Khamis, 29 April 2021 | 12:23pm
Terokai pengalaman unik di Pulau Songsong, Yan, Kedah. - Foto NSTP
Terokai pengalaman unik di Pulau Songsong, Yan, Kedah. - Foto NSTP

Pulau Songsong serba unik

PULAU Songsong bakal memberi pengalaman unik apabila menjejakkan kaki ke pulau yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti itu.

Terletak pada jarak 4.5 batu nautika dari Jeti Sungai Udang, di Yan, Kedah. Pulau Songsong satu daripada gugusan kepulauan di daerah Kuala Muda dan Yan selain Pulau Telur, Pulau Bunting dan Pulau Bidan.

Ia dianggap istimewa kerana antara pulau di Semenanjung yang mempunyai terumbu karang, selain kewujudan batu kawi berwarna merah di sepanjang pantainya.

Kedudukan pulau tidak jauh dari tanah besar juga menyebabkan ia sentiasa menjadi tumpuan kaki pancing dan nelayan untuk singgah ketika cuaca buruk, selain berehat.

Pulau Songsong kaya dengan kepelbagaian biodiversiti. - Foto NSTP
Pulau Songsong kaya dengan kepelbagaian biodiversiti. - Foto NSTP

Khazanah bernilai

Pengerusi Komuniti Bot Songsong, Yani Madewnus Yunus, 46, berkata kajian Jabatan Taman Laut Malaysia menemui banyak spesis terumbu karang di Pulau Songsong yang selama ini tidak disedari.

Berikutan itu, pulau itu disenarai antara rantaian Jerai Geopark kerana mempunyai khazanah bernilai tinggi dan satu-satunya memiliki batu kawi berwarna merah di pesisiran pantai yang terhasil dari rekahan kerak bumi.

"Biarpun tidak berpenghuni dan perlu menggunakan bot, pulau ini sering menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara untuk bermalam serta menikmati ketenangan.

"Pengunjung perlu membawa kelengkapan sendiri bagi menikmati keindahan air yang jernih, pantai luas, suasana tenang, mendamaikan dan pemandangan cantik kerana dikelilingi pulau lain," katanya.

Naik taraf kemudahan asas

Yani berkata, buat masa ini komuniti bot Songsong terdiri daripada nelayan menjaga kebersihan sekitar pulau itu termasuk mencuci tandas dan menebas semak-samun di situ tanpa sebarang upah.

Pengurus Kedah Tourism, Nor Azlan Fitri Abd Razak, berkata beberapa kemudahan asas di pulau itu akan dinaik taraf sebagai persediaan menerima lebih ramai pengunjung dalam masa terdekat.

"Kemudahan seperti tandas, surau, sumber air dan elektrik di Pulau Songsong akan dinaik taraf dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

"Kita juga bercadang membina dataran dan kemudahan lampu di sekeliling Pulau Songsong, selain menempatkan petugas bagi memantau tahap kebersihan dan keselamatan pulau ini," katanya.

Rasai kehidupan di pulau

Bagi pengunjung tempatan, Fauziah Ayob, 54, beliau memilih bercuti ke pulau itu kerana mahu merasai pengalaman berada di kawasan pulau yang tidak berpenghuni.

Pulau Songsong jadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara menikmati ketenangan sambil nikmati alam semula jadi. - Foto NSTP
Pulau Songsong jadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara menikmati ketenangan sambil nikmati alam semula jadi. - Foto NSTP

"Saya rasa tenang dan nyaman. Kami 12 beranak menaiki bot dengan harga RM350 untuk perjalanan pergi dan balik, di sini kami lakukan aktiviti bersama seperti memasak dan memancing.

"Kami cuma bawa beberapa peralatan dan makanan asas untuk memasak, masak ikan yang dipancing, ada ikan kerapu dan sebagainya. Tiada sebarang gangguan kecuali mendengar kicauan burung dan angin bertiup pada waktu malam," katanya.

Percutian di pulau itu tidak memerlukan kos tinggi berbanding pulau terkenal lain, namun pengunjung perlu bersedia bercuti dengan cara tradisional termasuk tidur di khemah.

Pengunjung ke daerah Kuala Muda dan Yan turut boleh berkunjung ke lokasi tarikan lain seperti Tapak Tamadun Awal Sungai Batu, Muzium Arkeologi Lembah Bujang, ladang nira Tanjung Dawai, ladang tiram Sungai Merbok dan Gunung Jerai.

Pesisir pantai terhasil daripada rekahan kerak bumi. - Foto NSTP
Pesisir pantai terhasil daripada rekahan kerak bumi. - Foto NSTP

Berita Harian X