Kampung Gombang. - Foto/Ahmad Ismail
Gazebo terapung rona kebiruan dibina di Pangkalan Sungai Muar, di Kampung Gombang. - Foto/Ahmad Ismail

Gazebo terapung unik rona kebiruan

BERINSPIRASIKAN rakit buluh mudah terapung di atas permukaan air mencetuskan idea untuk membina konsep sama bagi pondok santai atau gazebo yang didirikan di pinggir sungai ini.

Suasana keindahan alam sekitar dengan pepohon menghijau, siulan unggas, cengkerik menjadikan sesiapa sahaja duduk di gazebo terapung itu terasa damai dan menenangkan.

Gazebo terapung rona kebiruan dibina di Pangkalan Sungai Muar, di Kampung Gombang, Muar, Johor ini, bakal menjadi ruang santai digemari sukar digambarkan.

Mana tidaknya, tatkala menjelang senja, panaroma di sekitar kawasan itu tambah mengasyikkan apabila ia dilimpahi dengan cahaya keemasan matahari terbenam begitu romantis.

Di sebelah malam, gazebo terapung diterangi dengan lampu LED pelbagai warna bagi menaikkan seri dan suasana di tebing sungai itu.

Justeru, gazebo kelihatan seperti rakit yang diperbuat daripada kayu, berbumbung zink dan besi aluminium serta 50 tong drum plastik di bawahnya membuatkan ia mudah terapung di permukaan air.

Diilhamkan anak jati Liang Batu, Muar, Mazlan Md Taff, 55, selepas mendapat permintaan daripada penduduk di kawasan terbabit untuk pelbagai kegunaan termasuk beriadah.

Beliau yang juga tukang rumah sepenuh masa, berkata pengalaman dalam bidang itu

membuatkan dirinya tiada masalah memenuhi permintaan itu, meskipun kaedah berbeza dan perlu berhadapan cabaran tersendiri.

"Membina rumah asasnya pada permukaan tanah seharusnya rata, namun di atas air pula cara berbeza. Bagaimana cara terbaik mengimbangi rentak alunan air terutama ketika berlaku air pasang.

"Selepas melihat rakit buluh mampu terapung, saya kemudiannya menggunakan 50 tong drum plastik biru supaya ia juga boleh terapung," katanya ditemui di Pangkalan Sungai Muar, di Kampung Gombang, Muar.

Tahan dihentam air pasang surut

Mazlan menjelaskan untuk memastikan platform gazebo itu tidak hanyut dibawa arus deras, beliau mengikatnya pada beberapa batang tiang konkrit yang dibenamkan di dalam sungai.

Gunakan 50 tong drum plastik sebagai pelambung untuk kukuhkan struktur binaan elak tenggelam.- Foto/Ahmad Ismail
Gunakan 50 tong drum plastik sebagai pelambung untuk kukuhkan struktur binaan elak tenggelam.- Foto/Ahmad Ismail

Kesemua tong plastik biru pula berperanan sebagai pelampung supaya tidak terlucut daripada ikatannya, selain memastikan struktur binaan gazebo kukuh dan tidak senget ketika berlaku air pasang dan surut.

"Bulan mengambang adalah petunjuk akan berlaku air pasang surut. Kita sudah membuat beberapa ujian untuk melihat ia seimbang dan selamat dalam apa juga keadaan. Jika berlaku hujan lebat dan air pasang ia tetap utuh dan tidak tenggelam," katanya.

Selain itu dibina jambatan penghubung sejauh 25 meter menuju ke pondok itu.

"Ketika banjir gazebo ini boleh dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan alternatif kerana tidak terkesan dengan kenaikan paras air" katanya.

Pondok santai penuh cita rasa

Beliau berkata, dengan kos RM30,000 gazebo terapung seluas 16 meter dan lebar tujuh meter dibina sejak pertengahan September lalu hampir sempurna dan dijangka siap dalam tempoh terdekat.

Gazebo itu disediakan beberapa bangku, meja dan kerusi mudah alih, selain dilengkapi bekalan elektrik.

