Selasa, 23 March 2021 | 5:00pm
Kehadiran burung merpati menarik perhatian pengunjung dan menambah lagi keindahan Pantai Stulang Laut, Johor Bahru. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Kehadiran burung merpati menarik perhatian pengunjung dan menambah lagi keindahan Pantai Stulang Laut, Johor Bahru. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Ratusan merpati jinak tarikan Pantai Stulang Laut

JOHOR BAHRU: Kehadiran ratusan burung merpati jinak di Pantai Stulang Laut, di sini, menjadikan lokasi itu tumpuan pengunjung terutama pada hujung minggu atau cuti umum.

Tinjauan di Pantai Stulang Laut mendapati ratusan merpati berterbangan bebas dengan beberapa pengunjung dilihat memberi makan dedak jagung.

Seorang penjawat awam, Asrul Effendi Asnawi, 44, berkata, kehadiran ratusan burung merpati jinak di pantai berkenaan menyebabkan ramai penduduk di bandar raya ini berkunjung ke kawasan itu.

Katanya, pengunjung akan memenuhi pantai berkenaan setiap hujung minggu dan cuti umum untuk menikmati pemandangan di kawasan pantai menghadap Singapura itu.

"Setiap kali hujung minggu atau cuti, saya memang akan datang ke sini bagi menenangkan fikiran dan menikmati keindahan pantai.

"Sejak beberapa bulan lalu saya membawa satu kilogram dedak jagung untuk diberi makan kepada burung berkenaan.

"Ia seperti terapi menenangkan jiwa saya, apabila melihat ratusan merpati jinak datang malah ada yang hinggap di bahu dan tangan," katanya ketika ditemui memberi makan kepada burung berkenaan.

Asrul Effendi Asnawi memberi makan burung merpati di Pantai Stulang Laut, Johor Bahru. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Asrul Effendi Asnawi memberi makan burung merpati di Pantai Stulang Laut, Johor Bahru. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Bagi Maslina Baharom, 43, pula berkata, dia juga gemar membawa anaknya bersantai di Pantai Stulang Laut bagi menikmati pemandangan selain melihat merpati di situ.

Katanya, Pantai Stulang Laut juga adalah satu-satunya kawasan pantai awam di bandar raya ini yang boleh dikunjungi.

"Saya sarankan supaya kerajaan Johor menambah kemudahan dan tarikan di sini termasuk menyediakan lebih banyak wakaf untuk berteduh dan bangku," katanya.

Berita Harian X