Isnin, 12 Julai 2021 | 10:30am
 Seorang pemuda berbasikal di Pantai Cenang yang dulunya sering menjadi lokasi tumpuan pelancong dan pelbagai kegiatan sukan air, bersantai, serta merakam gambar kenangan kini sepi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilanjutkan sehingga 28 Jun ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
Seorang pemuda berbasikal di Pantai Cenang yang dulunya sering menjadi lokasi tumpuan pelancong dan pelbagai kegiatan sukan air, bersantai, serta merakam gambar kenangan kini sepi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilanjutkan sehingga 28 Jun ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Destinasi percutian kian sepi

Terbiar sepi, suram dan tenat. Inilah gambaran, nasib ribuan chalet dan pelbagai kemudahan ekopelancongan di kebanyakan lokasi tumpuan percutian di seluruh negara.

Larangan rentas daerah dan negeri menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan bagi mengekang pandemik COVID-19 turut menjejaskan operasi hotel yang sebilangannya terpaksa ditutup.

Beribu-ribu lokasi tumpuan pusat percutian dan pelancongan di seluruh pelosok negara gagal beroperasi bahana wabak itu.

Meninjau tempat peranginan di Cabin Chalet Gunung Pulai, Kulai Johor, umpamanya, mendapati keadaan chalet serta kemudahan ekopelancongan itu terbiar dan sedikit berhabuk, namun masih elok terjaga pengurusan Sekawan Koop.

Chalet diuruskan penduduk Kampung Sri Gunung Pulai memiliki pemandangan indah dan menakjubkan.

Pusat ekopelancongan di kaki

Gunung Pulai itu masih kekal terpelihara, seolah-olah menanti pengunjung kembali ke situ.

Pengerusi Sekawan Koop, Jamalludin Abdol Hamid, 54, berkata susulan wabak COVID-19 menyebabkan PKP berterusan sehingga menjejaskan industri ekopelancongan, selain menyebabkan 132 penduduk hilang pekerjaan.

Kini hanya tiga orang masih bekerja sepenuh masa membabitkan pengurus koperasi, pekerja kedai runcit dan pekerja pusat jualan ikan.

"Pekerja restoran, pemandu tram dan pengemas chalet terpaksa berhenti kerja," katanya.

Pernah dikunjungi 20,000 sebulan

Gunung Pulai pernah merekodkan kedatangan sehingga 20,000 pengunjung sebulan. Pada cuti umum seramai 13,000 pengunjung, manakala hujung minggu purata 5,000 orang datang ke sini.

Lokasi di situ jadi tumpuan pengunjung tempatan dan Singapura sehingga perlu membuat tempahan dua bulan awal sebelum menginap.

"Sejak PKP dan sektor pelancongan ditutup, keadaan menjadi sepi dan pekerja terpaksa dilepaskan sementara sehingga keadaan pulih," katanya.

Penutupan aktiviti ekopelancongan Kampung Sri Gunung Pulai juga menyebabkan pendapatan penduduk kampung terjejas.

Menerusi Sekawan Koop yang menguruskan Cabin Chalet Gunung Pulai, mereka memberi peluang penduduk mendapatkan pendapatan tambahan.

termasuk menerusi bayaran parkir pengunjung Gunung Pulai yang menggunakan halaman rumah penduduk, selain pakej lawatan rumah penduduk kepada pelajar Jepun dan Korea yang mahu melihat budaya hidup masyarakat Melayu.

"Menerusi pakej lawatan rumah, kami turut menyediakan demonstrasi menoreh getah, perkahwinan, silat serta kraftangan. Semuanya membuka peluang pendapatan kepada penduduk.

"Sejak wabak ini, semua aktiviti tidak dapat diteruskan menyebabkan pendapatan penduduk kampung turut terjejas," katanya.

Bagi penduduk kampung di situ, Roskelana Wagiman, 56, dia resah apabila Gunung Pulai yang menjadi tumpuan pengunjung kian hari kian sepi.

"Penduduk kini hanya mengharapkan bayaran pajakan sewa tanah kami yang dibuat Sekawan Koop yang membina chalet, kawasan parkir, selain kemudahan pelancongan di sini," katanya.

Selain Pulau Langkawi, kerajaan juga mempunyai perancangan untuk melaksanakan pendekatan gelembung pelancongan di lebih banyak.- Foto NSTP
Selain Pulau Langkawi, kerajaan juga mempunyai perancangan untuk melaksanakan pendekatan gelembung pelancongan di lebih banyak.- Foto NSTP

Chalet di Langkawi membilang hari

Situasi sama di Langkawi, kesempitan hidup pengusaha hotel dan chalet di daerah itu amat dirasai dan semakin memuncak.

Malah mereka menghitung hari supaya industri pelancongan dibuka semula dalam tempoh terdekat.

Larangan rentas negeri dan daerah juga menyebabkan 23 hotel di Langkawi ditutup, selain chalet turut menhadapi isu sama.

Keluh-kesah pengusaha chalet, Melor Ahmad, 38, dilahirkan beliau kerana berhadapan pendapatan sifar lebih setahun selepas chaletnya di Pantai Cenang tiada pengunjung.

"Saya terpaksa berjimat cermat dengan wang simpanan, selain membilang hari dan berdoa supaya industri pelancongan dapat beroperasi semula.

