Ahad, 2 Mei 2021 | 9:42am
Jeram Tiga Tingkat yang akan dibangunkan sebagai lokasi pelancongan baharu di Jelebu. - Foto NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap
Jeram Tiga Tingkat yang akan dibangunkan sebagai lokasi pelancongan baharu di Jelebu. - Foto NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap

Dua jeram di Kuala Klawang akan dimajukan

JELEBU: Jeram Enggang dan Jeram Tiga Tingkat di Ulu Jelebu, kira-kira lapan kilometer dari pekan Kuala Klawang akan dibangunkan sebagai lokasi pelancongan di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir, berkata pembangunan secara berperingkat itu membabitkan pembinaan prasarana antaranya jalan masuk ke jeram terbabit.

Katanya kedua-dua jeram mampu menjadi tarikan kepada orang ramai untuk datang ke Jelebu menikmati keindahan flora dan faunanya.

"Ketika ini untuk ke jeram terbabit hanya boleh menggunakan pikap dan disediakan oleh individu tertentu.

"Kerajaan negeri sudah dimaklumkan mengenai hasrat memajukan tempat ini sekali gus merancak dan mempelbagai produk ekopelancongan di Jelebu," katanya di pada Program Berbuka Puasa Pro Pah di Renal Park di sini malam tadi.

Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Klawang berkata kedua jeram berkenaan belum menjadi tumpuan sepenuhnya berikutan masalah pengangkutan.

Dalam perkembangan lain, Bakri berkata dipercayai terdapat rangka kapal terbang era perang dunia kedua yang terhempas di sekitar hutan di kawasan Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Klawang dan DUN Lenggeng.

Katanya, usaha sedang dirintis oleh sekumpulan penjelajah dan pendaki bagi mengesan bangkai kapal terbang berkenaan yang sudah pasti bakal menjadi tarikan kepada orang ramai.

Berita Harian X