Ahad, 20 Disember 2020 | 10:31am
Pelancong yang berkunjung ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating diberi peluang melepaskan anak penyu ke laut. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Pelancong yang berkunjung ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating diberi peluang melepaskan anak penyu ke laut. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

Berjaga malam lepaskan hidupan marin ke laut

Pelancong yang berkunjung ke Kuantan, Pahang pastinya tidak lengkap sekiranya tidak singgah ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Cherating yang terkenal dengan aktiviti melepaskan anak penyu ke laut.

Dibuka 9 pagi hingga 5.30 petang, enam hari seminggu kecuali Isnin, ia pasti menyajikan percutian sambil mendapat pelbagai informasi mengenai reptilia bercengkerang itu.

Aktiviti yang disediakan di situ ialah melihat penyu agar dewasa dalam kolam sambil memberi penyu berkenaan makan kubis, melawat bilik pameran hidupan laut, menyaksikan tayangan video program berkaitan penyu dan membeli pelbagai cenderamata.

Ia sememangnya sesuai dikunjungi bersama keluarga bagi memberi peluang terutama kepada kanak-kanak melihat lebih dekat penyu yang adalah sejenis hidupan laut bercengkerang yang menarik.

Anak penyu agar di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating dilepaskan ke laut. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Anak penyu agar di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating dilepaskan ke laut. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

Lihat anak penyu

Jika bernasib baik pelancong juga berpeluang melihat anak penyu yang baru menetas dalam kawasan rumah penetasan, pengunjung hanya berpeluang melihat dari luar pagar.

Diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Perikanan Pahang, jarak perjalanan dari pusat bandar Kuantan ke PKPP Cherating kira-kira 45 kilometer Jalan Kuantan-Kemaman, Bukit Cherating.

Pelbagai kemudahan terdapat dalam kawasan seluas 0.01 hektar dan turut memberi peluang kepada pihak sekolah dan pusat pengajian tinggi mengadakan aktiviti perkhemahan dengan kerjasama pusat berkenaan yang sentiasa mengamit kehadiran pelbagai pihak.

Lihat penyu bertelur

Setiap tahun terdapat syarikat swasta menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat membabitkan aktiviti kesedaran terhadap pentingnya penyu dan kemuncaknya melepas anak penyu ke laut, selain penajaan.

Datang ke sini tidak bermakna sekiranya tidak berpeluang melepaskan anak penyu ke laut, aktiviti berkenaan hanya diadakan selepas jam enam petang sahaja.

Ancaman pemangsa seperti burung helang menjadi faktor utama anak penyu hanya dilepaskan lewat petang.

Pada musim kemuncak penyu bertelur bermula Jun hingga Ogos pelancong yang bertuah serta sanggup berjaga malam menunggu kemunculan ibu penyu naik ke pesisir pantai untuk bertelur, boleh berbuat demikian.

Aktiviti bermula awal pagi itu akan dibantu oleh beberapa renjer yang berpengalaman.

Jumlah penetasan berkurangan

Dalam tempoh 10 bulan tahun ini, pusat berkenaan mengumpul sebanyak 11,351 telur hasil pendaratan 134 penyu jenis agar berbanding 41,420 telur tahun lalu.

Ini diakui Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar yang mendapati daripada jumlah itu sebanyak 4,997 telur ditetaskan di rumah penetasan khas sebelum dilepaskan ke laut secara berperingkat.

"Jumlah pendaratan dan telur penyu di PKPP Cherating dalam tempoh 10 bulan tahun ini jauh lebih rendah berbanding tahun lalu disebabkan beberapa faktor antaranya seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak COVIV-19 menyebabkan usaha mengesan ibu penyu yang bertelur tidak dapat dilakukan.

Rekod pendaratan tertinggi dicatat pada Julai membabitkan 47 pendaratan penyu agar yang menghasilkan sebanyak 4,123 telur, diikuti Ogos sebanyak 35 pendaratan dan 2,882 telur; September (25) 1,985 telur dan Oktober (16) 1,447 telur.

"Jumlah pendaratan penyu setiap tahun di pusat ini di Cherating tidak menentu disebabkan beberapa faktor seperti keadaan laut, ancaman daripada nelayan dan faktor semula jadi.

"Kami berharap aktiviti pelepasan anak penyu yang diadakan sepanjang tahun di PKPP Cherating dapat menambahkan jumlah pendaratan penyu agar dan karah suatu hari nanti," katanya.

Beliau berkata, tahun lalu sebanyak 42,162 telur hasil pendaratan 475 penyu agar, daripada jumlah itu 28,420 berjaya ditetas dan dilepaskan ke laut.

Pusat ini kini ditutup sementara bagi kerja menaik taraf, ia hanya akan dibuka sepenuhnya Januari tahun depan.

Katanya, banyak program pelepasan anak penyu tidak dapat diadakan berikutan PKP, aktiviti berkenaan dilakukan secara dalaman sahaja membabitkan kakitangan jabatan," katanya.

Giat tingkatkan promosi

Beliau menjangkakan kehadiran pelancong akan bertambah tahun depan apabila pelbagai kemudahan dinaik taraf dalam usaha meletakkan pusat ini sebagai produk pelancongan terbaik di negeri ini.

"Nama pusat di Cherating ini bukan sahaja terkenal dalam kalangan pelancong tempatan tetapi ia turut dikenali pelancong antarabangsa. Sebelum ini kehadiran pengunjung amat menggalakkan, bagaimanapun disebabkan situasi pandemik ini kehadiran pelancong berkurangan.

"Promosi oleh syarikat pelancongan selain media dan dari mulut ke mulut dapat terus memperkenalkan lagi pusat ini," katanya.

Berita Harian X