"Saya masih lakukan kerja pembersihan di sekitar chalet dan bilik penginapan supaya tidak usang," katanya.

Pengusaha motel, Noor Sholehati Osman, 50. - Foto Hamzah Osman
Pengusaha motel, Noor Sholehati Osman, 50. - Foto Hamzah Osman

Pengusaha An-Nuris Chalet, di Kuah, Noor Sholehati Osman, 50, mengakui tunggakan bil elektrik dan air chalet mencecah ribuan ringgit belum dijelaskan akibat tiada pendapatan.

"Mana tidaknya, sekarang sekupang (10 sen) sehari pun tak masuk, sehingga gagal jelaskan bil tertunggak yang bergantung pada hasil chalet.

"Semangat untuk menguruskan perniagaan ini sudah luntur. Air mata saya jatuh setiap kali membersihkan sawang dalam bilik penginapan," katanya.

Kongsinya, beliau hilang kata-kata dan hanya mampu berharap industri pelancongan kembali pulih.

Pulau Pangkor sunyi tanpa pengunjung

Tidak banyak beza, industri pelancongan di Manjung, Perak, juga boleh dianggap lumpuh dan tenat sejak PKP hingga menyebabkan pengusaha chalet sekitar daerah itu terjejas punca pendapatan.

Raut wajah pengusaha Lyana Villa, Pulau Pangkor, Mazwin Teh Abdul Rahman, jelas tergambar kesedihan mengenangkan pelanggan meminta wang pendahuluan dikembalikan kerana tidak tahu bila aktiviti rentas dibenarkan semula.

Akur dengan penutupan operasi pelancongan, beliau tetap berharap supaya ada mekanisme terbaik dilakukan kerajaan menangani situasi ketika ini.

Deretan kedai di Pantai Cenang yang terpaksa ditutup perniagaan sejak pelaksanaan PKP 3.0. - Foto Luqman Hakim Zubir
Deretan kedai di Pantai Cenang yang terpaksa ditutup perniagaan sejak pelaksanaan PKP 3.0. - Foto Luqman Hakim Zubir

"Pulau Pangkor antara destinasi pilihan yang sering menjadi tumpuan ramai sejak sekian lama, tetapi sejak beberapa bulan ini keadaan sangat sunyi dan sepi tanpa pengunjung terutama di Teluk Nipah.

"Besar harapan kami dapat kembali beroperasi dan tidak mahu ada yang terpaksa menutup operasi seperti di beberapa tempat jika keadaan berlarutan," katanya sambil memberitahu mereka tidak mendapat bantuan untuk kurangkan beban itu.

Biarpun terpaksa bergelut dalam situasi pandemik COVID-19, beliau akan terus berjuang dan mempertahankan chalet warisan keluarganya dan terus dijaga meskipun tiada penghuni.

"Saya mahu chalet ini jadi tumpuan semula. Saya boleh dianggap bernasib baik kerana tiada pinjaman bank, kurang beban, walaupun pendapatan terjejas. Ada beberapa rakan hadapi situasi lebih sukar. Jika berlanjutan tidak mustahil ada yang terpaksa menjual aset," katanya.

Pengerusi Sekawan Koop, Jamalludin Abdol Hamid, 54 (kanan) bersama penduduk melihat keadaan chalet yang ditutup disebabkan PKP di Cabin Chalet Gunung Pulai, Kulai Johor.
Pengerusi Sekawan Koop, Jamalludin Abdol Hamid, 54 (kanan) bersama penduduk melihat keadaan chalet yang ditutup disebabkan PKP di Cabin Chalet Gunung Pulai, Kulai Johor.

Beri potongan harga

Pengusaha Chalet D'BOX Cottage di Teluk Senangin, Abu Zar Khazali, 38, berkata mereka seperti kembali bernafas apabila sektor pelancongan dibenarkan kembali beroperasi tetapi larangan rentas daerah dan penutupan operasi pelancongan ketika ini sekali lagi meletakkan mereka dalam situasi sukar.

Keadaan itu menyebabkan ada segelintir pelanggan membatalkan tempahan dan meminta wang pendahuluan dikembalikan, manakala selebihnya ada yang menunda tarikh hingga menunggu kerajaan membuka semula sektor pelancongan.

"Kami juga akan memberi potongan harga untuk kelangsungan operasi.

"Ia menjejaskan sepenuhnya pendapatan kami dan kasihan juga dengan pekerja chalet yang diambil secara kontrak kerana jika tidak ada kerja tiadalah upah," katanya yang mula beroperasi pada Januari 2019 dan mempunyai 13 chalet termasuk sembilan jenis kontena.

Dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19, mereka mengakui sangat menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan berharap ada kelonggaran untuk aktiviti rentas daerah.

"Kerajaan perlu melakukan sesuatu dan bagi saya kalau rentas daerah dibenarkan ia dapat bantu menghidupkan sektor pelancongan," katanya.

Chalet D’BOX Cottage di Teluk Senangin yang sepi tanpa pengunjung. - Foto Ihsan pembaca
Chalet D’BOX Cottage di Teluk Senangin yang sepi tanpa pengunjung. - Foto Ihsan pembaca

Berita Harian X