Ahad, 3 Januari 2021 | 10:30am
Kawasan aktiviti kayak sambil memancing boleh mencecah sejauh 3.6 kilometer dari Pantai Bagan Pinang. - Foto BERNAMA
Kawasan aktiviti kayak sambil memancing boleh mencecah sejauh 3.6 kilometer dari Pantai Bagan Pinang. - Foto BERNAMA

Memancing guna kayak jadi trend

AKTIVITI memancing kini bukan sahaja tertumpu kepada kaedah memancing di darat, pantai dan di tengah laut, menggunakan bot, bahkan boleh juga menggunakan kayak.

Meskipun masih belum popular di negara ini berbanding di sesetengah negara khususnya negara barat seperti Amerika Syarikat, namun ia boleh diketengahkan sebagai satu lagi produk pelancongan di negara ini.

Malah cabaran yang dihadapi pemancing juga berbeza ketika melakukan aktiviti memancing menggunakan kayak.

Bagi yang sukakan cabaran, mungkin ini aktiviti yang perlu anda cuba.

Meskipun baru diperkenalkan di Malaysia, aktiviti ini sudah tentunya memiliki peminatnya yang tersendiri.

Bagi kaki pancing, kaedah memancing menggunakan kayak antara patut dicuba, hanya perlu utamakan keselamatan.

Biar pun tampak mudah, kaedah memancing yang diperkenalkan oleh Port Dickson (PD) Watersports Sdn Bhd, di Pantai Bagan Pinang di sini, sangat menguji daya tahan pemancing.

Ini kerana mereka perlu mengimbangi serta mengayuh kayak dalam jarak hampir empat kilometer dari pantai.

Menurut Pengarah Urusan Port Dickson (PD) Water Sports, Mazuan Mohd Noor, 37, perkhidmatan sewaan kayak yang diwujudkan awal Mac lalu untuk tujuan itu menunjukkan ia mempunyai potensi besar untuk berkembang di negara ini.

"Sebenarnya aktiviti ini memang sudah lama ada di negara ini, tapi ia mungkin belum lagi popular bagi kebanyakan orang, tetapi ia memang mempunyai peminatnya tersendiri yang gemarkan cabaran.

"Memancing menggunakan kayak ini memerlukan stamina tinggi untuk mengendalikan dan mengayuh pendayung kayak," katanya.

Beza kayak memancing dan kayak

Sudah pasti ada yang tertanya-tanya bagaimanakah untuk memancing menggunakan kayak kerana ruang duduk sempit, agak menyukarkan pemancing membawa barangan memancing, berbanding aktiviti kayak biasa.

Mazuan berkata, kayak digunakan aktiviti memancing memiliki rekaan lebih lebar dan stabil berbanding kayak biasa.

"Ini memudahkan pemancing. Dilengkapi beberapa kemudahan lain seperti 'fishing point' bagi menyediakan maklumat lokasi memancing. Jadi mereka hanya muat naik aplikasi itu dan kita akan kongsikan lokasi sesuai.

"Tahun depan, kita akan menambah baik lagi kayak itu dengan kemudahan ' fish finder' yang menggunakan sistem sonar untuk mengesan lokasi karang dan ikan dengan lebih tepat," jelasnya.

Setakat ini, syarikatnya menawarkan 16 unit kayak termasuk kayak berseorangan jenis fin type, propeller, hand padle dan kayak untuk dua orang, iaitu tandem kayak.

Terjamin tahap keselamatan

Mazuan berkata, peminat aktiviti memancing menggunakan kayak tidak perlu gusar mengenai keselamatan kerana dititikberat syarikat itu.

"Kesemua kayak dilengkapi peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan dan walkie-talkie. Bagi yang baru berjinak dalam aktiviti ini, mereka dinasihati ke lokasi dekat terlebih dahulu dan dipandu seorang staf bagi memantau keselamatan.

"Pekerja diambil dalam kalangan nelayan. Mereka lebih tahu selok-belok pantai dan lokasi memancing yang sesuai, selain dapat menambah pendapatan nelayan," katanya.

Aktiviti itu mendapat sambutan memberangsangkan meskipun belum cukup setahun diperkenalkan di sini.

"Purata sebulan hampir 100 pelanggan tanpa mengira jantina. Rata-rata mereka memang memberi maklum balas positif, malah ada yang banyak kali datang kerana gemarkan aktiviti itu, " katanya.

Memancing guna kayak

Guru, Mohd Razif Hafez Ab Jalil ditemui di Pantai Bagan Pinang berkongsi pengalaman aktiviti memancing menggunakan kayak yang disifatkannya sangat mencabar.

"Memancing guna kayak memberikan saya pengalaman dan kepuasan tersendiri berbanding memancing biasa.

"Mencabar kerana dilambung ombak, mabuk laut dan sebagainya. Ikan belum tentu dapat, tapi kepuasan itu tak sama dan dan mampu menghilangkan stres bekerja," kata kaki pancing berasal dari Negeri Sembilan ini.

Setiap hari minggu, Mohd Razif ke Pantai Bagan Pinang untuk memancing menggunakan kayak dan amat berpuas hati.

"Aktiviti ini dibuka setiap hari jam 7.30 pagi hingga 6.30 petang dengan sewaan RM80 seorang.

Sewaan kayak jana pendapatan nelayan

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip, berkata inisiatif khidmat sewaan kayak mampu menjana pendapatan penduduk setempat dan mempopularkan aktiviti ekopelancongan di daerah itu.

"Kami dapati Bagan Pinang menjadi tumpuan pemancing berkayak, amat popular dan menjadi trend sejak kebelakangan ini. Nelayan di sini ada menawarkan perkhidmatan sewaan kayak dan kreatif membina unjam di kawasan pesisiran pantai Port Dickson sebagai lubuk tumpuan pemancing kayak.

"Ini suatu inisiatif dan idea bernas. Justeru, kita sentiasa membantu mempertingkatkan kemudahan bagi melancarkan lagi aktiviti nelayan, termasuk perikanan rekreasi yang giat dijalankan mereka," katanya.

Berita Harian X