Khamis, 28 Oktober 2021 | 10:33am
Kreativiti dihasilkan daripada bunga segar dikeringkan sebagai hiasan menarik dipamerkan di dalam dan luar negara.- Foto?Ihsan Esiah
Kreativiti dihasilkan daripada bunga segar dikeringkan sebagai hiasan menarik dipamerkan di dalam dan luar negara.- Foto?Ihsan Esiah
Gambar kiri; Esiah bersama antara kraf bunga tekap dihasilkan.Gambar kanan; Selain membeli kraf bunga tekap, pelancong asing turut mendalami cara membuatnya.- Foto/Ihsan Esiah
Gambar kiri; Esiah bersama antara kraf bunga tekap dihasilkan.Gambar kanan; Selain membeli kraf bunga tekap, pelancong asing turut mendalami cara membuatnya.- Foto/Ihsan Esiah

Keunikan kraf bunga tekap

ENGGAN melihat bunga ditanam di halaman rumah layu begitu sahaja memberi ilham bagi penghasilan kraf bunga tekap yang begitu unik sehingga mendapat perhatian pelancong asing dan kerabat diraja.

Lantas, pelbagai bunga-bungaan pelbagai warna dan bentuk ditanamnya di suatu sudut dinamakan Laman Kraftani terletak Kampung Sungai Lang Tengah, Banting, Selangor ini diabadikan dengan cantik di dalam bingkai gambar.

Bunga yang digunakan adalah bunga tiga bulan, siantan, orkid, rumput rumpai, daun maman, batang dan pelepah pisang kering.

Justeru, Esiah Kaimun, 69, yang mengusahakan kraftangan memanfaatkannya untuk dijadikan bunga tekap sebagai koleksi cendera mata yang digemari pelancong dalam dan luar negara.

"Melalui kraf bunga tekap, kecantikan kelopak dan kuntuman bunga ini diangkat dalam bentuk seni dan 'dijaga' supaya bentuk serta warnanya terus kekal," katanya.

Pelancong asing belajar seni bunga tekap

Menariknya, hasil kraf bunga tekap turut dipamerkan di beberapa negara termasuk Thailand dan China.

Kraf bunga tekap dihasilkan Esiah dapat perhatian kerabat diraja dan pelancong asing.- Foto/Ihsan Esiah
Kraf bunga tekap dihasilkan Esiah dapat perhatian kerabat diraja dan pelancong asing.- Foto/Ihsan Esiah

Beliau berkata, beberapa tahun lalu seorang profesor dari England, sanggup tinggal di rumahnya lebih seminggu untuk mempelajari cara membuat kraf bunga itu, selepas melihat hasil kerja tangannya yang dipamerkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)

"Saya juga menerima pasangan pelancong dari Itali menetap di kediaman saya bagi tujuan sama untuk mendalami ilmu bunga tekap," katanya.

Esiah yang mempunyai bengkel dan galeri mini di kediamannya berkata, proses menghasilkan kraf bunga tekap bermula dengan pemilihan bunga segar sebelum tangkainya yang tebal dipotong dan diasingkan diasingkan.

Kemudian dikeringkan kurang lima minit menggunakan ketuhar gelombang mikro, sebelum disusun di atas bod lekap (mounting board) dan kertas mengikut saiz dikehendaki pelanggan.

"Proses mengeringkan bunga dilakukan teliti elak berkulat yang menyebabkan bunga tekap cepat rosak.

"Saya gunakan bunga yang sudah berkembang dan dibentuk mengikut kreativiti dan penuh kesabaran.

Diminati Raja Permaisuri Agong

Katanya, 'asas' bagi sesuatu kraf bunga tekap ialah meletakkan kuntuman bersaiz besar dan kemudian melengkapkannya dengan 'aksesori' terdiri daripada bunga bersaiz kecil.

"Untuk menghasilkan seni bunga tekap yang cantik, spesies dipilih perlu daripada jenis yang tidak terlalu lembut sehingga sukar dibentuk.

"Antara bunga yang tidak akan saya gunakan ialah kemunting Cina kerana ia terlalu nipis dan lembik," katanya.

Keunikan kraf bunga tekap buatannya, menyebabkan hasil kerja Esiah turut menjadi pilihan kerabat diraja serta selebriti tanah air.

Malah, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sendiri berminat membeli kraf bunga tekap sebelum Esiah memberikannya kepada baginda cendera mata.

Kraf bunga tekap dihasilkan Esiah dapat perhatian kerabat diraja dan pelancong asing.- Foto/Ihsan Esiah
Kraf bunga tekap dihasilkan Esiah dapat perhatian kerabat diraja dan pelancong asing.- Foto/Ihsan Esiah

"Keluarga kerabat Diraja Selangor juga antara pelanggan saya," katanya yang turut menghasilkan penanda buku dengan teknik bunga tekap pada harga serendah RM5.

Menurut Esiah, dalam sebulan beliau hanya menghasilkan dua ke tiga kraf bunga tekap dalam saiz besar termasuk dalam size A3.

Beliau juga menjual pek bunga dikeringkan secara 'loose' mengikut jenis berharga antara RM80 hingga RM500.

Menurut Esiah, minatnya terhadap bunga antaranya bermula ketika menonton siri televisyen popular dari Amerika Syarikat sekitar 1970-an, Little House on the Prairie.

"Selepas menetap di Banting pada 1996, saya membersihkan tanah dipenuhi kelapa sawit dengan menanam lebih 20 spesis bunga termasuk bunga pecah periuk, siantan, tiga bulan, kemunting Cina dan bunga janda kaya.

"Saya juga menanam pelbagai jenis herba seperti ganyong, pecah kaca dan lempoyang," katanya.

Menariknya, Esiah sempat 'membaca' karektor pelakon terkenal, Anzalna Nasir dan Izzue Islam ketika mereka datang ke pameran disertainya, beberapa tahun yang lalu.

"Anzalna membeli bunga tekap dan daripada pemilihannya, saya dapati dia seorang yang teliti dalam mengerjakan sesuatu," katanya.

 

Suasana tenang dan damai

Suasana tenang kediaman itu yang dihiasi pelbagai spesis bunga-bungaan, tumbuhan dan herba, Esiah membuka Laman Kraftani itu untuk kunjungan orang ramai. Malah, agensi kerajaan, universiti dan sekolah menjadikan laman itu sebagai lokasi mengadakan sesi motivasi di kawasan itu.

"Mereka juga menginap di Laman Kraftani ini kerana suasana sekitar dipenuhi kehijauan termasuk pelancong asing untuk merasai pengalaman hidup di kampung.

"Lebih menyeronokkan ada yang berkesempatan memasak menggunakan arang kayu di kawasan terbuka," katanya.

Berita Harian X