Jumaat, 8 Oktober 2021 | 10:30am
Galeri Darurat memiliki ratusan barangan, selain lawatan ke Pusara Pejuang Bukit Kepong. - NSTP/Ahmad Ismail
Galeri Darurat memiliki ratusan barangan, selain lawatan ke Pusara Pejuang Bukit Kepong. - NSTP/Ahmad Ismail

Bukit Kepong sarat cerita sejarah

BUKIT Kepong bukan sahaja terkenal dengan tinggalan sejarah lampau, malah kaya dengan hasil air tawar, flora dan fauna yang mampu menggamit kedatangan pencinta alam.

Terdapat banyak tempat menarik untuk dikunjungi dan kebanyakannya berlatarkan pemandangan kehijauan yang indah.

Ini menjadikan Bukit Kepong, Muar, Johor antara destinasi percutian alam semula jadi yang popular di negara ni.

Menurut Ketua Kampung Bukit Kepong, Hazali Mohd Amin, 58, antara kawasan sekitar pekan Bukit Kepong yang meninggalkan sejarah keperwiraan anggota polis mempertahankan Pondok Polis daripada serangan komunis pada 23 Februari 1950 menjadi tumpuan penduduk tempatan dan luar sejak puluhan tahun lalu.

"Bagi pencinta alam semula jadi, anda pasti teruja melihat tumbuh-tumbuhan flora, selain hutan hijau tropika seluas ribuan hektar juga merasai udang galah segar, ikan baung dan lampam yang ditangkap nelayan di kawasan Sungai Bukit Kepong.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini antaranya bersiar-siar, melihat keindahan alam semula jadi, melakukan aktiviti memancing air tawar dan menghuni di inap desa disediakan penduduk," katanya bangga menjadi anak jati Kampung Bukit Kepong.

Panorama indah di sekitar Sungai Bukit Kepong sesuai untuk pelbagai aktiviti termasuk menjala udang. - NSTP/Ahmad Ismail
Panorama indah di sekitar Sungai Bukit Kepong sesuai untuk pelbagai aktiviti termasuk menjala udang. - NSTP/Ahmad Ismail

Rasai kehidupan masyarakat Melayu

Selain pekan Bukit Kepong, pekan lama Lenga, Kampung Tui juga antara destinasi menarik yang boleh dikunjungi bagi pengisian merasai kehidupan tradisional masyarakat Melayu.

"Beberapa inap desa diusahakan penduduk juga penghasilan produk pertanian setempat menyajikan hidangan hasil air tawar dengan harga patut dan pilihan pelbagai menu tentunya mengamit selera.

Terletak hanya 40 minit pemanduan dari bandar Pagoh dan kira-kira 30 minit sahaja dari Segamat, pencarian lokasi untuk aktiviti rekreasi ini bukan satu masalah.

Panorama indah dari atas bukit

Terdapat pelbagai jenis penginapan disediakan bergantung kepada pilihan pengunjung sama ada mahu berkhemah, inap desa atau bilik yang cantik tidak jauh dari Bukit Kepong.

Lebih menarik, kedudukan Bukit Kepong juga membolehkan pengunjung menikmati pemandangan menakjubkan dari atas bukit Kepong melihat keseluruhan pekan Bukit Kepong ramai tidak mengetahuinya.

Katanya, pelbagai kemudahan termasuk akses jalan raya bagi mereka yang datang dalam berkumpulan pula pasti mengujakan.

Mereka boleh melakukan aktiviti seperti barbeku atau bersantai sambil menikmati angin malam.

Seorang nelayan menjala udang galah di Sungai Bukit Kepong. - NSTP/Ahmad Ismail
Seorang nelayan menjala udang galah di Sungai Bukit Kepong. - NSTP/Ahmad Ismail

Pelbagai aktiviti mencabar

Bagi yang sukakan cabaran, penduduk juga menyediakan aktiviti memancing pada waktu malam.

Inap desa yang terletak beberapa kilometer dari lokasi tumpuan di Bukit Kepong memudahkan pengunjung.

Pada masa sama, jika mahu bersantai dengan bunyi deruan air terjun, Hutan Lipur Lata Kekabu adalah salah satu tempat menarik di Lenggong yang menjadi pilihan ramai.

Kawasan hutan simpan yang terletak sembilan kilometer dari pekan Bukit Kepong itu sesuai dikunjungi seisi keluarga.

Kawasan hutan itu bukan sahaja menarik, malah dipenuhi pelbagai spesies pokok seperti keruing, kempas, jelutong dan meranti.

Lawat Galeri Darurat

Bagi yang sukakan sejarah pula, Galeri Darurat memiliki ratusan barangan pameran pada era zaman itu selain lawatan ke Pusara Pejuang Bukit Kepong.

"Untuk itu, Galeri Darurat dibina di sebuah kawasan tepi sungai Bukit Kepong di pekan Bukit Kepong amat wajar," ujarnya lagi.

Pendek kata, semua ada di Bukit Kepong. Apabila sekatan perjalanan rentas negeri ditarik balik kelak, beramai-ramailah berkunjung ke Bukit Kepong.

Mi bandung udang galah makan popular di daerah Muar sering jadi tumpuan pelancong. - NSTP/Ahmad Ismail
Mi bandung udang galah makan popular di daerah Muar sering jadi tumpuan pelancong. - NSTP/Ahmad Ismail

Info mengenai Bukit Kepong

• Sebuah kampung terpencil terletak di tebing sungai Muar

• Popular dengan detik sejarah peristiwa Balai Polis Bukit Kepong

• Serangan komunis ketika darurat di Persekutuan Tanah Melayu selepas Perang Dunia ke-dua

• Balai polis Bukit Kepong diserang 180 komunis bermula jam 5 pagi, 23 Februari 1950.

• Ada Galeri Bukit Kepong himpunkan peristiwa perjuangan pasukan keselamatan ketika zaman darurat.

• Ada Artifak seperti senjata api, pakaian, keadaan berek anggota dan kenderaan digunakan pasukan keselamatan dulu.

• Galeri papar sejarah pembentukan Malaysia termasuk ketika era dan pasca Malaysia.

Berita Harian X