Panorama indah ketika senja boleh dilihat dari gazebo terapung. -Foto/Ahmad Ismail
Panorama indah ketika senja boleh dilihat dari gazebo terapung. -Foto/Ahmad Ismail

"Pondok ini akan digunakan sebagai tempat melakukan pelbagai aktiviti santai bersama rakan, keluarga dan jiran berminat berehat di sini," katanya.

Mengenai pembinaan gazebo di atas air, beliau berkata, ia memberi cabaran baru dan dilakukan dengan penuh kesabaran.

"Saya banyak membina rumah di atas tanah. Namun, berbanding bina gazebo di atas air, ia perlu idea berbeza agar dan tampak cita rasa desa kerana menggunakan bahan lain terutama tong drum.

"Tidak pernah mengikuti sebarang latihan, memiliki ijazah atau diploma dalam bidang seni bina, sebaliknya hanya berdasarkan pengalaman dan logik.

"Semua barangan dan peralatan asas dibeli ahli keluarga kariah setempat. Perkakas yang mudah diperoleh antaranya tong drum plastik, besi, kayu beruti dan atap zink," katanya.

Rakam momen indah di pinggir sungai

Keinginan sebuah tempat berehat, beriadah dan melakukan pelbagai aktiviti bermanfaat di atas permukaan air menjadikan penduduk di Kampung Gombang bersatu hati mengumpul dana bagi membina gazebo terapung.

Menariknya, dana dikumpul oleh ahli keluarga sebanyak RM30,000 bagi menampung kos pembinaan gazebo sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jurucakap kariah keluarga bagi projek itu, Sahimi Abd Rahim, 64, berkata sumbangan dikumpul ahli keluarga sepanjang PKP lalu.

Memancing antara aktiviti dilakukan di gazebo terapung.- Foto/Ahmad Ismail
Memancing antara aktiviti dilakukan di gazebo terapung.- Foto/Ahmad Ismail

"Kita dapat dikumpul dalam tempuh singkat dan memang di luar jangkaan selepas mendapat sokongan pelbagai pihak.

"Dana disumbangkan daripada adik-beradik, anak-anak buah keluarga, waris dan saudara mara yang keseluruhannya sebanyak RM30,000," katanya.

Terap nilai murni

Beliau berbangga dengan usaha itu sekali gus dapat merealisasikan matlamat untuk membina pondok santai bagi mengisi aktiviti bermanfaat bersama penduduk.

"Di tempat ini juga dapat menerapkan disiplin dan mendidik anak muda di sini menjaga alam sekitar serta sungai," katanya.

Sahimi bersyukur dengan kejayaan pembinaan gazebo terapung itu, ia pasti

menjadi lokasi tumpuan keluarga, kenalan dan jiran setempat bukan sahaja melakukan aktiviti beriadah, malah sesuai tempat untuk merakam gambar berikutan suasana alam sekitar yang indah kerana terletak di pinggir sungai.

Katanya, mereka pasti akan berkongsi kenangan indah untuk diabadikan dalam sosial media.

Malah, pelbagai peringkat usia termasuk remaja dan belia boleh menghabiskan masa senggang dengan sihat, bagi mengelak kegiatan merempit atau terbabit dengan penagihan dadah.

"Persekitaran sungai juga lebih kondusif sesuai untuk perbincangan pembelajaran anak-anak, penceritaan sejarah, melihat sendiri pengorbanan nelayan pergi balik di pangkalan setiap hari," katanya.

Pemandangan dari dalam gazebo terpaung dilengkapi bidai elak panahan matahari - Foto/Ahmad Ismail
Pemandangan dari dalam gazebo terpaung dilengkapi bidai elak panahan matahari - Foto/Ahmad Ismail

"Generasi masa depan harus berkongsi pengetahuan pembelajaran secara empat mata di gazebo berkenaan menjadi pentas memupuk kepimpinan bukan hanya sibuk di laman sosial apabila berkumpul," katanya.

"Oleh itu, kami akan memantau tempat berkenaan bagi mengelak disalah gunakan kerana ia sebagai ikon untuk imej kami sekeluarga," katanya.

Berita Harian X