Sabtu, 14 Mei 2022 | 11:37am
Antara spesies anggur yang ditanam di Amanda Putri’s garden. - Foto/Hassan Omar
Antara spesies anggur yang ditanam di Amanda Putri’s garden. - Foto/Hassan Omar
Dol Malek (belakang) bersama isteri dan anaknya mengusahakan tanaman anggur di Masjid Tanah, Melaka.- Foto/Ihsan Hassan Omar
Dol Malek (belakang) bersama isteri dan anaknya mengusahakan tanaman anggur di Masjid Tanah, Melaka.- Foto/Ihsan Hassan Omar

Buah anggur manis dari Masjid Tanah

MELIHAT berpuluh-puluh buah anggur warna kemerahan, hijau, hitam dan ungu melayut dari setiap tangkai pohonnya membuat sesiapa sahaja teruja untuk memetik serta ingin menikmati rasanya.

Terdetik di fikiran adakah itu buah semanis seperti diimport dari negara asalnya.

Lantas sesiapa mengunjungi Amanda Putri's Garden di Kampung Ramuan Cina Besar, Masjid Tanah, Melaka mahu terus meneroka di kawasan yang dipenuhi kira-kira 1,000 pokok anggur.

Ternyata anggur itu bukan ditanam di tanah tinggi seperti di Cameron Highlands, apatah lagi negara di lembangan Mediterranean atau yang beriklim empat musim, sebaliknya boleh didapati di Melaka.

Kebun milik tiga beranak, Dol Malek Md Sap, 57, dan isteri, Maizah Jalil, 55, serta anak, Dzarul Hakim, 27, yang ditanam sejak Ogos tahun lalu itu dimajukan sebagai lokasi untuk penggemar menikmati pelbagai varian anggur sebelum membawa pulang anak pokok untuk ditanam di kediaman masing-masing.

Setakat ini, pelanggan yang hadir di taman itu diberikan peluang menikmati anggur secara percuma, selain dapat mengenali pelbagai varian anggur.

Warna, rasa berbeza mengikut spesies anggur

Berdasarkan maklum balas pengunjung, tidak mengecewakan, buah anggur dipetik itu manis.

Kini keluarga terbabit masih dalam peringkat mencuba menanam pelbagai varian anggur seperti jupiter, ninel dan velles yang masing-masing berbeza warna dan rasa.

Jupiter berwarna merah hati kehitam-hitaman manakala ninel merah pekat dan velles kuning kemerah-merahan ditanam melalui kaedah konvensional di atas tanah dan fertigasi.

Dol Malek membuktikan kemajuan inovasi dan teknologi membolehkan anggur ditanam dan tumbuh subur melalui sistem penjagaan sempurna.

Justeru, beliau tidak berpaling lagi apabila membuat keputusan tepat mengubah tanaman daripada pokok tin kepada anggur dengan memanfaatkan pelaburan hampir RM100,000 membina lima Rumah Lindungan Hujan (RLH), tidak terbiar begitu sahaja.

Selepas pokok tin diusahakan sejak 2010 rosak teruk akibat tidak dijaga kerana tidak dapat merentas negeri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, mereka mengubah strategi kepada penanaman anggur.

Sejak dulu, mereka yang menetap di Kajang, Selangor akan sering pulang ke kebun itu setiap hujung minggu bagi memantau perkembangan tanaman berkenaan.

Baca di internet cara tanam pokok

Dol Malek mahu memastikan pokok anggur ditanam di kawasan seluas kira-kira 0.8 hektar di dalam lima RLH selepas menimba ilmu mengenai aspek penanaman anggur melalui pembacaan buku dan internet supaya dapat tumbuh dengan baik.

Dzarul Hakim memantau pokok anggur yang ditanam di lima Rumah Lindungan Hujan. - Foto/Hassan Omar
Dzarul Hakim memantau pokok anggur yang ditanam di lima Rumah Lindungan Hujan. - Foto/Hassan Omar

"Pokok anggur memerlukan panas berpanjangan dan dengan adanya RLH, cahaya matahari memberikan ruang amat luas untuk pokok membesar dengan cepat.

"Setakat ini, kita masih belum memasarkan anggur secara komersial kerana yang lebih penting ialah menghasilkan anak pokok anggur.

"Sejak memulakan usaha menyemai anak pokok anggur dalam polibeg awal tahun ini. Kami sudah memasarkan lebih 200 anak pokok anggur kepada pelanggan yang berminat membelinya sebagai tanaman hiasan.

"Kami jual semaian anak pokok anggur antara RM50 hingga RM350 sepokok," katanya.

Mahu jadikan kawasan agropelancongan

Pada masa depan pelanggan boleh memetik sendiri anggur sebelum membelinya mengikut harga pasaran apabila semua RLH sudah mengeluarkan hasil yang konsisten.

Sebagai pelengkap usaha memajukan industri agropelancongan, beliau bercadang membina chalet di kawasan berhampiran RLH yang sekarang dipenuhi dengan pokok durian, rambutan, manggis dan kuini.

"Kami begitu optimis suatu hari nanti, orang ramai yang berkunjung bukan sahaja dapat memetik dan makan pelbagai buah-buah di sini, malah dibanjiri pelancong untuk menikmati pemandangan indah di sekitar kebun ini," katanya.

Berita Harian X