Isnin, 8 November 2021 | 12:38pm
Lembu baka Charolais milik Ahmad Abqari mencecah 800 kilogram. - Foto/Ahmad Rabiul Zulkifli
Lembu baka Charolais milik Ahmad Abqari mencecah 800 kilogram. - Foto/Ahmad Rabiul Zulkifli
Ternakan lembu diberikan rumput dan dedak untuk menambahkan berat badan dan sentiasa dalam keadaan baik.- Foto/Ahmad Rabiul Zulkifli
Ternakan lembu diberikan rumput dan dedak untuk menambahkan berat badan dan sentiasa dalam keadaan baik.- Foto/Ahmad Rabiul Zulkifli

Harga tak masuk akal

HARGA tak masuk akal! Disebabkan harga lembu sado ada mencecah RM85,000 untuk dua ekor menjadikan ramai anak muda teruja menternak haiwan itu.

Namun itulah hakikatnya, lantas penternak muda, Ahmad Abqari Mat Arriffen, 27, dari Kampung Pangkal Changgong, Machang, Kelantan, yang aktif menternak lembu baka sejak 2015 tidak berpaling lagi untuk meneruskan usaha itu kerana menganggap aktiviti itu berbaloi kerana amat menguntungkan.

  

"Sekarang saya mempunyai tujuh ekor lembu baka Charolais. Setiap lembu diternak beratnya antara 700 hingga 800 kilogram (kg). Selain ada dua ekor anak lembu ini mempunyai berat bawah 300 kg.

"Rahsia lembu gemuk dan besar kerana saya bagi kerap makan pada waktu malam," katanya.

Hasil ternakan dihasilkan Ahmad Abqari pernah menjual melebihi RMRM16,500 seekor.- Foto/Ahmad Rabiul Zulkifli
Hasil ternakan dihasilkan Ahmad Abqari pernah menjual melebihi RMRM16,500 seekor.- Foto/Ahmad Rabiul Zulkifli

"Harga lembu yang saya ternak dijual pada harga RM10,000 ke atas dan rekod jualan tertinggi ialah RM16,500 seekor.

"Lembu Charolais itu dibeli oleh seorang penternak lain di Terengganu. Kemudian penternak itu menjual semula dengan harga

RM24,000 seekor untuk dikorbankan pada Aidiladha baru-baru ini.

"Seronok menternak lembu baka kerana boleh dijual pada harga tinggi malah boleh mencapai harga yang tidak masuk akal," katanya.

Jenis lembu baka elit seperti Charolais, Limosin, Belgian Blue, Aubrac, Blonde, Angus dan terbaharu, Indra antara paling digemari penternak di negara ini.

Baka Limosin dan Charolais baka digemari di Kelantan dan Terengganu kerana harganya melambung tinggi.

Beri makan waktu malam

Beliau berkata, kos makanan lembu baka agak mahal, tetapi berbaloi apabila lembu diternak dijual harga tinggi melambung.

"Saya membelanjakan RM1,200 sebulan untuk membeli dedak yang dijadikan makanan lembu itu. Rumput minyak saya tanam sendiri di kawasan lapang berdekatan kandang sebagai makanan sampingan," katanya.

Menurutnya, lembu baka makan mengikut jadual ditetapkan sejak berusia empat bulan.

"Saya juga mandikan lembu pada jam 9 hingga 10 pagi dan memberi makan dedak pada jam 12 tengah hari, diberi rumput pada waktu petang dan malam bagi semula dedak," katanya.

Beliau membelanjakan RM150 sebulan memberi pelbagai jenis vitamin untuk ternakannya elak dijangkiti penyakit dan menambah selera makan.  

"Saya sanggup belanja lebih untuk memastikan ternakan sentiasa sihat dan mempunyai selera makan," katanya.

Berita Harian X