Isnin, 3 Januari 2022 | 11:30am
Replika bilik tidur Nabi Muhammad SAW. - NSTP/Faiz Anuar
Replika bilik tidur Nabi Muhammad SAW. - NSTP/Faiz Anuar

Buku terbesar di dunia, seberat 1,500 kilogram curi tumpuan

KISAH keunggulan peribadi dan ketokohan Nabi Muhammad SAW sering diceritakan melalui pelbagai penulisan ilmiah, kisah yang disampaikan pendakwah serta ilmuan Islam di seluruh dunia.

Sebagai seorang Islam, cara hidup Rasulullah adalah panduan untuk diamalkan selagi umatnya bernafas di muka bumi ini, selain sentiasa mencari jalan untuk mendekatkan diri serta mengenali Baginda.

Itulah mesej yang mahu disampaikan Yayasan Restu melalui Pameran Rehlah Nabawiyah, yang memaparkan sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW sejak lahir sehingga kewafatan Baginda ketika berusia 63 tahun.

Pameran itu diadakan di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, di sini sejak 17 November 2017 itu memberi peluang bukan saja kepada umat Islam, tetapi juga bukan Islam untuk belajar dan lebih mengenali penghulu seluruh umat Islam itu.

Replika syiling lama dan alat sukatan cupak lama. - NSTP/Faiz Anuar
Replika syiling lama dan alat sukatan cupak lama. - NSTP/Faiz Anuar

Suasana sekitar Madinah pada dinding lukisan. - Foto ihsan Muhamed Anwar
Suasana sekitar Madinah pada dinding lukisan. - Foto ihsan Muhamed Anwar

Di Pameran Rehlah Nabawiyah memaparkan 25 segmen sirah Nabi Muhammad SAW dalam pelbagai medium seperti lukisan tiga dimensi, model, replika, kesan video dan audio, hologram dan miniatur.

Pameran berkenaan akan dirasmikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada 8 Mac depan.

Buku terbesar di dunia

Apa yang lebih menarik, bermula Januari ini, pameran berkenaan akan dilengkapkan lagi dengan dua tarikan baharu, iaitu Pameran Mahabbah al-Haramain yang mempertontonkan barangan asli dari Makkah dan Madinah serta buku terbesar di dunia dalam bahasa Arab, bertajuk "Inilah Muhammad - Ensiklopedia Mudah Mengenali Nabi Pembawa Rahmat".

Ketua Pemasaran, Perhubungan Awam, Domestik dan Antarabangsa Yayasan Restu, Mohamed Anwar Abu Bakar, berkata sejak dibuka Pameran Rehlah Nabawiyah sudah menarik lebih 200,000 pengunjung dari seluruh negara.

Antara yang menarik perhatian di pameran itu termasuk replika perkampungan Bani Sa'ad, di mana Nabi Muhammad SAW menjalani kehidupan semasa kecil, replika rumah Baginda dengan susun atur sebenar, replika Kaabah dan miniatur yang menggambarkan suasana Perang Uhud, Badar serta Khandak.

"Dengan dua tarikan baharu yang akan dibuka pada awal Januari, ia akan memberi lebih pengetahuan dan pengalaman kepada pengunjung untuk mengenali Rasulullah secara lebih dekat.

Jika sebelum ini, mereka boleh melawat ke Rehlah Nabawiyah yang kebiasaannya mengambil masa satu jam, kali ini mereka boleh melihat barangan dari Makkah dan Madinah di Pameran Mahabbah al-Haramain, sekali gus mengubat kerinduan bagi mereka yang tidak dapat ke tanah suci," katanya.

Antara barangan di Pameran Mahabbah al-Haramain yang diadakan dengan kerjasama Jwan Event Sdn Bhd adalah kain Kiswah, iaitu kain yang menutupi Kaabah, permaidani asli dari Masjidil Haram dan Rawdah, jubin telaga Zam Zam serta koleksi pedang serta senjata.

Pameran Rehlah Nabawiyah memaparkan sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW. - Foto ihsan Mohamed Anwar
Pameran Rehlah Nabawiyah memaparkan sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW. - Foto ihsan Mohamed Anwar

Mohamed Anwar bersama buku terbesar di dunia bertajuk Inilah Muhammad - Ensiklopedia Mudah Mengenali Nabi Pembawa Rahmat, di Pameran Mahabbah al-Haramain. - NSTP/Faiz Anuar
Mohamed Anwar bersama buku terbesar di dunia bertajuk Inilah Muhammad - Ensiklopedia Mudah Mengenali Nabi Pembawa Rahmat, di Pameran Mahabbah al-Haramain. - NSTP/Faiz Anuar

Mohamed Anwar memaklumkan buku terbesar di dunia yang memegang Guinness World Record itu adalah tarikan yang perlu dilihat sendiri oleh pengunjung.

