Ahad, 29 November 2020 | 10:30am
Dataran Payang dihiasakan landskap indah mendamaikan. -Foto/Baharom Bakar
Dataran Payang dihiasakan landskap indah mendamaikan. -Foto/Baharom Bakar

Panorama indah berlatar belakangkan jambatan angkat

Tiupan angin Laut Cina Selatan dan landskap menarik menceriakan keindahan panorama di taman rekreasi Dataran Shah Bandar di Muara Sungai Terengganu.

Suasana mendamaikan dengan pemandangan berlatar belakangkan jambatan angkat atau `drawbridge' menjadikan lokasi itu antara destinasi popular pelancong dari dalam dan luar negara.

Penanaman enam pokok kurma di kiri dan kanan laluan dengan replika berwarna-warni Terengganu Panorama, menjadikan kawasan di tebing muara sungai dengan berlatar belakangkan empat menara jambatan angkat menjanjikan keseronokan kepada pengunjung menikmati hari percutian.

Laluan pejalan kaki dan kemudahan bangku rehat dibina menghadap ke sungai menggamit warga bandar raya untuk berjoging sambil menikmati suasana sejuk dek tiupan angin Laut Cina Selatan.

Dataran Shah Bandar jadi tumpuan ramai untuk menikmati keindahan alam menghijau.-Foto/Baharom Bakar
Dataran Shah Bandar jadi tumpuan ramai untuk menikmati keindahan alam menghijau.-Foto/Baharom Bakar

Lokasi indah dan menyamankan

Taman rekreasi Dataran Shah Bandar yang menjanjikan pemandangan indah dan menyamankan pemandangan adalah hasil idea Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Shahidan Embok.

Taman rekreasi dikenali dengan nama 'Dataran Payang' itu juga turut dilengkapi dengan kemudahan taman permainan kanak-kanak serta pondok rehat.

Lokasi terletak berhampiran Pasar Besar Kedai Payang itu sesuai untuk pengunjung melepaskan penat selepas membeli-belah sambil menikmati kecantikan di kawasan itu dan merakamkan gambar sebagai kenangan.

Taman rekreasi Dataran Payang itu juga menjadi tumpuan warga bandar raya ini setiap pagi dan petang melakukan pelbagai aktiviti seperti berjoging sambil menikmati situasi alam yang cukup mengujakan.

Shahidan berkata, Jabatan Landskap Negara (JLN) membelanjakan kira-kira RM400,000 untuk mencantikkan bandar raya itu khususnya menyediakan kawasan hijau untuk beriadah.

Berita Harian X