Isnin, 22 March 2021 | 3:00pm
Air terjun di Jeram Tebrau bersih dan sejuk sesuai untuk bermandi-manda.- Foto Mohd Khidir Zakaria
Air terjun di Jeram Tebrau bersih dan sejuk sesuai untuk bermandi-manda.- Foto Mohd Khidir Zakaria

Sejukkan badan di Jeram Tebrau

CUACA panas sejak kebelakangan ini menyebabkan haluan peminat basikal mula mencari lokasi riadah yang baharu di kawasan sejuk dan menyegarkan.

Antara lokasi jadi pilihan destinasi dilencongkan ke Jeram Tebrau, Labu, Nilai, Negeri Sembilan, iaitu sebuah kawasan rekreasi yang memiliki keindahan alam semula jadi.

Bagi sekumpulan penunggang basikal disertai 21 orang dari Bandar Springhill, Port Dickson meneruskan kayuhan dari Port Dickson hingga Jeram Tebrau, sejauh 64 Kilometer pergi dan balik.

Kumpulan basikal itu memulakan perjalanan seawal jam 7.30 pagi selepas mendapat tahu lokasi yang dulunya tumpuan ramai kini sepi terbiar tanpa dijaga dan diselenggara.

Air terjun Jeram Tebrau yang kurang dikunjungi perlu dipromosikan semula sebagai destinasi pelancongan.- Foto Mohd Khidir Zakaria
Air terjun Jeram Tebrau yang kurang dikunjungi perlu dipromosikan semula sebagai destinasi pelancongan.- Foto Mohd Khidir Zakaria

Ketua Kumpulan Kayuhan Amal Bandar Springhill, Ayub Md Dahan, 41, berkata Negeri Sembilan ada banyak lokasi menarik seperti Jeram Tebrau ini tetapi ia terbiar tanpa penjagaan dan penyelenggaraan.

"Kayuhan kami sampai ke destinasi amat mengujakan kerana kami menuju ke lokasi yang sudah lama ditinggalkan atau tidak lagi dikunjungi orang ramai.

"Apa yang kami lihat, dulu lokasi ini meriah, ada air terjun, tapak kolam tadahan, tempat berbumbung dan juga bekas tapak gerai disediakan untuk peniaga, tandas tetapi semuanya rosak, semak dan tidak terurus.

"Dulu saya pernah beberapa kali ke sini membawa murid beriadah kerana sekolah tempat saya mengajar tidak jauh dari lokasi jeram ini tetapi agak lama tidak ke sini selepas bertukar sekolah sejak tujuh tahun lalu," kata guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gelam, Port Dickson ini ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Lokasi 'syurga' durian

Bagi pekerja swasta, Zulkernain Abdul Ghani, ini kali pertama datang ke sini melihat Jeram Tebrau lokasi yang mampu menggamit kedatangan pengunjung jika ia dipromosi dan diselenggara dengan baik.

Sekumpulan penunggang basikal singgah di Jeram Tebrau untuk meningkatkan keindahan alam sekitar. - Foto Mohd Khidir Zakaria
Sekumpulan penunggang basikal singgah di Jeram Tebrau untuk meningkatkan keindahan alam sekitar. - Foto Mohd Khidir Zakaria

"Kami masuk melalui Kampung Pelegong dari Labu dan terus menyusuri jalan kampung yang kecil untuk sampai ke sini.

"Yang menariknya, kampung ini mempunyai pokok durian yang banyak. Pastinya boleh dijadikan satu lokasi tumpuan orang ramai terutamanya ketika musim durian.

"Selain jeram yang airnya sejuk, segar, di sini juga boleh menjadi lokasi 'syurga durian' dan pengunjung boleh membeli durian serta merasai nikmat berendam dalam air yang sejuk semula jadi tetapi kawasan ini perlu diselenggara kembali," katanya.

Berhampiran hutan simpan Galla

Pengerusi Kelab Basikal Kayuhan Amal Bandar Springhill, Md Ariffin Md Noh berkata, kawasan ini berdekatan dengan hutan simpan Galla, Seremban.

"Kawasan ini mempunyai titik tertinggi hanya 613 meter dari aras laut, tetapi cukup untuk air terjun kecil yang dulunya pernah menjadi lokasi menarik.

"Kami akan cuba membersihkan kawasan ini satu hari nanti bersama ahli kelab kerana kedatangan kali ini hanya dengan berkayuh basikal tanpa membawa kelengkapan.

"Sepanjang jalan untuk masuk ke Jeram Tebrau dari Kampung Pelegong, keadaan jalan masih baik, namun perlu berhati-hati dengan dengan sedikit kawasan semak dan jalan berlubang, namun kenderaan pacuan empat roda lebih sesuai.

"Cara termudah untuk sampai ke Jeram Tebrau, cuma ikut jalan ke Labu, Nilai sebelum masuk jalan Kampung Pelegong dan teruskan perjalanan menyusuri jalan kampung sejauh 6 kilometer dari jalan utama sebelum sampai ke Jeram Tebrau yang ada disediakan papan tanda," katanya.

Rasai kesejukan air terjun

Katanya, Jeram Tebrau wajar terus dimajukan untuk menjadikan ia destinasi pelancongan di negeri ini.

"Bagi saya ia juga perlu disediakan tempat penginapan, tapak perkhemahan dan tandas yang menyalurkan air di dua kolam. Tetapi kolam berlumpur, semuanya terbengkalai dan pecah.

"Lokasi ini boleh menjadi tempat yang bagus jika semua pihak berganding bahu, ada tempat letak kereta dan laluan menyusuri sungai selain dusun durian yang banyak berhampiran kawasan ini

"Ketika lawatan ini, sebaik sampai ke air terjun yang kecil tetapi menarik, ia cukup untuk menyegarkan badan merasai air yang sejuk, segar dan kami pasti akan ke sini untuk meneruskan hasrat membersihkan kawasan ini suatu hari nanti.

"Namun, bagi kumpulan yang sudah menjejaki kawasan ini pastinya teruja melihat suasana alam sekitarnya yang masih menghijau dan tidak terusik.

"Kami mengambil peluang mandi-mandi di kawasan air terjun ini sebelum meneruskan semula kayuhan pulang Port Dickson," katanya.

Aktiviti lasak seperti berbasikal sesuai dilakukan di kawasan ini.- Foto Mohd Khidir Zakaria
Aktiviti lasak seperti berbasikal sesuai dilakukan di kawasan ini.- Foto Mohd Khidir Zakaria

Berita Harian X