Katanya, buku seberat 1,500 kilogram itu adalah inisiatif sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Mshahed International Group, bagi memperkenalkan biografi Nabi Muhammad SAW dengan cara yang belum pernah dilakukan sebelum ini dan pada masa sama mempromosi toleransi dalam Islam.

Buku "Inilah Muhammad - Ensiklopedia Mudah Mengenali Nabi Pembawa Rahmat" yang dihasilkan dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris sebelum ini, sudah pun diterjemah ke bahasa Melayu oleh Yayasan Restu dan dijual kepada umum.

"Melalui buku ini, kita dapat mengenali Nabi Muhammad SAW dari sudut peribadi dan sikap serta interaksi Baginda terhadap sekalian makhluk.

"Buku ini menyediakan perbincangan yang menyeluruh, berbeza dengan penulisan lain, selain disampaikan mengikut topik tertentu serta kupasan berpandukan dalil al-Quran dan hadis Nabi Muhammad yang asli," katanya.

Sementara itu, Yayasan Restu akan membangunkan sebuah perkampungan al-Quran di Putrajaya, yang akan mempamerkan perjalanan al-Quran dengan penyampaian lebih 'hidup' dalam usaha menarik orang ramai mengenali al-Quran.

Mohamed Anwar berkata, perkampungan itu akan menggunakan konsep seperti Pameran Rehlah Nabawiyah ketika ini, yang dipaparkan dalam pelbagai medium seperti lukisan tiga dimensi, replika, kesan video dan audio serta hologram.

Perkampungan al-Quran dikenali sebagai "Quran Village" itu akan dibangunkan dalam skala lebih besar merangkumi lima komponen bangunan, iaitu Masjid Az Zikir, Galeri Seni Mushaf, Pusat Sains dan Penyelidikan Quran, Pusat Kecemerlangan Ekonomi Tijarah Mall serta Al Jauf Al-Quran.

"Melalui Pameran Rehlah Nabawiyah, kita membentuk masyarakat yang lebih mengenali Nabi Muhammad SAW, jadi dengan Quran Village, ada gerakan untuk menyokong usaha untuk umat Islam lebih mengenali dan mukjizat Baginda.

"Di perkampungan al-Quran itu nanti, kita akan mempamerkan perjalanan kitab suci umat Islam ini, bermula daripada ia diturunkan Allah melalui malaikat Jibril, di zaman Rasullullah dan seterusnya.

"InsyaAllah, pengunjung akan melalui pengalaman yang tidak pernah dialami sebelumnya dalam mengenali al-Quran dan mesti mahu membaca al-Quran," katanya.

Pedang pada zaman Rasulullah antara dipamerkan. - NSTP/Faiz Anuar
Pedang pada zaman Rasulullah antara dipamerkan. - NSTP/Faiz Anuar

Quran Village dijangka siap dalam tempoh tiga ke empat tahun lagi dibina di tapak seluas 8.5 hektar berdekatan pusat penghasilan al-Quran yang dikendalikan Yayasan Restu, Kompleks Nasyrul Quran adalah projek kemuncak bagi yayasan itu.

"Yayasan Restu sudah menyalin dan menterjemah al-Quran, selain menghasilkan reka bentuk serta hiasan untuk dinding masjid. Kini, kita mahu orang merasai pengalaman kandungan al-Quran dan mendalaminya," katanya.

Al-Quran Mushaf Cina

Yayasan Restu juga baru saja menghasilkan al-Quran terjemahan bahasa Mandarin atau Mushaf Cina, yang sudah pun boleh dibeli atau diwakafkan.

"Kita menjemput lebih ramai pihak untuk bekerjasama dengan Yayasan Restu dalam penganjuran program kerana mempunyai produk dan perkhidmatan boleh ditawarkan.

"Contohnya, sekolah boleh mengadakan lawatan ke Pameran Rehlah Nabawiyah di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor dan program berkaitan, selain perkhidmatan reka bentuk dalaman yang ditawarkan melalui jabatan kita," katanya.

Info:
Pameran Rehlah Nabawiyyah

Lokasi: Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor

Operasi: Jam 9 pagi hingga 5 petang.

Harga tiket: RM30 bagi dewasa / Kanak-kanak RM 15

• Pameran bermula Januari

Berita Harian X